kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,712
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,712
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Kerajaan akan melaksanakan penyelarasan sementara kelayakan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.
Beliau juga berkata Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga diesel telah meningkat.
-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Penyelarasan sementara Budi MADANI RON95 (BUDI95) bermula pada 1 April ini, dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter dilihat sebagai langkah penyesuaian dasar yang mengambil kira realiti ekonomi global serta tekanan kos sara hidup susulan konflik di Asia Barat.
Sebahagian rakyat yang ditemui Bernama berpendapat jumlah kuota bahan api yang diselaraskan sementara daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan dengan pengekalan harga bersubsidi itu tetap memberikan kelegaan dalam mengurus perbelanjaan harian mereka.
Malah, mereka juga memahami ketetapan sementara itu disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi ketika ini dan langkah yang dilaksanakan Kerajaan MADANI merupakan satu keperluan strategik untuk memperkukuh daya tahan negara serta memastikan kelangsungan kredibiliti ekonomi jangka panjang.
Di KEDAH, seorang penghantar makanan, Muhammad Irfan Zhafir Ahmad, 36, bersyukur kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada kadar berkenaan, malah anak kelahiran Jitra itu yakin bahawa kerajaan mengambil kira semua aspek, khususnya kepentingan rakyat sebelum memuktamadkan perkara tersebut.
"Tambahan pula, langkah ini hanya untuk sementara waktu, kalau keadaan perang yang sedang berlaku ini pulih, mungkin kerajaan akan kembalikan kuota BUDI95 pada jumlah asal,” katanya kepada Bernama.
Penjawat awam, Isma Ismail, 44, pula berkata harga RON95 bersubsidi yang dikekalkan masih boleh membantu rakyat, sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Di TERENGGANU, seorang pekerja swasta Azlan Adli, 46, yang tinggal di Kampung Losong, Kuala Nerus, memahami keputusan kerajaan untuk menyelaraskan sementara BUDI95 serta menyifatkan pelaksanaan itu tidak dapat dielakkan susulan konflik di Asia Barat.
"Sebulan sekali saya akan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan kerana isteri dan anak-anak tinggal di sana. Selain itu, kerja sebagai wartawan juga memerlukan saya sentiasa keluar ke lapangan. Dalam sebulan anggaran penggunaan petrol agak tinggi … lebih 300 liter. Jadi, lepas ini saya mungkin pertimbangkan pulang ke kampung dengan menaiki bas supaya dapat jimat petrol dan boleh rehat," katanya.
Di PERAK, Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin berkata langkah penyelarasan sementara BUDI95 bukanlah penghapusan subsidi, sebaliknya satu usaha untuk menjadikan mekanisme subsidi lebih tepat dan bersasar.