combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,142
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,142
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) stabil dan teratur meskipun beberapa penerbangan dibatalkan susulan perkembangan situasi di Timur Tengah, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
MAHB memberitahu Bernama bahawa Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA terus beroperasi sepenuhnya, dan proses pengendalian penumpang di kaunter daftar masuk, saringan keselamatan serta imigresen berjalan lancar.
Menurut pengendali lapangan terbang itu, sebanyak 26 penerbangan telah dibatalkan, masing-masing melibatkan 13 penerbangan berlepas dan 13 ketibaan.
“Pembatalan itu melibatkan perkhidmatan terpilih ke dan dari destinasi Timur Tengah yang terjejas, serta beberapa laluan jarak jauh yang memerlukan pelarasan ruang udara,” menurut MAHB.
Pada masa ini, MAHB mengesahkan tiada penumpang terkandas direkodkan di bawah Sistem Respons Krisis, dan aliran penumpang di kedua-dua terminal kekal diurus dengan baik.
Bagaimanapun, MAHB memaklumkan bahawa keadaan masih tidak menentu dan tertakluk kepada penilaian keselamatan ruang udara serta syarikat penerbangan, dengan kemungkinan berlaku pelarasan jadual penerbangan.
“Syarikat penerbangan akan terus memantau perkembangan ruang udara, khususnya bagi yang mengendalikan laluan jarak jauh memandangkan laluan alternatif mungkin diperlukan bagi mengelakkan zon yang terjejas.
“Malaysia Airports akan terus memantau rapat perkembangan dan menerajui usaha respons yang diselaraskan bagi memastikan lapangan terbang beroperasi dengan selamat, teratur serta cekap,” katanya.
Penumpang yang transit atau melakukan perjalanan melalui kawasan terjejas dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan secara terus dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang, bagi mendapatkan maklumat terkini.
Operasi KLIA Lancar Walaupun Beberapa Penerbangan Dibatalkan – MAHB
MAHB, KLIA, operasi, penerbangan, Timur Tengah