Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Perairan Pesisir Matang Habitat Tiga Spesies Setasea Terancam
Beberapa ekor ikan lumba-lumba kelihatan ketika Lawatan dan Sesi Siasatan Tapak Kehadiran Mamalia Marin di perairan Matang dan Kerian semalam.
Tidak ramai yang mengetahui bahawa Perairan Pesisir Matang di sini adalah antara habitat utama bagi tiga spesies setasea yang kini berdepan risiko kepupusan dan memerlukan perlindungan ekosistem marin secara berterusan.
Tiga spesies berkenaan ialah Indo-Pacific humpback dolphin (balar), Irrawaddy dolphin (empesut) dan Indo-Pacific finless porpoise (tikus), menjadikan kawasan perairan seluas kira-kira 1,200 kilometer persegi, meliputi Kuala Gula hingga Kuala Trong, sebagai antara lokasi penting bagi pembiakan spesies berkenaan.
Pegawai Saintifik MareCet Research Organization (MareCet) Dr Vivian Kuit berkata kajian lapangan yang dijalankan pihaknya sejak 2013 mendapati kawasan itu didiami lebih 1,000 ikan lumba-lumba daripada ketiga-tiga spesies berkenaan.
Beliau berkata limpahan sumber makanan, terutama ikan, sotong dan udang menjadi faktor utama yang menyokong kelangsungan populasi di perairan yang sebahagian besarnya dikelilingi Hutan Simpan Paya Bakau Matang itu.
“Ketiga-tiga spesies berkenaan mencapai kematangan seksual yang berbeza, dengan balar sekitar sembilan hingga 14 tahun, empesut tujuh hingga sembilan tahun manakala tikus empat hingga enam tahun.
“Bagaimanapun diet yang hampir sama terdiri daripada ikan, udang dan sotong menjadi antara faktor spesies berkenaan mampu meneruskan kelangsungan hidup dan pembiakan,” katanya ketika ditemui Bernama di Jeti Eco-Tourism Kuala Sepetang di sini semalam.
Kuit berkata ketiga-tiga spesies berkenaan juga mempunyai perbezaan ketara dari segi ciri fizikal, dengan balar mempunyai muncung panjang manakala empesut dan tikus mempunyai bentuk muka lebih bulat tanpa muncung yang jelas.
“Walaupun empesut dan tikus mempunyai bentuk kepala yang hampir sama, namun empesut mempunyai sirip belakang dan boleh menyemburkan air melalui mulut, ciri unik yang tidak terdapat pada balar dan tikus.