combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
âPendudokâ, âPendidekanâ Di Muzium Negeri Pulau Pinang Adalah Ejaan Melayu Lama - Exco
GEORGE TOWN, 27 Ogos (Bernama) – Perkataan ‘pendudok’ dan ‘pendidekan’ yang tertera pada papan penerangan di pintu masuk Muzium Negeri Pulau Pinang bukan kesalahan ejaan, sebaliknya menggunakan sistem ejaan Bahasa Melayu lama yang diguna pakai ketika muzium itu dibuka pada 1965.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai menjelaskan papan penerangan tersebut merupakan replika inskripsi asal pada plak peringatan yang didirikan sempena pembukaan rasmi muzium itu pada 14 April 1965.
“Perkataan-perkataan yang tertera pada papan tanda tersebut bukanlah kesalahan ejaan yang berlaku ketika papan tanda berkenaan dibuat semula sempena kerja-kerja naik taraf muzium.
“Sebaliknya, perkataan tersebut merupakan inskripsi asal pada plak peringatan yang didirikan sempena pembukaan rasmi Muzium Negeri Pulau Pinang pada 14 April 1965, yang telah direplikasi semula berdasarkan rupa asalnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan perhatian orang ramai yang mengambil berat mengenai ejaan tersebut sebagai perkembangan positif kerana menunjukkan masyarakat membaca, meneliti dan mengambil tahu bahan sejarah yang dipamerkan, serta membuka ruang kepada fungsi pendidikan muzium menerusi perbincangan mengenai sejarah.
Wong yang juga Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang berkata sebelum Malaysia dan Indonesia memperkenalkan sistem ejaan Rumi baharu pada 16 Ogos 1972, sistem ejaan Bahasa Melayu yang digunakan berbeza daripada ejaan masa kini.
Beliau berkata ketika itu perkataan ‘penduduk’ dieja sebagai ‘pendudok’, manakala ‘pendidikan’ dieja sebagai ‘pendidekan’, selaras dengan sistem ejaan lama berasaskan Ejaan Za’ba sebelum distandardkan kepada bentuk yang digunakan hari ini.
Piawaian ejaan masa kini tidak boleh digunakan untuk menentukan ketepatan perkataan yang digunakan pada 1960-an kerana perlu dinilai berdasarkan konteks sejarah dan norma bahasa pada zaman tersebut, katanya.
Beliau berkata usaha mengekalkan ejaan asal itu selaras dengan fungsi muzium untuk memelihara bahan sejarah sedekat mungkin dengan rupa asal, termasuk tulisan, istilah, ejaan serta jejak zaman yang terkandung pada sesuatu artifak atau rekod.