Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Perkukuh Tadbir Urus Tanggungjawab Utama Malaysia - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tanggungjawab utama Malaysia adalah untuk memperkukuh tadbir urus dalam negara, sambil menegaskan bahawa sumbangan bermakna dalam hal ehwal antarabangsa mesti bermula dengan reformasi di peringkat domestik.
Bercakap dalam sesi soal jawab pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 di sini hari ini, beliau berkata keutamaan kerajaannya adalah menambah baik tadbir urus, membanteras rasuah, mengurangkan ketidaksamaan serta memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan berkualiti.
Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia akan terus mengambil pendirian berprinsip dalam isu-isu antarabangsa, fokus segera adalah kekal kepada membina negara lebih baik serta membuktikan bahawa sebuah negara majoriti Muslim mampu menjunjung nilai demokrasi, kesederhanaan dan keterangkuman.
“Saya mahu memastikan bahawa saya dapat membawa perubahan dan reformasi di negara saya. Marilah kita gunakan kuasa yang ada untuk memperjuangkan nasib semua rakyat dan memastikan setiap warganegara mempunyai hak kepada pendidikan dan kesihatan asas,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa perpecahan di peringkat global tidak wajar dilihat sebagai ‘pertembungan tamadun’, sebaliknya banyak konflik berpunca daripada salah faham dan prasangka.
Memetik pemikiran sarjana Palestin-Amerika Edward Said, Perdana Menteri menyifatkan banyak ketegangan antarabangsa sebagai “pertembungan kejahilan”, dengan menyatakan bahawa manusia sering membuat penilaian terhadap orang lain tanpa pemahaman yang sebenar.
Beliau berkata kerangka Malaysia MADANI memberi penekanan yang sama terhadap kemajuan teknologi dan nilai kemanusiaan, serta menggalakkan penghayatan lebih mendalam dalam kalangan masyarakat berbeza kaum, agama dan budaya.
Merujuk kepada konsep ‘li ta'arafu’ dalam al-Quran, Anwar berkata masyarakat perlu berusaha bukan sekadar untuk bertolak ansur antara satu sama lain, tetapi untuk memahami dan menghargai perbezaan masing-masing, sambil menegaskan bahawa pendekatan sedemikian amat penting bagi sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.