BTC USD 84,066.8 Gold USD 4,135.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Minda: Ganjaran tiada batasan

Luqmanul Hakim

CG Top Poster Club
gem
Messages
23,318
Joined
Mar 17, 2010
Messages
23,318
Reaction score
4,848
Points
196
Minda: Ganjaran tiada batasan


SATU perkara yang perlu diberi perhatian besar dalam bulan Ramadan ialah peluang untuk mendapat pahala berganda. Allah SWT memberitahu kepada Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk aku (Allah) dan akulah yang langsung membalasnya.” (riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Allah melalui al-Quran menjelaskan bahawa satu amalan boleh digandakan kepada 10, kemudian boleh digandakan menjadi 700. Sesuatu amalan boleh membiak kepada tujuh tangkai dan setiap tangkai itu boleh menjadi 100 akhirnya boleh menjadi kepada 700.
Satu amalan soleh yang kita lakukan dengan melihat kepada keikhlasan kita boleh mencapai 700, ibaratnya kita sebutkan satu ringgit yang kita berikan boleh diberi pulangan sehingga 700 ringgit.

Ini sesuai dengan dalil al-Quran yang menjelaskan bahawa maksudnya; “Bandingan pahala orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai itu pula mempunyai seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas rahmat kurnia-Nya, lagi Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah ayat 261)


Pahala berganda buat orang berpuasa

Banyak hadis menunjukkan sesuatu amalan itu boleh digandakan tanpa hisab seperti makna dalam hadis, “Semua amal (soleh yang dikerjakan) manusia dilipat gandakan pahalanya, satu kebaikan diberi ganjaran sepuluh sampai tujuh ratus kali lipat. Allah berfirman: “Kecuali puasa (ganjarannya tidak terbatas), kerana sesungguhnya puasa itu (khusus) untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran (kebaikan) baginya.” (riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Antara amalan kita sedang laksanakan ialah berpuasa. Allah melalui Rasul-Nya menyatakan kepada kita bahawa berpuasa ialah satu amalan digandakan oleh Allah berdasarkan keikhlasan yang ada pada kita tanpa hisab.

Rahsia di sebalik gandaan pahala itu ialah puasa amat berkait rapat dengan kesabaran dan Allah menyatakan maksudnya, “Sesungguhnya orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas.” (Surah az-Zumar, ayat 10)

Seorang sarjana Islam Imam Ibnu Rajab al-Hambali menjelaskan eratnya hubungan puasa dengan sifat sabar dalam ucapan beliau yang maksudnya, “Sabar itu ada tiga macam: (1) sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, (2) sabar dalam meninggalkan hal yang diharamkan-Nya, dan (3) sabar dalam menghadapi ketentuan-Nya yang tidak sesuai dengan keinginan. Ketiga-tiga bentuk sabar ini terkumpul dalam ibadah puasa, kerana (dengan) berpuasa (kita harus) bersabar dalam (menjalankan) ketaatan kepada Allah, dan bersabar daripada semua keinginan syahwat yang diharamkan-Nya bagi orang yang berpuasa, serta bersabar dalam (menghadapi) beratnya (rasa) lapar, haus, dan lemahnya badan yang dialami orang yang berpuasa.” (Lataif Ma’arif)

Puasa adalah kita bersabar iaitu menahan diri daripada makan, minum, hawa nafsu, syahwat dan perkara dihalalkan oleh Allah seperti pasangan kita, ketika berpuasa kita tidak boleh mendekati mereka. Ini semua adalah apa yang disebutkan sebagai kesabaran.

Kita dididik oleh Allah melalui amalan puasa untuk menyuburkan lagi kesabaran dan orang yang dapat bersabar, sekiranya kesabaran yang dilakukannya dengan penuh keikhlasan bukannya menunjuk kepada orang berada di sebelah kanan atau kirinya, maka sudah pasti dengan izin Allah dia akan mendapat pahala tidak terbilang. Pahala yang akan diperolehnya bersifat berterusan tanpa batas dan had.

Lailatulqadar iaitu malam keagungan juga satu daripada amalan salih yang dilipat gandakan pahalanya. Pahala dijanjikan oleh Allah untuk amalan salih pada malam itu sebenarnya melebihi seribu bulan dan bukannya bersamaan seribu bulan.

Perkara ini wajar menjadi motivasi kepada kita untuk menghidupkan sepuluh malam terakhir bulan Ramadan dengan solat malam atau Tarawih bersama Imam hingga selesai. Disusuli pula dengan tilawah al-Quran, zikir, doa dan sebagainya.


Dosa maksiat juga digandakan

Adakah dosa maksiat juga digandakan? Adakah wujudnya hadis ataupun ayat yang menunjukkan seseorang melakukan maksiat dosanya akan digandakan?

Jawapannya adalah ada dua bahagian ataupun dua jenis dalil berkenaan dengan dosa yang dilakukan oleh manusia. Pertama dosa dilakukan di selain Tanah Haram. Tanah haram ialah Makkah dan juga Madinah. Allah menyebutkan dalam al-Quran bermaksud, “Dan barang siapa yang bermaksud melakukan kejahatan secara zalim di dalamnya Tanah Haram), nescaya Kami akan rasakan kepadanya sebahagian seksa azab yang pedih.” (surah al Hajj, ayat 25)

Disebabkan itulah kita dapati sebahagian daripada sahabat, seperti Abdullah bin Masud atau Abdullah bin Abbas r.a mereka tidak berani tinggal di Makkah kerana Makkah adalah satu tempat jika kita mempunyai keinginan untuk membuat satu maksiat, maka akan diberikan azab yang cukup pedih.

Berbeza pula dengan tempat lain, sesiapa berkeinginan untuk membuat sesuatu maksiat, ia tidak akan ditulis maksiatnya itu ataupun dosanya kecuali selepas seseorang melakukannya. Dan selepas dia melakukannya ia hanya akan ditulis satu berbeza di Makkah, sesiapa yang berbuat tidak baik sudah pun mendapat azab daripada Allah kecuali bertaubat.

Daripada apa yang kita sebutkan itu dapatlah kita rumuskan secara ringkas bahawa amalan di sisi Allah ialah amalan soleh. Apabila kita melihat kepada sesuatu amalan soleh dan melihat juga kepada amalan berunsurkan maksiat, maka kita akan dapati Allah adalah Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang dan kita akan dapati juga Allah adalah Tuhan yang Maha Kaya dan juga Maha Lembut terhadap hambanya.

Di situlah kita dapati juga bagaimana Allah menjanjikan, memberi galakan kepada hambanya untuk melaksanakan amalan. Allah menggandakan beberapa amalan di dalam beberapa masa dan di beberapa tempat.

Jika kita mempunyai kesempatan untuk melaksanakan umrah di bulan Ramadan, kita dapati antara dalil mencatatkan pahala umrah di bulan Ramadan ialah ‘seperti haji bersama dengan aku (Rasulullah)’. Orang yang membuat umrah pada bulan Ramadan sudah pun dapat mengumpul beberapa kebaikan pertama puasa seperti mana kita juga.


Meraih pahala besar dengan amalan ringan

Dengan melakukan umrah di Makkah, seseorang mendapat satu pahala yang lebih besar daripada apa yang kita lakukan. Kita mungkin boleh mendapat pahala seperti umrah contohnya selepas solat subuh kita duduk berzikir sehingga sampai terbitnya matahari dan kemudian kita pun solat, maka kita akan mendapat pahala umrah tetapi tidak sama dengan orang melakukan umrah yang sebenar di Makkah.

Ini dijelaskan oleh Nabi dalam hadis yang bermaksud; “Barang siapa yang solat subuh berjemaah, kemudian dia menetap di masjid untuk berzikir kepada Allah sampai matahari terbit, kemudian dia solat dua rakaat, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala haji dan umrah, sempurna sempurna sempurna.” (riwayat Imam Tirmidzi)

Orang melaksanakan di sana, dia akan mendapat pahala seperti seorang sahabat yang bersama dengan Nabi dan sudah tentulah pahala seorang sahabat itu tidak sama dengan pahala kita. Di mana sekiranya kita memberi emas sebanyak sebesar Bukit Uhud tidak sama seperti segenggam emas yang diinfakkan sahabat seperti dijelaskan oleh Nabi dalam sebuah hadis yang bermaksud; “Sesungguhnya jika seorang daripada kamu sedekah wang emas sebesar gunung Uhud sekalipun ia tidak menyamai pahala seorang (sahabat nabi) yang sedekah harta sebanyak satu mud (iaitu satu cupak) atau setengah daripada itu.” (riwayat Imam Bukhari dan Imam Abu Daud)

Jadi Nabi memberitahu kepada kita bagaimana pahala boleh berganda pada masa-masa tertentu dan di tempat tertentu dengan amalan tertentu.

Sebaliknya dosa hanya akan menjadi besar dan berganda di Makkah. Tetapi jika di tempat lain jika kita melakukan satu maksiat kita akan mendapat satu dosa. Jika kita berniat untuk melakukan sesuatu maksiat ia tidak lagi diberikan dosa ataupun dicatatkan dosa kecuali selepas kita melaksanakannya dan selepas dilaksanakan pun masih lagi ada peluang untuk kita meminta keampunan.


Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam, UKM






sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Ganjarantiadabatasan/Article/index_html
 
Back
Top
Log in Register