BTC USD 76,160.4 Gold USD 4,341.92
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Palang Merah SG pertingkat bantuan hadapi cuaca panas, jerebu

adi19

Fun Poster
Messages
766
Joined
Oct 30, 2013
Messages
766
Reaction score
3
Points
25

Palang Merah SG pertingkat bantuan hadapi cuaca panas, jerebu​

screenshot_2026-09-07_114730.jpg

Keadaan jerebu di Singapura dari Tampines pada lewat petang pada 4 September 2026. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

SINGAPURA: Palang Merah Singapura (SRC) pada Isnin (7 Sep) menyatakan ia sedang mempertingkatkan usaha menangani cuaca panas dan jerebunya dengan menyediakan alat pembersih udara, pek sokongan serta bantuan bagi pembayaran bil elektrik kepada warga emas yang mudah terjejas serta golongan berisiko.

Menurut SRC, keadaan cuaca panas dan jerebu yang semakin buruk meningkatkan risiko kesihatan bagi golongan yang mudah terjejas, khususnya warga emas yang tinggal bersendirian dan golongan yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.

IKLAN

Mutu udara kekal dalam julat sederhana pada Ahad selepas Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencecah paras tidak sihat di tiga kawasan pada Sabtu.

PSI 24 jam memasuki julat tidak sihat antara 101 dengan 200 pada pukul 7.00 pagi, pada 4 September, menandakan kali pertama ia melepasi paras tersebut sejak 8 Oktober 2023.

Perkembangan tersebut mendorong Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mula mengeluarkan nasihat jerebu setiap hari, termasuk ramalan PSI 24 jam, bagi membantu orang ramai merancang kegiatan dan acara untuk hari berikutnya.

Usaha yang diperluas itu menyusuli langkah SRC menangani cuaca panas dan jerebu yang dimulakan pada April, dengan para relawan mengagihkan pek-pek jagaan yang mengandungi tuala penyejuk, pelitup muka, botol air dan kipas mudah alih, selain berkongsi maklumat kesihatan dengan golongan yang mudah terjejas.

SRC menjangkakan kumpulan pertama bantuan tambahan tersebut akan memanfaatkan 700 orang di seluruh Singapura.

IKLAN

Dalam beberapa hari akan datang, 200 warga emas berusia lebih 70 tahun yang tinggal bersendirian dan menyertai program HoME+ atau Medical Chaperone & Transportation SRC akan menerima alat pembersih udara serta pek sokongan bagi menghadapi cuaca panas dan jerebu.

Jika diperlukan, mereka juga akan menerima bantuan bagi membayar bil elektrik selama tiga bulan untuk menampung kos penggunaan alat pembersih udara.

“Seramai 500 penerima tambahan daripada golongan mudah terjejas juga akan menerima pek jagaan yang mengandungi air kelapa, minuman isotonik, makanan sedia dimakan yang sesuai, barangan kebersihan asas serta keperluan harian lain,” menurut SRC.

SRC menyatakan bekalan tersebut bertujuan membantu para penerima kekal terhidrat, mengurangkan kegiatan di luar rumah yang tidak diperlukan dan mematuhi nasihat kesihatan Agensi Sekitaran Kebangsaan sedapat mungkin.

Bantuan akan diselaraskan menerusi program-program sedia ada SRC, rangkaian masyarakat dan rakan kerjasama, sekali gus membolehkan bantuan disesuaikan dengan keadaan setiap penerima.

IKLAN

Para pendamping masyarakat juga akan dilatih untuk memberi nasihat kepada para penerima bantuan, mengenal pasti tanda-tanda masalah kesihatan akibat cuaca panas atau jerebu serta mengambil tindakan sewajarnya.

Setiausaha Agung merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SRC Benjamin William berkata: “Apabila suhu meningkat dan mutu udara merosot, kesannya boleh menjadi jauh lebih serius bagi mereka yang sememangnya berisiko.”

“Tiada sesiapa yang seharusnya menghadapi keadaan ini bersendirian,” tambah beliau.

“Kami menggesa semua orang supaya terus berwaspada, mematuhi nasihat kesihatan rasmi dan memantau mereka yang mungkin memerlukan bantuan. Kesiapsiagaan adalah tanggungjawab bersama, dan apabila kita saling menjaga antara satu sama lain, kita memperkukuh daya tahan seluruh masyarakat,” kata Encik William.

Kakitangan dan sukarelawan SRC yang dikerahkan untuk mengagihkan bantuan dan melakukan kunjungan ke rumah-rumah akan dibekalkan dengan pelitup N95 semasa bertugas di kawasan yang terjejas akibat mutu udara yang buruk.

 
Back
Top
Log in Register