combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Ops Tiris 4.0: Polis Padang Besar Rekod 13 Kejayaan, Rampasan Lebih RM130,000
Kredit: IPD Padang Besar
Polis Daerah Padang Besar merekodkan 13 kejayaan menerusi Ops Tiris 4.0 sejak 22 April, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM130,031.50.
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata kejayaan itu, hasil tindakan bersepadu pasukan petugas operasi menerusi risikan, pengesanan, pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan, di lokasi yang dikenal pasti berpotensi menjadi laluan atau tempat kegiatan penyeludupan.
“Ia melibatkan rampasan 10 kenderaan tangki minyak yang diubah suai bagi tujuan penyalahgunaan dan penyeludupan. Turut dirampas ialah 120 liter minyak diesel bersubsidi, 40 paket minyak masak bersubsidi, sembilan biji pil dadah jenis Erimin 5 dan 40 bungkus air ketum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shokri berkata tindakan penguatkuasaan itu turut membawa kepada penahanan 13 suspek berusia antara 30 hingga 55 tahun, bagi membantu siasatan yang terdiri daripada 11 lelaki termasuk empat warga asing manakala dua wanita.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987; Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sebagai tindakan susulan, Mohd Shokri berkata tangki minyak yang diubah suai secara tidak sah turut dilupuskan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang ditetapkan pada 12 Ogos.
Beliau berkata pihaknya akan terus memperhebat penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan, penyelewengan barangan bersubsidi atau aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan sempadan dialu-alukan menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.