BTC USD 76,234.9 Gold USD 4,304.61
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Pasaran buruh SG terus berkembang pada Q2 meski ekonomi global bergolak, pemberhentian pekerja meningkat

adi19

Fun Poster
Messages
768
Joined
Oct 30, 2013
Messages
768
Reaction score
3
Points
25

Pasaran buruh SG terus berkembang pada Q2 meski ekonomi global bergolak, pemberhentian pekerja meningkat​

screenshot_2026-07-31_114658.jpg

Para pekerja di Daerah Pusat Perniagaan (CBD) Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Pasaran buruh Singapura terus berkembang pada suku kedua 2026 meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, dengan jumlah pengambilan pekerja meningkat bagi suku ke-19 berturut-turut walaupun pemberhentian pekerja turut meningkat, sebahagian besarnya disebabkan oleh penstrukturan semula perniagaan dalam beberapa sektor.

Perangkaan awal pasaran buruh yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (31 Jul) menunjukkan jumlah pengambilan pekerja meningkat sebanyak 10,700 pada suku kedua, berbanding 9,400 pada suku pertama, dan secara keseluruhannya sejajar dengan pertambahan 10,400 yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

IKLAN

Pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk terus meningkat, walaupun pada rentak yang lebih perlahan berbanding suku pertama, didorong terutamanya oleh pengambilan pekerja dalam sektor perkhidmatan penting dan sektor awam. Pertumbuhan pengambilan pekerja pada suku kedua pula dipacu terutamanya oleh pekerja bukan penduduk, khususnya dalam sektor binaan dan pengilangan.

Kadar pengangguran juga kekal rendah dan secara keseluruhannya stabil. Pada Jun, kadar pengangguran keseluruhan kekal pada dua peratus, tidak berubah berbanding Mac. Kadar pengangguran dalam kalangan penduduk kekal pada 2.9 peratus, manakala kadar pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan susut kepada tiga peratus berbanding 3.1 peratus pada Mac.

Jumlah pemberhentian pekerja bagaimanapun meningkat kepada 4,500 pada suku kedua, berbanding 3,830 pada suku sebelumnya. Ia menjadikan kadar pemberhentian pekerja meningkat kepada 1.9 bagi setiap 1,000 pekerja, berbanding 1.6 sebelum ini.

"Peningkatan itu tertumpu kepada beberapa sektor yang berorientasikan pasaran luar, didorong terutamanya oleh penstrukturan semula perniagaan," menurut MOM.

Pada Jun, MOM menyatakan bahawa penstrukturan semula yang sedang berlangsung dalam sektor profesional dan intensif dari segi pengetahuan menyebabkan perubahan ketara pada corak pemberhentian pekerja dalam kalangan pemegang ijazah pada suku pertama, dengan kadar pemberhentian pekerja meningkat dengan signifikan bagi kumpulan tersebut.

IKLAN

MOM turut memaklumkan bahawa kadar pemberhentian pekerja dalam kalangan pekerja berusia antara 50 hingga 59 tahun turut meningkat, daripada 2.8 kepada 3.1 bagi setiap 1,000 pekerja dalam kalangan penduduk.

Namun, MOM menegaskan pada Jumaat (31 Jul) bahawa jumlah pemberhentian pekerja pada suku kedua masih jauh lebih rendah berbanding paras yang lazimnya dicatatkan di tengah-tengah kemelesetan ekonomi.

Ia merujuk kepada jumlah pemberhentian pekerja bagi setiap suku yang mencecah antara 5,980 dengan 12,760 ketika Krisis Kewangan Global 2009, dan antara 5,640 dengan 9,120 semasa pandemik COVID-19.

Laporan penuh pasaran buruh bagi suku kedua akan diterbitkan pada pertengahan September.

PROSPEK PASARAN BURUH

IKLAN

Kementerian itu turut mendedahkan bahawa permintaan terhadap tenaga kerja dilihat kekal berdaya tahan, dengan petunjuk awal menunjukkan peningkatan pada Jun.

Jumlah syarikat yang dijangka akan mengambil pekerja meningkat kepada 43.9 peratus pada Jun, berbanding 40.6 peratus pada Mei. Jumlah syarikat yang menjangkakan kenaikan gaji turut meningkat kepada 29.3 peratus daripada 23.7 peratus dalam tempoh yang sama, manakala jumlah syarikat yang menjangkakan pemberhentian pekerja turun kepada 2.7 peratus daripada 3.2 peratus.

MOM menyatakan bahawa peningkatan jangkaan pengambilan pekerja dan kenaikan gaji, serta penurunan jangkaan pemberhentian pekerja, menunjukkan permintaan terhadap tenaga kerja kekal berdaya tahan walaupun syarikat-syarikat terus mengambil pendekatan berhati-hati berikutan ketidaktentuan ekonomi dan penstrukturan semula yang sedang berlaku dalam beberapa sektor.

"Dengan mengambil kira cabaran ekonomi global dan perubahan teknologi yang pesat, syarikat serta pekerja perlu secara proaktif dan berterusan meningkatkan daya kerja masing-masing di pasaran," tambah kementerian itu.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) turut menyatakan pada April bahawa pengambilan pekerja dan pertumbuhan gaji berkemungkinan menjadi lebih perlahan pada 2026 disebabkan oleh perang di Timur Tengah.

IKLAN

Para majikan boleh memanfaatkan skim-skim sedia ada seperti Program Penukaran Kerjaya dan Program Laluan Pertengahan Kerjaya bagi melatih semula serta meningkatkan kemahiran pekerja mereka.

Para pekerja pula digalakkan untuk mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan daya kerja mereka dalam pasaran serta mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik menerusi skim seperti Career Health SG.

Mereka juga boleh memanfaatkan khidmat bimbingan kerjaya yang disediakan Agensi Kemahiran dan Pembangunan Tenaga Kerja (SWDA) serta Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, selain menyertai program-program latihan SkillsFuture.

Graduan baharu yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan boleh memanfaatkan Skim Pelatih Industri bagi Lulusan (GRIT) sebagai laluan alternatif untuk melangkah ke alam pekerjaan sambil memperoleh kemahiran dan pengalaman yang relevan dengan industri, menurut MOM.

Individu yang layak dan kehilangan pekerjaan secara tidak sukarela pula boleh menerima sokongan kewangan sementara sehingga S$6,000 sepanjang tempoh enam bulan menerusi Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture sementara mencari pekerjaan, tambah kementerian itu.

 
Back
Top
Log in Register