LTA bakal ada pengerusi baharu
Encik Pang Kin Keong dan Encik Alan Chan. (Gambar: Kementerian Pengangkutan)
SINGAPURA: Mantan Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Pang Kin Keong dilantik sebagai Pengerusi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), menggantikan Encik Alan Chan yang memegang jawatan tersebut selama lebih sedekad.
Tempoh tiga tahun Encik Pang akan bermula pada Selasa (1 Sep), menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Isnin.
IKLAN
Beliau kali terakhir berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Dalam Negeri dari 2017 sehingga persaraannya daripada Perkhidmatan Pentadbiran pada Jun 2026, selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam perkhidmatan awam.
Encik Pang merupakan anggota lembaga LTA sejak 1 April 2026.
"Dalam pelantikan baharunya sebagai Pengerusi LTA, Encik Pang akan menyumbang pengalamannya yang luas dalam pentadbiran awam, khususnya ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dari 1 Julai 2012 hingga 31 Ogos 2017.
"Kepimpinan beliau amat bernilai dalam membimbing lembaga LTA untuk terus memajukan keutamaan pengangkutan darat Singapura dalam membangunkan sistem pengangkutan darat yang cekap, mampan dan berteraskan rakyat," menurut MOT.
Encik Chan, yang digantikan Encik Pang, mempengerusikan lembaga LTA sejak 1 April 2016.
IKLAN
Beliau memainkan peranan penting dalam membentuk sistem pengangkutan darat Singapura dalam tempoh "perubahan besar dan ketidaktentuan global, termasuk semasa pandemik COVID-19", menurut MOT.
Sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut, Singapura menyiapkan Laluan Downtown dan Laluan Circle serta membuka Laluan Thomson-East Coast secara bertahap-tahap, manakala projek termasuk Laluan Daerah Jurong dan Sistem Laluan Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura terus mencatat kemajuan.
Encik Chan juga merupakan seorang "pendukung kuat inovasi, kemampanan dan pembangunan keupayaan", menurut kementerian tersebut.
"Kementerian Pengangkutan dan LTA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Chan atas khidmat cemerlang dan sumbangannya yang tidak ternilai kepada LTA dan sektor pengangkutan darat Singapura."
PERUBAHAN KEANGGOTAAN LEMBAGA
IKLAN
Daripada 15 anggota lembaga bagi penggal seterusnya, empat merupakan anggota baharu.
Mereka ialah Encik Chan Tsan (Ketua Eksekutif Agensi Teknologi dan Sains Home Team (HTX), Encik Darren Teo (Ketua Eksekutif Pusat Teknologi Infokom Strategik), Profesor Phoon Kok Kwang (Presiden Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) dan Cik Yvonne Lim (Ketua Perancang Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Lima anggota akan mengundurkan diri daripada lembaga LTA pada 1 September: Encik Richard Lim, Encik Mohd Sa'at Abdul Rahman, Profesor Tan Thiam Soon, Cik Hwang Yu-Ning dan Encik Ng Chad-Son.
"Kementerian Pengangkutan ingin mengucapkan terima kasih kepada para anggota yang akan berundur atas sumbangan mereka kepada LTA dan mengalu-alukan kemasukan anggota baharu," menurut kementerian tersebut.
LTA bakal ada pengerusi baharu
Mantan Setiausaha Tetap Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Pang Kin Keong dilantik sebagai Pengerusi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), menggantikan Encik Alan Chan yang memegang jawatan tersebut selama lebih sedekad.