MUIS perketat langkah keselamatan masjid susuli kes kesalahan seksual libatkan belia
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan perketat langkah keselamatan di masjid, termasuk rondaan dan pemantauan CCTV, susuli kes kesalahan seksual serius libatkan mangsa belia di premis masjid. (Gambar fail: BERITA Mediacorp)
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan memperketat langkah keselamatan di masjid, termasuk rondaan dan pemantauan CCTV, menyusuli kes kesalahan seksual serius melibatkan mangsa belia di premis masjid.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (17 Ogos), MUIS mengecam keras kesalahan seksual tersebut dan menegaskan bahawa masjid mesti sentiasa menjadi ruang yang selamat dan dipercayai, terutama bagi kanak-kanak dan golongan muda.
IKLAN
MUIS menjelaskan bahawa tertuduh bukan kakitangan atau sukarelawan masjid.
Dia juga bukan asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
"Keselamatan para pengunjung masjid kami adalah keutamaan," menurut jurucakap MUIS.
Menyusuli kes tersebut, MUIS menyatakan ia akan memperkukuh langkah keselamatan sedia ada, termasuk rondaan dan pemantauan CCTV, bagi memastikan masjid kekal selamat untuk semua.
RUJUK ASATIZAH YANG DIIKTIRAF ARS
IKLAN
MUIS turut menggalakkan masyarakat Islam supaya mendapatkan bimbingan, sama ada secara online atau bersemuka, daripada asatizah yang diiktiraf di bawah ARS.
Asatizah yang mendapat pengiktirafan ARS memenuhi piawaian latihan dan etika profesional yang ditetapkan.
Orang ramai boleh menyemak sama ada seseorang asatizah mempunyai pengiktirafan ARS menerusi direktori ARS online di laman MUIS.
MUIS menegaskan bahawa individu yang kelihatan atau menampilkan diri sebagai seorang yang berpengetahuan agama tidak seharusnya secara automatik dianggap sebagai guru agama yang berkelayakan.
KESELAMATAN DI RUANG ONLINE
IKLAN
Menurut MUIS, usaha melindungi golongan muda juga perlu melangkaui kawasan masjid memandangkan semakin banyak kegiatan dan interaksi berkaitan agama berlangsung online.
Ibu bapa, pemimpin masjid, asatizah dan masyarakat secara keseluruhannya mempunyai peranan penting dalam membantu golongan muda mengenal pasti sumber yang dipercayai dan berinteraksi dengan selamat online.
Mereka juga perlu membantu golongan muda supaya berani bersuara apabila berdepan sesuatu yang dirasakan tidak betul atau mencurigakan.
MUIS menyatakan ia akan terus memperkukuh langkah perlindungan, baik di masjid mahupun dalam ruang online, serta bekerjasama dengan masyarakat bagi memastikan golongan muda sentiasa selamat dan mendapat sokongan.
Ia turut menegaskan komitmennya untuk memastikan masjid kekal sebagai ruang yang selamat, dipercayai dan mengalu-alukan semua.