Ekonomi SG berkembang kukuh, tetapi mengapa tidak semua pekerja merasai manfaatnya?
Sektor makanan dan minuman (F&B) di Singapura berdepan kos sewa dan tenaga kerja yang tinggi. (Gambar: iStock)
SINGAPURA: Di atas kertas, prospek ekonomi Singapura kelihatan kukuh.
Ekonomi negara dijangka berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini, manakala eksport bukan minyak meningkat dengan pesat.
IKLAN
Namun di sebalik angka pertumbuhan itu, terdapat tanda-tanda awal bahawa sektor-sektor ekonomi Singapura berkembang pada kadar berbeza.
Sektor berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi mendahului pertumbuhan, manakala sektor domestik pula mencatat prestasi lebih lemah.
CNA sebelum ini melaporkan bahawa langkah Singapura menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2026 mencerminkan keyakinan terhadap pertumbuhan sektor berkaitan AI.
Ia termasuk pengilangan elektronik serta sektor berkaitan seperti kejuruteraan ketepatan, perdagangan borong dan kewangan.
Bagi sektor-sektor yang tidak berkaitan dengan ledakan AI global pula, risiko geopolitik dan sentimen pengguna yang lemah di tengah-tengah tekanan inflasi terus menjejas kegiatan perniagaan dan prospek pertumbuhan.
IKLAN
Menurut para pakar, perkembangan itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi Singapura tidak sekata, dengan tanda-tanda “pertumbuhan berbentuk K” mula muncul.
Pertumbuhan berbentuk K merujuk kepada keadaan apabila bahagian-bahagian berbeza dalam ekonomi berkembang pada kadar berlainan atau bergerak di arah bertentangan.
“Pertumbuhan keseluruhan adalah kukuh, tetapi di sebaliknya ia agak tidak sekata,” kata ahli ekonomi Maybank Securities Singapore, Encik Brian Lee.
Menurut beliau, sektor yang lebih lemah kebanyakannya merupakan sektor domestik dan yang berorientasikan pengguna.
Sektor runcit serta makanan dan minuman (F&B) berdepan kos sewa dan tenaga kerja yang tinggi, manakala pengguna masih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka.
IKLAN
Rakyat Singapura juga berbelanja lebih banyak di luar negara, dengan dolar Singapura yang kukuh menjadikan kegiatan melancong dan membeli-belah di rantau ini lebih menarik.
SEKTOR ELEKTRONIK CATAT PERTUMBUHAN KUKUH
Ketua Penyelidikan Asia ANZ, Encik Khoon Goh berkata pertumbuhan berbentuk K paling jelas dapat dilihat menerusi barangan yang dihasilkan kilang-kilang Singapura dan dijual ke luar negara.
Pada Julai, eksport domestik bukan minyak (NODX) elektronik melonjak 112 peratus berbanding tempoh sama setahun lalu.
Sebaliknya, eksport bukan elektronik merosot 2.3 peratus.
IKLAN
Menurut Encik Goh, hampir 60 peratus pertumbuhan pada separuh pertama tahun ini disumbangkan sektor pengilangan dan logistik.
Sebaliknya, sektor F&B menguncup 0.7 peratus, manakala perdagangan runcit dan industri khidmat bukan profesional mencatat pertumbuhan lebih sederhana.
MENGAPA PEKERJA TIDAK SAMA-SAMA RASAI PERTUMBUHAN?
Menurut para pakar ekonomi, sektor yang mencatat prestasi paling kukuh sejak beberapa suku kebelakangan ini bukan sektor yang berintensifkan tenaga kerja.
Sebaliknya, sektor yang lebih lemah menggajikan lebih ramai pekerja.
Encik Goh berkata sektor runcit, hospitaliti dan khidmat bukan kewangan membentuk 24 peratus ekonomi Singapura tetapi menggajikan sekitar separuh tenaga kerja.
Justeru, pertumbuhan kukuh ekonomi secara keseluruhan mungkin tidak begitu dirasakan para pekerja, terutama dengan AI turut menyebabkan perubahan dalam pasaran tenaga kerja dan memaksa perniagaan menyusun semula operasi supaya kekal relevan.
Buat masa ini, Encik Lee berkata pasaran tenaga kerja secara keseluruhannya kekal agak berdaya tahan.
Namun, keadaan boleh menjadi lebih membimbangkan jika kelemahan dalam sektor berorientasikan pengguna mula menjejas pekerjaan dan gaji kerana sektor-sektor tersebut lebih berintensifkan tenaga kerja berbanding sebahagian industri yang memacu pertumbuhan ekonomi.
Pakar ekonomi Standard Chartered Edward Lee dan Jonathan Koh pula berhati-hati untuk menyifatkan keadaan Singapura secara menyeluruh sebagai pertumbuhan berbentuk K.
Sebaliknya, mereka menyifatkan pertumbuhan ekonomi negara sebagai “kukuh tetapi agak tertumpu dan tidak sekata”.
Menurut mereka, isi rumah merasakan keadaan ekonomi terutamanya menerusi jaminan pekerjaan, gaji dan kuasa beli, bukannya angka pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
Pertumbuhan kukuh berkaitan perdagangan juga belum menghasilkan peningkatan pekerjaan yang setanding, menunjukkan pemulihan sektor luaran setakat ini tidak banyak menjana pekerjaan.
RISIKO WUJUD 'EKONOMI DUA KELOMPOK'
Jika pertumbuhan tidak sekata itu dibiarkan berterusan, ia boleh mewujudkan “ekonomi dua kelompok”, menurut Rakan Penyelidik Utama Adjung di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Tan Ern Ser.
Ini bermakna ekonomi terbahagi kepada dua kelompok.
Satu kelompok terdiri daripada pekerja berpengetahuan yang meraih manfaat daripada kemajuan teknologi dan peningkatan daya penghasilan.
Kelompok lain pula terdiri daripada pekerja berkemahiran rendah yang berdepan pertumbuhan gaji lebih perlahan dan risiko pekerjaan mereka terjejas.
Menurut Dr Tan, kedua-dua kelompok itu dipisahkan oleh jurang, dengan peluang yang terhad bagi golongan kurang bernasib baik untuk beralih kepada kelompok yang meraih lebih banyak manfaat.
Perbezaan pendapatan juga boleh membawa kepada ketidaksamaan kekayaan dari semasa ke semasa, terutama jika kelompok yang mendapat manfaat daripada AI terus berkembang pesat sedangkan kelompok lain berdepan gaji rendah atau kehilangan pekerjaan.
Penolong Profesor di Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Jun Yu, berkata individu dan pertubuhan yang mempunyai lebih banyak sumber secara amnya berada dalam kedudukan lebih baik untuk mencuba AI dan memanfaatkannya bagi meningkatkan daya penghasilan, pengaruh dan pendapatan.
Namun, beliau mengingatkan supaya isu itu tidak dilihat semata-mata sebagai jurang antara mereka yang bekerja dalam bidang berkaitan AI dengan mereka yang tidak.
Menurut Dr Yu, perbezaan yang lebih ketara mungkin antara mereka yang mampu membentuk dan meraih manfaat daripada AI dengan mereka yang pekerjaannya disusun semula oleh teknologi tersebut tanpa menerima kuasa atau ganjaran yang setanding.
Sebagai contoh, pekerja bukan teknikal mungkin menggunakan AI untuk meningkatkan kepakaran dan prospek kerjayanya, sedangkan seseorang yang bekerja di syarikat berkaitan AI masih boleh berdepan ketidakjaminan pekerjaan atau gaji rendah.
LATIHAN KEMAHIRAN BOLEH KURANGKAN JURANG
Latihan kemahiran boleh membantu mengurangkan kesan pertumbuhan ekonomi yang tidak sekata, namun manfaatnya terhad jika pekerja tidak mempunyai masa dan sokongan pertubuhan untuk menggunakan apa yang dipelajari, kata Dr Yu.
Menurut beliau, tindak balas yang lebih menyeluruh perlu mengambil kira sama ada syarikat dan sektor yang mempunyai sumber lebih terhad mendapat akses kepada sokongan.
Ia juga perlu melihat sejauh mana pekerja dilibatkan dalam keputusan mengenai pelaksanaan AI serta bagaimana hasil peningkatan daya penghasilan diagihkan.
Dasar juga perlu mengambil kira sama ada peningkatan daya penghasilan diterjemahkan kepada gaji dan mutu pekerjaan yang lebih baik serta sama ada peralihan tersebut memperluas atau mengehadkan peluang bagi mobiliti sosial dan pekerjaan.
Profesor Sosiologi Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Paulin Straughan, menarik perhatian bahawa Singapura sudah mengambil langkah meluaskan akses kepada alat AI menerusi sekolah.
Beliau turut berpandangan bahawa usaha membudayakan kedermawanan boleh membantu mengurangkan kesan ketidaksamaan.
Menurut Profesor Straughan, ekonomi berbentuk K mencerminkan perpecahan yang berpotensi menjejas kestabilan jika jurang tersebut tidak ditangani.
Namun, jika mereka yang meraih lebih banyak manfaat terus menyalurkan sebahagian kelebihan mereka untuk membina jaringan keselamatan yang menyokong golongan lain, kestabilan masyarakat dapat dilindungi dan diperkukuh.
Ekonomi SG berkembang kukuh, tetapi mengapa tidak semua pekerja merasai manfaatnya?
SINGAPURA: Di atas kertas, prospek ekonomi Singapura kelihatan kukuh. Ekonomi negara dijangka berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini, manakala eksport bukan minyak meningkat dengan pesat. Namun di sebalik angka pertumbuhan itu, terdapat tanda-tanda awal bahawa sektor-sektor eko