BTC USD 75,446.5 Gold USD 4,261.14
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Penyata JKPK Pengasingan Peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya Dibentang Esok - Azalina

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,153
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,153
Reaction score
346
Points
141

Penyata JKPK Pengasingan Peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya Dibentang Esok - Azalina​

5c16e1ba0fb2f23d7877ffb1416bc0546a54d81d86b2f

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Majlis Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen.

--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Mengenai Pindaan Perlembagaan Persekutuan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok merupakan satu langkah signifikan dalam merealisasikan agenda reformasi institusi secara bertanggungjawab, inklusif dan berlandaskan Perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pembentangan itu merupakan bukti jelas komitmen utuh Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kedaulatan undang-undang, kebebasan institusi dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Beliau berkata hasil penelitian JKPK yang telah bersidang sebanyak tujuh kali berjaya memperhalusi cadangan asal pindaan itu melalui tujuh penambahbaikan utama yang mempertingkatkan kebebasan, integriti dan akauntabiliti institusi Pendakwa Raya.

“Antaranya termasuklah pemerkasaan peranan Parlimen dalam proses pelantikan, pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) tanpa penglibatan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, tempoh jawatan tetap tujuh tahun tanpa pembaharuan, pengenalan Kod Etika Pendakwa Raya serta kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang lanjut bagi memperkukuh institusi ini.

“Selain itu, kerajaan turut menambah baik Fasal (18) Perkara 145A Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasakan peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata pindaan itu menetapkan SPKP mengemukakan nama calon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan dan diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Dewan Rakyat sebelum syor dikemukakan semula kepada SPKP, yang seterusnya boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nama yang disyorkan Dewan Rakyat.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang, tanpa menjejaskan kebebasan Pendakwa Raya atau kedudukan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan.

“Reformasi ini bukan sekadar memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, malah membina institusi pendakwaan yang lebih bebas, telus dan bertanggungjawab demi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Inilah legasi sebenar agenda reformasi institusi yang diperjuangkan oleh Kerajaan MADANI, iaitu mewariskan institusi yang lebih kukuh, lebih berintegriti, berdaya tahan dan diyakini demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

 
Back
Top
Log in Register