kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
PBAKL 2026 Catat Rekod Baharu Lebih 2.4 Juta Pengunjung
Gelagat si cilik melihat pelbagai jenis bahan bacaan yang menarik sambil ditemani ibu bapa ketika mengunjungi pameran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 menutup tirainya hari ini dengan mencatat rekod baharu apabila menerima kehadiran 2,416,009 pengunjung, mengatasi pencapaian 2.1 juta pengunjung yang direkodkan tahun lepas.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata pencapaian itu membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh budaya membaca serta memajukan industri buku negara membuahkan hasil.
“Pada 2023, jumlah pengunjung ke PBAKL adalah sebanyak 1.6 juta orang. Tahun seterusnya, 2024, jumlah yang dicatatkan 1.8 juta orang, manakala tahun lepas kita berjaya melepasi dua juta pengunjung dengan catatan 2.1 juta orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan PBAKL 2026 di Pusat Dagangan Dunia di sini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Wan Hashim Wan Rahim, Penasihat Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026 Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.
PBAKL 2026 yang berlangsung selama 10 hari bermula 29 Mei disertai 209 penerbit tempatan dan 23 penerbit antarabangsa.
Wong berkata penyertaan yang memberangsangkan itu membuktikan industri buku negara terus berkembang secara lebih matang, mantap dan dinamik.
Beliau berkata Malaysia kini mempunyai ekosistem buku digital yang semakin matang dengan penyertaan lebih 1,000 pemain industri serta akses kepada lebih 900,000 judul buku melalui pelbagai platform digital.
Katanya, perkembangan itu membolehkan akses kepada bahan bacaan berkualiti diperluaskan kepada pelajar dan masyarakat di seluruh negara tanpa mengira lokasi geografi.
Dalam pada itu, beliau berkata Baucar Buku MADANI yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri buku negara.