combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Pulau Pinang Rancang Wujud Pusat Penyembelihan Di Setiap Daerah - Exco
--kredit FB YB Dato’ Haji Rashidi Zinol
Pulau Pinang merancang untuk mewujudkan pusat penyembelihan di setiap daerah bagi memperkukuh ekosistem industri ternakan, meningkatkan tahap keselamatan makanan serta memastikan aktiviti penyembelihan dilaksanakan secara lebih tersusun, bersih dan mematuhi syarak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Rashidi Zinol berkata kerjasama strategik merentasi pelbagai jabatan akan diwujudkan bagi memastikan pembangunan dan pengoperasian pusat penyembelihan itu memenuhi keperluan teknikal, kesihatan awam, pengurusan sisa, kebajikan haiwan serta pematuhan syariah.
"Ketika ini, aktiviti penyembelihan di beberapa kawasan masih dijalankan secara berskala kecil dan berasingan mengikut keperluan setempat.
"Walaupun kebanyakan pengusaha mematuhi garis panduan yang ditetapkan, kerajaan negeri berpandangan sudah tiba masanya satu pendekatan yang lebih sistematik dan berpusat diwujudkan bagi memastikan standard yang seragam dapat dilaksanakan di seluruh negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pusat penyembelihan berpusat itu bukan sahaja berfungsi sebagai lokasi penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan kerbau, malah akan menyediakan kemudahan pemeriksaan veterinar, pemantauan kesihatan haiwan, kawalan penyakit, pengurusan sisa yang lebih cekap serta ruang pemprosesan yang memenuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan.
Rashidi berkata melalui kemudahan itu, setiap haiwan yang dibawa masuk untuk disembelih akan melalui proses pemeriksaan yang lebih teratur oleh pihak veterinar sebelum dan selepas penyembelihan supaya hanya haiwan yang sihat serta selamat dibenarkan memasuki rantaian bekalan makanan pengguna.
Katanya, pusat penyembelihan tersebut juga akan membantu meningkatkan tahap pematuhan terhadap prosedur penyembelihan halal yang ditetapkan pihak berkuasa agama.
"Dengan penglibatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang, aspek pemantauan penyembelih bertauliah, kaedah penyembelihan dan pematuhan syariah dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan konsisten," katanya.
Dari sudut pembangunan ekonomi pula, Rashidi berkata kewujudan pusat penyembelihan itu dijangka mampu memberi manfaat besar kepada penternak dan usahawan tempatan kerana mereka tidak perlu lagi bergantung kepada kemudahan yang terhad atau berada jauh dari kawasan operasi masing-masing.