afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,221
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,221
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Muhyiddin yakin Bersatu tarik bukan Melayu tanpa PAS
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, berkata kini tiba masa sesuai masyarakat bukan Melayu menyokong Bersatu kerana parti tidak lagi bekerjasama dengan PAS.
Bekas perdana menteri itu turut menggambarkan PAS menyebabkan Bersatu berdepan kekangan menarik bukan Melayu kerana masyarakat berkenaan ‘takut dengan cara PAS’.
“Harapan saya begitu (tarik bukan Melayu). Dulu, ada masalah dan saya pun faham pasal ramai yang bukan Melayu takut dengan cara PAS. Jadi, sekarang ini tidak bersama PAS.
“Jadi, bukan Melayu hatta bagi orang Melayu yang tidak bersedia dengan cara politik PAS, ini masa sesuai untuk mereka menyokong,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan.
Muhyiddin berkata, bukti Bersatu tidak mempunyai elemen PAS apabila parti mempertaruhkan calon bukan Melayu pada PRN Negeri Sembilan, selain mempunyai sayap bukan Islam.
“Bersatu ini tak ada elemen PAS dalamnya, jadi kalau ada pihak-pihak bukan Islam agak rasa ragu saya nak jelaskan. Tapi, Bersatu ini ada wakil-wakil bukan Melayu sebab kita ada sayap Bersekutu. Sebab itu ada nama-nama yang bukan Melayu kita calonkan, jadi ia mewakili semua kaum,” katanya.
Ditanya sama ada Bersatu akan keluar Perikatan Nasional (PN) susulan hasrat membentuk gabungan baharu selepas PRN berkenaan, Muhyiddin berkata, setakat ini mereka masih kekal dalam gabungan pembangkang diketuai PAS.
Namun, beliau menjelaskan usaha membentuk gabungan baharu itu sedang diperhalusi menerusi siri perbincangan bersama pemimpin parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
“Setakat ini saya hanya boleh katakan kita masih menjadi ahli PN, tetapi ada strategi tertentu yang akan kita pastikan ke hadapan, terutama bagi menghadapi PRU16,” katanya.
