Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Kredit: SMC
Osteoporosis atau sering digelar ‘penyakit senyap’ boleh melemahkan tulang secara beransur-ansur tanpa sebarang gejala sehingga berlaku kepatahan serius, dan penyakit ini kian membimbangkan di Malaysia disebabkan perubahan diet serta gaya hidup.
Pakar Perunding Geriatrik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Edward Chong Kah Chun berkata kebanyakan pesakit hanya menyedari mereka menghidap osteoporosis selepas mengalami kepatahan akibat kerapuhan, iaitu kepatahan akibat kejatuhan atau impak kecil yang biasanya tidak mencederakan tulang sihat.
“Osteoporosis tidak menyebabkan rasa sakit atau tanda amaran ketara sehingga terlambat. Kebanyakan pesakit didiagnosis hanya selepas mengalami kepatahan akibat kerapuhan, kepatahan yang disebabkan oleh kejatuhan atau impak kecil yang biasanya tidak akan mencederakan tulang sihat. Ketika itu, penyakit tersebut sudah pun menyebabkan kerosakan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kepatahan akibat kerapuhan lazim berlaku pada pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan dengan setiap satunya mempunyai kesan yang serius.
“Kepatahan pinggul adalah yang paling teruk kerana ia sering menyebabkan ketidakupayaan bergerak berpanjangan.
“Berdasarkan data global, satu daripada empat pesakit berisiko meninggal dunia dalam tempoh setahun selepas kepatahan pinggul akibat komplikasi,” katanya.
Selain kesan fizikal, Dr Chong berkata osteoporosis turut memberi kesan emosi apabila pesakit mengalami ketakutan untuk jatuh, sekali gus mengehadkan pergerakan dan meningkatkan risiko kelemahan otot serta pengasingan diri.
Beliau berkata peningkatan kes osteoporosis di Malaysia dipengaruhi faktor diet dan gaya hidup, termasuk pengambilan kalsium yang tidak mencukupi serta kekurangan vitamin D akibat kurang pendedahan kepada cahaya matahari.
“Walaupun Malaysia beriklim tropika, ramai mengelak daripada cahaya matahari. Vitamin D penting untuk penyerapan kalsium dan kesihatan tulang,” katanya, sambil menambah wanita berisiko lebih tinggi selepas menopaus, namun lelaki juga tidak terkecuali.
Osteoporosis Ancaman Senyap, Rakyat Disaran Ambil Langkah Awal
Pusat Perubatan Sunway, SMC, osteoporosis, tulang