NParks umum pengerusi baharu, rombak barisan lembaga pengarah
Pengerusi NParks yang akan melepaskan jawatan, Encik Loh Khum Yean (kiri), dan pengerusi baharu, Encik Chew Hock Yong. (Gambar fail: Kementerian Pembangunan Negara; LinkedIn/Chew Hock)
SINGAPURA: Lembaga Taman Negara (NParks) akan mempunyai seorang pengerusi baharu mulai Sabtu (1 Ogos), apabila Encik Loh Khum Yean melepaskan jawatan tersebut selepas hampir tiga tahun memegangnya.
Beliau akan digantikan oleh Encik Chew Hock Yong, yang melepaskan jawatan sebagai pengerusi Agensi Tenaga Kerja Singapura bulan lalu, menurut kenyataan media bersama NParks dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Khamis (30 Jul).
IKLAN
Encik Loh telah berkhidmat sebagai pengerusi NParks sejak Oktober 2023. Sepanjang tempoh kepimpinannya, beberapa inisiatif penting telah dilaksanakan, termasuk penubuhan Majlis Veterinar, sebuah badan kawal selia profesional yang ditubuhkan bagi meningkatkan piawaian profesion veterinar di samping melindungi kesihatan dan kebajikan haiwan.
Di bawah kepimpinan beliau, NParks turut memperluaskan rangkaian taman alam semula jadi dan memulihkan habitat, sekali gus memperkukuh usaha pemuliharaan daratan dan marin.
NParks turut memperbanyakkan taman terapeutik serta taman permainan berasaskan alam semula jadi di seluruh Singapura bagi menyokong kesejahteraan masyarakat.
"Keterhubungan kawasan hijau turut dipertingkat secara berterusan menerusi peluasan rangkaian laluan penghubung taman, koridor alam semula jadi dan laluan hijau, meningkatkan biodiversiti serta akses orang ramai kepada kawasan hijau," menurut NParks dan MND.
Di bawah kepimpinan Encik Loh, NParks turut memperkukuh penyelidikan, pembangunan industri, penggunaan teknologi dan pendigitalannya.
IKLAN
"Ini termasuk mempertingkat keupayaan dalam pengawasan bio dan kajian sosioekologi, memperkukuh pemantauan hidupan liar menerusi penggunaan data dan teknologi berasaskan sensor, serta memajukan usaha pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penyampaian perkhidmatan."
Penggantinya, Encik Chew, mempunyai lebih tiga dekad pengalaman dalam perkhidmatan awam dan pernah memegang jawatan kepimpinan di beberapa kementerian, menurut NParks dan MND.
Encik Chew pernah berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sebelum dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kedua di MND. Beliau juga pernah menyandang jawatan Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga serta Kementerian Ehwal Dalam Negeri.
Beliau bersara daripada perkhidmatan awam pada November 2022 dan baru-baru ini berkhidmat sebagai Pengerusi Agensi Tenaga Kerja Singapura sehingga 30 Jun.
Sebuah lembaga berkanun baharu, Agensi Kemahiran dan Pembangunan Tenaga Kerja ditubuhkan pada 1 Julai hasil gabungan Agensi Tenaga Kerja Singapura dan SkillsFuture Singapura.
IKLAN
PELANTIKAN LAIN DALAM LEMBAGA PENGARAH
NParks turut mengumumkan beberapa pelantikan semula dan pelantikan baharu ke dalam lembaga pengarahnya yang berkuat kuasa mulai Sabtu.
Tujuh anggota sedia ada akan terus menganggotai lembaga tersebut, manakala tiga anggota baharu akan dilantik.
Tiga anggota lembaga pula akan menamatkan perkhidmatan mereka pada Jumaat selepas tamat tempoh pelantikan.
Semua pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun, menurut MND dan NParks.
IKLAN
"Lembaga yang dianggotai 11 anggota itu akan terus membimbing NParks dalam memperkukuhkan usaha menjadikan Singapura sebuah Bandar Dalam Alam Semula Jadi di tengah-tengah cabaran perubahan iklim, sambil bekerjasama rapat dengan masyarakat untuk memupuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar," menurut kenyataan itu.
"MND dan NParks merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Loh dan anggota lembaga yang akan berundur, atas perkhidmatan, bimbingan dan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan, serta mengalu-alukan Encik Chew dan para anggota baharu lembaga pengarah."
NParks umum pengerusi baharu, rombak barisan lembaga pengarah
Lembaga Taman Negara (NParks) akan mempunyai seorang pengerusi baharu mulai Sabtu (1 Ogos), apabila Encik Loh Khum Yean melepaskan jawatan tersebut selepas hampir tiga tahun memegangnya.