BTC USD 75,680.9 Gold USD 4,352.89
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Pelajar lepaskan tembakan di sekolah Thailand, beberapa individu maut

kupanglaut

Super Active Member
Messages
9,698
Joined
Jun 13, 2025
Messages
9,698
Reaction score
97
Points
80

Pelajar lepaskan tembakan di sekolah Thailand, beberapa individu maut​

3607768.webp

Beberapa individu dilaporkan maut selepas seorang pelajar melepaskan tembakan di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi, utara Bangkok. Gambar hiasan.

BANGKOK – Beberapa individu dilaporkan maut selepas seorang pelajar melepaskan tembakan di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi, utara Bangkok, pada Jumaat.

Menurut pihak berkuasa Thailand, suspek yang dikenal pasti sebagai seorang pelajar melancarkan serangan di sebuah sekolah di daerah Bang Kruai.

Ketua Balai Polis Plai Bang, Leftenan Kolonel Pasakorn Chaitawiwong berkata, jumlah sebenar mangsa yang maut masih belum dapat dipastikan.

"Jumlah kematian masih belum diketahui," katanya kepada Reuters.

Setakat ini, pihak polis belum mendedahkan identiti suspek, motif serangan atau jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban dan cedera.

Gambar yang dikongsi petugas kecemasan menunjukkan pelajar bergegas keluar dari Sekolah Debsirin Nonthaburi di pinggir barat laut Bangkok ketika ambulans dan pasukan penyelamat menjalankan operasi.

Salah satu gambar memperlihatkan seorang mangsa dibawa menggunakan pengusung ke ambulans, manakala seorang lagi menerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian.

Insiden itu berlaku kira-kira enam bulan selepas seorang guru maut dan seorang pelajar cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah sekolah di daerah Hatyai, selatan Thailand pada Februari lalu.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan dijangka mengemas kini perkembangan kes dalam masa terdekat. –Agensi

 
14288741016883765-416263.jpg

14288741016883765-416264.jpg

14288741016883765-416265.jpg

14288741016883765-416266.jpg

14288741016883765-416267.jpg

14288741010351061-416253.jpg

14288741010351061-416254.jpg

14288741010351061-416255.jpg

14288741010351061-416256.jpg

14288741010351061-416257.jpg

14288741010351061-416258.jpg

14288741010351061-416259.jpg

14288741010351061-416260.jpg

14288741010351061-416261.jpg

14288741010351061-416262.jpg


7 maut, 15 cedera dalam insiden tembakan di sekolah Thailand

07 Ogos 2026 03:43pm

BANGKOK - Tujuh individu, termasuk tiga guru dan tiga pelajar, maut manakala sekurang-kurangnya 15 lagi cedera selepas seorang pelajar melepaskan tembakan di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi, barat laut Bangkok, pada Jumaat pagi.

Insiden tembakan itu berlaku di Sekolah Debsirin Nonthaburi di daerah Bang Kruai kira-kira 10 pagi, dengan suspek dikenal pasti sebagai pelajar sekolah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Diraja Thailand dan jurucakap, Leftenan Jeneral Trairong Piwpan berkata tujuh orang terkorban -- tiga guru, tiga pelajar dan suspek, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seramai 15 mangsa yang cedera dibawa ke hospital, termasuk dua yang berada dalam keadaan parah," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Jumaat.

Trairong berkata siasatan awal menemukan sepucuk pistol 9 milimeter dan 34 butir peluru di luar kelopak peluru.

"Siasatan polis mendapati pistol itu milik datuk suspek," katanya.

Beliau berkata, guru dan pelajar telah dipindahkan ke Sekolah Chanrat Wittaya yang berhampiran, manakala ibu bapa dan penjaga diminta mengambil anak masing-masing.

Ketua Polis Negara turut mengarahkan Hospital Besar Polis menghantar segera pakar psikologi bagi memberikan rawatan dan sokongan kepada mereka yang terjejas akibat insiden itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, yang juga Menteri Dalam Negeri, melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian itu dan mengarahkan pihak berkuasa memberikan bantuan segera kepada mangsa yang cedera serta mengerahkan pegawai berkaitan ke lokasi kejadian.

"Apa yang berlaku amat mengerikan," katanya sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Anutin turut mengaitkan insiden itu dengan keputusan kerajaan untuk tidak memperbaharui permit membawa dan memiliki senjata api.

"Inilah sebabnya kerajaan tidak membenarkan permit membawa dan memiliki senjata api diperbaharui," katanya.

Insiden itu berlaku kurang enam bulan selepas satu lagi kejadian tembakan di sekolah di Thailand.

Pada Februari lalu, seorang lelaki berusia 18 tahun melepaskan tembakan di sebuah sekolah di Hat Yai, Songkhla, menyebabkan pengetua sekolah terbunuh dan beberapa individu lain cedera sebelum suspek ditahan. - Bernama

Artikel Sinar Harian
 

‘Kaki game tegar, budak baik’: Siapa remaja 14 tahun di sebalik insiden tembakan sekolah di Thailand?​

3608232.webp

Polis bersenjata berjalan melalui kawasan sekolah selepas insiden tembakan di daerah Bang Kruai, wilayah Nonthaburi, utara ibu negara Thailand, Bangkok, pada Jumaat. Foto: AFP

BANGKOK - “Saya takut mati dan saya takut tidak dapat mengejar impian saya.”

Demikian kata salah seorang mangsa kejadian tembakan di sebuah sekolah di Bangkok.

Ketakutan dan kesedihan menyelubungi sekolah berprestij Debsirin Nonthaburi pada Jumaat apabila bunyi tembakan kedengaran di kawasan sekolah.

Seramai sembilan orang termasuk penembak maut dalam kejadian itu, manakala 22 lagi cedera.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, melahirkan rasa dukacita terhadap insiden tersebut.

“Ini sesuatu yang amat dahsyat. Saya sedih terhadap mereka yang terkorban dan sedih kerana perkara seperti ini berlaku di negara kita,” katanya.

Insiden tembakan itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai kawalan senjata api di Thailand.

Ketika penyiasat berusaha mengenal pasti motif serangan, berikut fakta yang diketahui setakat ini.

Tembakan dilepaskan dalam sekolah

Kira-kira jam 10 pagi, sukarelawan Yayasan Poh Teck Tung menerima laporan mengenai tembakan di Sekolah Debsirin Nonthaburi yang terletak di wilayah Nonthaburi, Bangkok.

Menurut pihak berkuasa, penembak yang juga seorang pelajar melepaskan 26 das tembakan sehingga menyebabkan pelajar bertempiaran menyelamatkan diri.

Guru-guru kemudian membawa pelajar masuk ke dalam bilik darjah, mengunci pintu, memadamkan lampu dan mengarahkan mereka meniarap di lantai sementara menunggu bantuan.

Seorang pelajar memberitahu BBC bahawa dia berada di hadapan gurunya ketika guru itu ditembak.

“Dia sedang bercakap dengan saya apabila penembak muncul dan menembaknya. Saya tidak nampak apa-apa selain debu berterbangan. Dia bergerak dari satu bilik ke satu bilik. Meja saya sangat dekat dengan guru. Saya terpaksa memanjat pagar sekolah untuk melarikan diri bersama rakan-rakan,” katanya.

Seorang pelajar, Pawarisa Maylissa, yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan berkata, dia mendengar banyak tembakan kuat seolah-olah suspek berada di tingkat atas mereka.

“Saya juga boleh mendengar peluru menghentam lantai,” katanya kepada AFP.

Seorang lagi pelajar berusia 18 tahun memberitahu Reuters bahawa pada mulanya dia menyangka bunyi mercun atau objek dihentak.

“Saya tidak sangka itu bunyi pistol. Tembakan kedengaran bertalu-talu, kemudian senyap seketika sebelum bermula semula,” katanya.

Pihak berkuasa memaklumkan enam orang terbunuh tidak termasuk penembak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata lima guru maut, manakala polis melaporkan tiga guru dan tiga pelajar terkorban.

Petugas kecemasan, Kiatikhun Verapongpradith, yang antara individu terawal tiba di lokasi berkata, pasukannya merawat pelajar yang cedera di belakang badan, dada dan lengan.

Mereka turut menemui seorang guru lelaki maut di tingkat atas sekolah dan seorang guru wanita cedera di dada dan lengan di bilik lain.

Menurutnya, penembak ditemui di salah sebuah bilik dalam keadaan menembak dirinya sendiri di bahagian kanan kepala.

“Apabila kami memeriksa nadinya, dia masih bernyawa lalu kami segera melakukan bantuan pernafasan (CPR),” katanya.

Bagaimanapun, remaja itu gagal diselamatkan.

Penembak berusia 14 tahun

Walaupun pihak berkuasa belum mendedahkan identitinya, laporan menyatakan penembak ialah pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Polapee Suwanchawee berkata, remaja itu merupakan kaki permainan video tegar.

Seorang guru sekolah pula memberitahu BBC bahawa pelajar tersebut dikenal sebagai ‘budak baik dengan rekod akademik yang baik’ dan tidak pernah diketahui bersikap agresif.

Pihak berkuasa berkata, pistol 9mm yang digunakan dalam serangan itu milik datuknya yang juga seorang guru.

Siasatan turut mendapati remaja itu dipercayai membunuh datuk dan neneknya sebelum pergi ke sekolah.

Kedua-dua warga emas itu ditemui mati di rumah mereka, menurut Menteri Kesihatan Awam Thailand.

Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian.

Thailand dan sejarah tembakan rambang

Keganasan senjata api bukan perkara asing di Thailand yang menyaksikan beberapa siri tembakan maut dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, termasuk melibatkan kanak-kanak.

Pada Februari lalu, seorang pengetua sekolah dan pelajar perempuan ditembak oleh penyerang berusia 18 tahun ketika kejadian kepungan sekolah di selatan Thailand.

Pada Julai tahun lalu, seorang penembak membunuh lima orang termasuk pengawal keselamatan dan peniaga di sebuah pasar di Bangkok sebelum menembak dirinya sendiri.

Insiden paling buruk berlaku pada Oktober 2022 apabila bekas anggota polis mengamuk menggunakan pistol dan pisau di beberapa lokasi selama tiga jam sehingga mengorbankan 36 orang termasuk 22 kanak-kanak di sebuah pusat jagaan di Nong Bua Lam Phu.

Penyerang berusia 34 tahun itu turut membunuh isteri, anak dan dirinya sendiri. Pihak berkuasa berkata, dia sebelum itu dipecat kerana memiliki dadah secara haram serta berdepan masalah kewangan, undang-undang dan keluarga.

Sebelum itu pada Februari 2020, seorang anggota tentera yang berang membunuh sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan 57 yang lain dalam serangan di empat lokasi sekitar Nakhon Ratchasima.

Kebanyakan mangsa berada di sebuah pusat beli-belah, tempat penyerang bertahan semalaman menggunakan raifal dan peluru yang dicuri dari pangkalan tenteranya sebelum ditembak mati oleh pasukan keselamatan. - Agensi

 

9 maut termasuk penembak dalam kes tembakan di sekolah Thailand​

Sekurang-kurangnya lapan terbunuh selepas seorang pelajar melepaskan tembakan di sebuah sekolah di Thailand pada 7 Ogos, sebelum mengakhiri hidupnya sendiri, menurut pegawai Polis Diraja Thailand.

Polis memaklumkan, seramai 15 lagi cedera dalam tragedi di Sekolah Debsirin Nonthaburi, yang terletak di pinggir barat laut Bangkok.

 

Serangan tembakan di sekolah: PM Thai tolak spekulasi buli​

3610053.webp

Jambangan bunga dan gambar mangsa yang terkorban diletakkan di tugu peringatan sementara di luar Sekolah Debsirin Nonthaburi, di daerah Bang Kruai, wilayah Nonthaburi, pinggir Bangkok. Foto Agensi

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi bahawa kejadian buli menjadi punca insiden tembakan di sebuah sekolah di daerah Bang Kruai, pinggir ibu kota.

"Fakta sebenar perlu ditentukan penyiasat. Kawalan senjata api wajar diperketatkan. Mana-mana individu yang membawa senjata api di tempat awam tanpa kebenaran boleh berdepan pertuduhan jenayah serius," tegasnya.

Sementara itu, seorang rakan sekolahnya turut mengesahkan pelaku bukanlah mangsa buli seperti didakwa banyak pihak kerana dia lebih suka bersendirian.

Pada Jumaat, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun menggunakan pistol 9mm menyasarkan guru dan pelajar selepas menembak mati datuk dan neneknya.

Sekurang-kurangnya sembilan terbunuh manakala 21 yang lain cedera sebelum pelaku mengambil nyawanya sendiri.

Sementara itu, siasatan awal mendapati pelajar itu pernah membawa senapang angin sebelum dirampas gurunya pada tahun lalu selain gemar menonton kandungan ganas dalam talian.

Pihak berkuasa memaklumkan remaja itu menggunakan media sosial untuk mempelajari cara menggunakan senjata api.

“Suspek telah menunjukkan minat untuk mempelajari penggunaan senjata api sejak dua tahun lalu,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah Polis Wilayah 1, Atthapol Anusit. - Agensi

 
Back
Top
Log in Register