combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Nanta: SSLR1 Tidak Ganti Tiga Jambatan Pesisir Sarawak
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 1 (SSLR1) tidak pernah bertujuan menggantikan pembinaan Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Batang Rambungan kerana kedua-duanya mempunyai fungsi serta objektif pembangunan berbeza.
Beliau berkata SSLR1 diperkenalkan sebagai projek strategik kerajaan Persekutuan bagi menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui Brunei serta membuka akses ke kawasan pedalaman di bahagian utara Sarawak.
“SSLR1 dan tiga projek jambatan pesisir bukan projek yang sama serta tidak mempunyai tujuan pembangunan serupa. Menggunakan istilah 'menggantikan' projek jambatan dengan SSLR1 adalah tidak tepat sama sekali kerana kedua-duanya menyasarkan lokaliti dan keperluan pembangunan berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nanta berkata Jambatan Batang Lupar, Batang Igan dan Batang Rambungan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat di kawasan pesisir dengan memendekkan masa perjalanan, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
Sehubungan itu, beliau berkata pembangunan jambatan pesisir dan rangkaian jalan strategik pedalaman saling melengkapi bagi memastikan pembangunan Sarawak yang seimbang dan inklusif.
Beliau turut menyifatkan pandangan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai kepentingan pembangunan kawasan pesisir dan jaringan jalan pedalaman sebagai selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan infrastruktur memberi manfaat kepada seluruh rakyat mengikut keperluan setiap kawasan.
Nanta berkata komitmen beliau adalah untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam mengenal pasti keutamaan pembangunan infrastruktur negeri, termasuk mempertimbangkan cadangan baharu melalui saluran rasmi perancangan pembangunan negara, tertakluk kepada pertimbangan agensi pusat dan kemampuan kewangan kerajaan Persekutuan.