SG siap sedia hadapi risiko jerebu; penganjur acara lakar pelan luar jangka
Pemandangan kawasan pusat perniagaan (CBD) yang dirakam dari Chai Chee Road pada 15 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
SINGAPURA: Pada September 2019, ancaman jerebu yang semakin memburuk menjadi antara isu utama menjelang Perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Singapura pada tahun tersebut, sekali gus mengancam untuk menjejaskan salah satu acara sukan terbesar di negara ini.
Ketika itu, mutu udara merosot ke paras tidak sihat sepanjang hujung minggu perlumbaan akibat kebakaran hutan di Indonesia, sehingga menyebabkan bau kurang menyenangkan berlarutan sepanjang acara tersebut.
IKLAN
Meskipun berdepan keadaan berjerebu, sekitar 268,000 penonton tetap menghadiri perlumbaan itu, manakala pihak penganjur mengerahkan para petugas bantuan kecemasan dalam keadaan bersiap siaga selain menyediakan pelitup N95 kepada mereka yang memerlukannya.
Tujuh tahun kemudian, ancaman jerebu sekali lagi membayangi Grand Prix Singapura. Menurut pihak berkuasa, risikonya kini dinilai lebih tinggi.
Buat masa ini, Indeks Pencemaran Udara (PSI), yang digunakan sebagai kayu ukur mutu udara Singapura, meningkat sedikit pada hujung minggu lalu dan kekal dalam julat sederhana antara 51 dengan 100.
Mutu udara dianggap tidak sihat apabila PSI melebihi 100, sangat tidak sihat apabila ia melepasi 200 dan berbahaya apabila ia menjangkaui 300.
Khidmat Kaji Cuaca Singapura pada Isnin (17 Ogos) menyatakan Singapura mungkin mengalami keadaan berjerebu sekiranya kebakaran di Sumatra dan Kalimantan di Indonesia, bertambah buruk, dengan keadaan kering di rantau ini dijangka berterusan dalam masa beberapa hari akan datang.
IKLAN
Dengan ramalan cuaca menunjukkan risiko jerebu rentas sempadan yang teruk semakin meningkat pada separuh kedua tahun ini di tengah-tengah fenomena El Nino yang dahsyat serta faktor-faktor lain, para penganjur acara dan pengendali kemudahan luar enggan mengambil sebarang risiko.
Apabila ditanya mengenai persiapannya untuk menghadapi jerebu tahun ini, jurucakap Singapore GP berkata kemungkinan berlaku jerebu sudah diambil kira dalam pelan luar jangka keseluruhan acara tersebut.
"Pelan itu dirangka dan diperhalusi bersama pihak-pihak berkepentingan dan agensi-agensi pemerintah. Sekiranya jerebu menjejas jarak penglihatan, kesihatan awam atau operasi, Singapore GP akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi yang relevan sebelum membuat sebarang keputusan bersama berhubung acara itu," kata jurucakap tersebut.
Pelbagai agensi bekerjasama rapat dengan Singapore GP bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan para penonton, kakitangan, pelumba dan kru, menurut Pasukan Bertindak Jerebu yang melibatkan pelbagai agensi pemerintah.
Agensi-agensi yang menganggotai pasukan bertindak tersebut akan bekerjasama rapat dengan Singapore GP mengenai langkah-langkah yang perlu diambil berdasarkan paras PSI dan PM2.5 yang berbeza-beza.
IKLAN
Langkah-langkah tersebut termasuk memastikan semua individu di litar dimaklumkan mengenai perkembangan terkini berkaitan jerebu, selain menyediakan bantuan perubatan dan pelitup N95 di lokasi sekiranya diperlukan.
"Sekiranya keadaan jerebu menjejas jarak penglihatan, kesihatan awam atau operasi, agensi-agensi yang relevan akan bekerjasama rapat dengan Singapore GP untuk menilai keadaan sebelum sebarang keputusan bersama mengenai acara itu dibuat," menurut pasukan bertindak tersebut.
Ditubuhkan pada 1994, pasukan bertindak tersebut dipengerusikan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan terdiri daripada 28 agensi pemerintah, termasuk Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB), yang menyelia perlumbaan F1 di Singapura.
Agensi-agensi tersebut sudah menyediakan pelan tindakan dengan langkah tindak balas secara berperingkat mengikut tahap jerebu, berdasarkan bacaan PSI 24 jam dan PM2.5 setiap jam.
Bagi sekolah, kegiatan luar akan disesuaikan dan alat pembersih udara akan dihidupkan, menurut pasukan bertindak tersebut.
IKLAN
Bagi para pekerja, kegiatan kerja di luar akan dikurangkan, dengan perhatian khusus diberikan kepada warga emas, wanita hamil serta pekerja yang menghidap penyakit paru-paru atau jantung kronik.
Pasukan bertindak tersebut bersidang pada April untuk menyemak dan mengemas kini pelan tindak balas setiap agensi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku jerebu rentas sempadan.
Pihak berkuasa juga telah mempertingkatkan usaha komunikasi awam bagi meningkatkan tahap kesedaran berhubung risiko jerebu rentas sempadan yang lebih tinggi tahun ini serta langkah berjaga-jaga yang perlu diambil.
PENGENDALI TEMPAT TERBUKA, PENGANJUR ACARA DALAM KEADAAN BERSIAP SEDIA
Bagi menjaga keselamatan orang ramai, pengendali ruang terbuka dan penganjur acara lain turut membuat persiapan menghadapi kemerosotan mutu udara. Ini termasuk kemungkinan membatalkan atau menangguhkan acara sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk, menurut mereka kepada Mediacorp.
Selain memantau ramalan PSI dan mengeluarkan nasihat kesihatan, Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) memaklumkan bahawa pihaknya akan memberikan saranan kepada para pengendali daya tarikan dan rakan kongsinya di Sentosa supaya menyesuaikan langkah operasi berdasarkan mutu udara semasa.
"Ini mungkin termasuk penyesuaian terhadap format acara, operasi atau nasihat kepada para pengunjung, jika perlu dan selaras dengan panduan rasmi," kata seorang jurucakap.
Para penganjur dan rakan kongsi pula digalakkan supaya terus memaklumkan kepada pengunjung mengenai sebarang perubahan pada program mereka.
SDC menyatakan pihaknya sudah menyediakan pelitup N95 untuk kakitangan barisan hadapan dan mengikuti garis panduan keselamatan di tempat kerja di peringkat nasional, seperti mengurangkan kerja di luar, menyediakan waktu rehat di dalam bangunan, melaksanakan penggiliran tugas serta menyediakan waktu rehat untuk minum air jika perlu.
Bagi HeritageSG, yang menganjurkan Singapore Night Festival 2026 (Pesta Malam Singapura 2026), jurucakapnya berkata pasukan mereka sedang memantau keadaan jerebu dan mutu udara dan akan memanfaatkan nasihat kesihatan NEA untuk menentukan sama ada kegiatan luar boleh diteruskan.
Pesta tersebut dijadualkan bermula pada 21 Ogos dan berlangsung sehingga 5 September.
Program-program mungkin disesuaikan, dipindahkan ke lokasi lain atau dibatalkan demi keselamatan orang ramai, menurut jurucakapnya. Sebarang perubahan akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi seperti laman Pesta Malam Singapura dan platform-platform media sosial.
Mereka yang sudah membeli tiket bagi program-program yang terjejas akan dimaklumkan secara langsung dan diberikan pilihan seperti bayaran balik atau penjadualan semula, jika sesuai, tambah pihak penganjur.
MEMASTIKAN BEKALAN PELITUP MENCUKUPI
Pasukan Bertindak Jerebu turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat perniagaan dan peruncit, termasuk pasar raya dan farmasi, sebagai sebahagian daripada persiapan lebih luas untuk menghadapi kemungkinan jerebu.
Mediacorp sebelum ini melaporkan bekalan pelitup mencukupi untuk memenuhi permintaan sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.
Sehubungan itu, perniagaan turut dinasihatkan supaya mengikuti langkah berjaga-jaga yang digariskan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), termasuk memastikan bekalan pelitup N95 mencukupi, khususnya jika operasi mereka melibatkan kerja-kerja di luar.
Agensi-agensi pemerintah juga kerap berhubung dengan peruncit utama berhubung bekalan N95, dengan peruncit dinasihatkan supaya memantau inventori masing-masing.
Bercakap kepada Mediacorp, Watsons Singapore dan FairPrice Group memaklumkan bahawa mereka mempunyai bekalan pelitup N95 yang mencukupi untuk memenuhi permintaan sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.
Menurut Cold Storage, ia sedang memantau permintaan pelanggan bagi pelitup N95 serta produk lain yang berkaitan dan akan terus menyemak paras inventori berdasarkan permintaan dan keadaan semasa.
Sementara itu, Sheng Siong menyatakan pihaknya kini menyediakan pelitup KF94, dengan permintaan kekal stabil dan tiada peningkatan ketara dicatatkan sejak awal Ogos.
Seorang jurucakap berkata pihaknya juga akan memantau permintaan dan menyesuaikan bekalan sekiranya berlaku peningkatan permintaan yang berterusan.
SG siap sedia hadapi risiko jerebu; penganjur acara lakar pelan luar jangka
Pada September 2019, ancaman jerebu yang semakin memburuk menjadi antara isu utama menjelang Perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Singapura pada tahun tersebut, sekali gus mengancam untuk menjejaskan salah satu acara sukan terbesar di negara ini.