Sistem pengurusan sumber manusia MUIS terjejas dalam insiden keselamatan siber
Bangunan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). (Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura)
SINGAPURA: Sistem pengurusan sumber manusia yang digunakan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) terjejas dalam satu insiden keselamatan siber.
Sistem itu dikendalikan penyedia perisian yang berpangkalan di Singapura, Avelogic.
IKLAN
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa (15 Sep), MUIS menyatakan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pertubuhan yang terjejas, Avelogic serta pihak berkuasa berkaitan mengenai langkah susulan yang perlu diambil.
Menurut MUIS, insiden itu tidak menjejas penyampaian khidmat kepada orang ramai atau khidmat pemerintah.
Aturan kesinambungan operasi juga sudah dilaksanakan bagi menyokong fungsi penting sumber manusia dan pembayaran gaji.
Para kakitangan yang terjejas turut diberikan panduan dan sokongan yang diperlukan.
MUIS tidak memberikan maklumat lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
IKLAN
Ia juga tidak menyatakan jumlah individu yang terjejas atau jenis maklumat yang mungkin terjejas.
Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan kepada Mediacorp bahawa satu laporan sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
TIADA BUKTI DATA DIAMBIL SECARA BESAR-BESARAN: AVELOGIC
Secara berasingan, Avelogic mengeluarkan notis mengenai insiden keselamatan siber melibatkan sistem SmartHRMS kendaliannya.
Dalam kemas kini pada Isnin (14 Sep), syarikat itu menyatakan siasatan forensik bebas tidak menemui bukti bahawa ada kebocoran data secara besar-besaran.
IKLAN
Dapatan itu berdasarkan data rangkaian Amazon Web Services yang tersedia bagi tempoh kegiatan pelaku ancaman yang disahkan antara 30 Ogos dengan 31 Ogos.
Avelogic bagaimanapun tidak mendedahkan pelanggan yang terjejas dalam notis tersebut.
Menurut syarikat itu, medan data sensitif utama dalam SmartHRMS kekal dilindungi menerusi penyulitan pada peringkat aplikasi.
Avelogic membuat laporan polis pada 31 Ogos dan memaklumkan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) mengenai insiden tersebut.
Ia kemudian melantik firma keselamatan siber Black Panda pada 3 September untuk menjalankan siasatan forensik bebas.
IKLAN
Avelogic menyatakan set data terkini berjaya dipulihkan dan menyasarkan sistem baharunya dapat beroperasi menjelang Jumaat (18 Sep).
Komponen lain sistem itu pula akan dipulihkan secara bertahap-tahap selepas itu.
Sistem pengurusan sumber manusia MUIS terjejas dalam insiden keselamatan siber
Sistem pengurusan sumber manusia yang digunakan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) terjejas dalam satu insiden keselamatan siber. Sistem itu dikendalikan penyedia perisian yang berpangkalan di Singapura, Avelogic.