combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Penduduk Bukit Malut Mahu Persepsi Negatif Terhadap Penempatan Mereka Dihentikan
Penduduk Bukit Malut di sini berharap pelbagai persepsi negatif yang sekian lama dikaitkan dengan penempatan mereka dihentikan, termasuk dakwaan bahawa kawasan itu menjadi lokasi pendaratan dan penempatan pelarian dari Myanmar.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Malut Mohamad Fadzli Abdullah berkata penduduk telah lama berdepan dengan pelbagai tuduhan yang disifatkan tidak berasas sehingga setiap kali timbul isu berkaitan pendatang tanpa izin di Langkawi, kawasan itu sering dijadikan sasaran.
“Kami sudah lali dengan persepsi negatif terhadap Bukit Malut. Pelbagai tuduhan dibuat sehingga apabila ada pelarian mendarat di Langkawi, kawasan kami yang sering dipersalahkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata dakwaan bahawa Bukit Malut menjadi lokasi pendaratan pendatang asing adalah tidak berasas memandangkan kedudukannya yang berhampiran dengan pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sekali gus memudahkan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perairan berkenaan dikesan pihak berkuasa.
Mohamad Fadzli turut menolak tanggapan bahawa orang ramai tidak dibenarkan memasuki Bukit Malut atau kawasan itu tidak selamat untuk dikunjungi.
“Tiada sebarang halangan untuk memasuki Bukit Malut. Tahap keselamatan di sini sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa, manakala persepsi negatif yang timbul berpunca daripada maklumat yang tidak tepat,” katanya.
Beliau berkata kira-kira 85 peratus penduduk Bukit Malut bekerja sebagai nelayan, manakala selebihnya terdiri daripada peniaga, pengusaha kereta sewa, penjawat awam, anggota badan beruniform serta lepasan institusi pengajian tinggi.
Seorang penduduk, Hasanah Zakaria, 42, pula berkata orang ramai seharusnya datang dan melihat sendiri kehidupan sebenar masyarakat di Bukit Malut, bukannya membuat penilaian berdasarkan dakwaan yang tular dalam media sosial.
“Kami hidup seperti penduduk kampung lain dan tiada masalah jenayah yang membimbangkan berlaku di sini. Tidak perlu takut untuk datang ke sini,” katanya yang telah menetap di kawasan itu sejak lebih 20 tahun yang lepas.
Loading…
www.bernama.com