Hubungan ekonomi lebih kukuh SG-Malaysia bakal jejas perniagaan, namun akan tetap saling beri manfaat
Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam bertemu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa lawatan negara ke Malaysia. (Gambar: Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan)
SINGAPURA: Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata sesetengah perniagaan di Singapura mungkin terjejas apabila hubungan ekonomi dengan Malaysia semakin diperkukuh.
Namun, Presiden Tharman menegaskan integrasi yang lebih rapat akhirnya akan memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.
IKLAN
Ketika berucap pada Rabu (15 Jul), semasa menggulung lawatan negaranya selama empat hari ke Malaysia, Presiden Tharman berkata inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Laluan RTS Johor Bahru-Singapura akan saling mengukuhkan ekonomi kedua-dua negara
JS-SEZ, yang ditubuhkan pada 2025, bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi antara Singapura dengan Johor dengan memudahcarakan pelaburan, aliran bakat serta kegiatan perniagaan rentas sempadan.
Laluan RTS pula, yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027, akan meningkatkan lagi keterhubungan antara Woodlands dengan Johor Bahru.
"Ia bukan lagi satu rahsia, apabila kita menjalin hubungan yang lebih rapat dengan Johor, misalnya menerusi Zon Ekonomi Khas dan RTS, akan ada sesetengah perniagaan di Singapura yang terjejas. Beberapa sektor perkhidmatan akan menerima kesannya," kata Presiden Tharman kepada para wartawan di Kuala Lumpur.
"Namun, ada juga yang akan meraih manfaat dan secara keseluruhannya, kedua-dua negara akan memperoleh keuntungan.
IKLAN
"Kita perlu menerima hakikat bahawa di sebalik manfaat yang lebih besar, akan ada juga pihak yang mengalami kerugian. Itulah cara yang matang untuk melihat hubungan dua hala, di kedua-dua belah pihak," kata Presiden Tharman.
BACA:
SG, Malaysia berperanan pacu ekonomi ASEAN: Presiden Tharman
Presiden Tharman kunjungi Sultan Selangor di Istana Alam Shah
Presiden Tharman berangkat pulang susuli lawatan negara ke Malaysia
MELABUR DEMI GENERASI MASA DEPAN
Melangkah ke hadapan, Presiden Tharman berkata beliau berharap Singapura dan Malaysia dapat memperkukuh hubungan dengan mewujudkan lebih banyak peluang bagi golongan muda untuk belajar, bekerja dan menjalin persahabatan merentasi Koswe.
Beliau mencadangkan agar kedua-dua negara memperluaskan program pertukaran pelajar, latihan amali dan keusahawanan yang membolehkan golongan muda meluangkan lebih banyak masa bersama.
"Tiada yang dapat menandingi pengalaman tinggal bersama, belajar bersama dan meluangkan masa bersama dalam tempoh yang lebih panjang atau secara berulang, bagi membina persahabatan yang berkekalan serta pemahaman yang lebih mendalam antara satu sama lain," kata Presiden Tharman.
"Ia bukan sesuatu yang mudah untuk diaturkan. Mungkin pelajar perlu diberikan pengiktirafan. Namun, manfaat strategik yang lebih besar akan dapat diraih pada masa hadapan."
IKLAN
Presiden Tharman turut menggesa kerjasama yang lebih erat dalam bidang seni, sambil berkata bahawa kedua-dua negara boleh memanfaatkan pertukaran budaya yang sedia ada dengan memberikan "tarikan baharu" kepada generasi muda bagi tradisi yang dikongsi bersama.
Hubungan ekonomi lebih kukuh SG-Malaysia bakal jejas perniagaan, namun akan tetap saling beri manfaat
Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata sesetengah perniagaan di Singapura mungkin terjejas apabila hubungan ekonomi dengan Malaysia semakin diperkukuh.