BTC USD 64,831.0 Gold USD 4,434.38
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Tiada siapa terlepas ujian

soybean

CG Hardcore Club
gemgem
Messages
63,243
Paid Membership
Joined
Feb 15, 2009
Messages
63,243
Reaction score
4,135
Points
661

Mohd Shahrizal Nasir

 SETIAP kesukaran pasti diikuti dengan kemudahan yang didatangkan oleh Allah SWT.
SETIAP kesukaran pasti diikuti dengan kemudahan yang didatangkan oleh Allah SWT.



Kehidupan di dunia yang sementara ini sememangnya penuh dengan ujian. Setiap orang pasti merasai ujian dalam kehidupan masing-masing. Orang kaya ada ujiannya, begitu juga dengan orang miskin. Orang bijak pandai juga berdepan ujian, tidak ketinggalan orang yang tidak memiliki sebarang kelulusan pendidikan. Hakikatnya, ujian dalam kehidupan mendewasakan perjalanan hidup. Setiap ujian yang dihadapi sebenarnya boleh menjadikan diri seorang insan menjadi lebih kuat dan tabah.

Dalam Islam, setiap Muslim pasti merasai ujian dalam hidup. Mana mungkin orang beriman akan memperoleh pahala dan nikmat syurga tanpa sebarang ujian dan kesusahan. Cuma yang membezakan antara seorang Muslim dengan Muslim yang lain ialah bentuk ujian yang diterima. Mungkin bagi sesetengah orang yang melihat ujian yang menimpa orang lain, ia tidaklah satu ujian yang besar, namun hakikatnya orang yang melalui saat ujian tersebutlah yang lebih mengetahui.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)



Ayat-ayat al-Quran tersebut menjelaskan fitrah orang beriman yang pasti akan diuji oleh Allah SWT. Bagi memastikan iman seseorang hamba itu benar-benar kukuh kepada Allah SWT, maka ujianlah yang dapat menentukannya. Ujian bukan sahaja dirasai oleh orang yang lemah dan miskin, kerana ia juga melanda orang yang kuat dan kaya. Inilah fitrah kehidupan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Sebenarnya ujian dapat mendekatkan diri seseorang Muslim kepada Allah SWT. Tidak ada tempat lagi yang selayaknya diharapkan pertolongan selain daripada kepada Allah SWT. Selain itu, apabila dihadirkan ujian kepada seseorang insan, maka antara perkara yang perlu disemat dalam diri ialah perlunya untuk bersabar. Sabar ialah perkara yang mudah untuk diungkap namun sukar untuk dipraktikkan tanpa iman yang kuat.


Rasulullah SAW pernah menjelaskan kehebatan orang yang beriman kerana mereka sentiasa bersyukur dan bersabar dalam mendepani urusan kehidupan dunia. "Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin. Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan. Setiap takdir yang ditetapkan Allah bagi dirinya merupakan kebaikan. Apabila kebaikan dialaminya, maka dia bersyukur, dan hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya." (Hadis riwayat Muslim)

Apabila melalui ujian dalam kehidupan, selain daripada perlunya bersabar, setiap Muslim juga perlu berikhtiar dan berusaha agar ujian yang dihadapi itu berlalu dengan lancar. Umat Islam tidak boleh berasa lemah dan putus asa tatkala menerima ujian kehidupan. Jauh sekali untuk menyalahkan takdir Ilahi yang ditetapkan untuknya. Yakinlah bahawa setiap ujian akan hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan berikhtiar menyelesaikannya dengan
cara terbaik.

Kisah Maryam iaitu ibu nabi Isa AS merupakan satu contoh jelas betapa perlunya bersabar dan berusaha ketika melalui ujian dalam hidup. Maryam seorang wanita solehah yang sentiasa menjaga kehormatannya. Namun, beliau dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi ibu kepada seorang nabi untuk kaumnya. Maryam merupakan seorang insan baik yang telah berdepan ujian besar dalam kehidupannya.

Bayangkan seorang wanita yang baik tiba-tiba hamil dalam keadaan dirinya tidak bersuami. Beliau dituduh dengan pelbagai tohmahan oleh kaumnya sendiri, sedangkan beliau tidak melakukan perkara yang dilarang. Maryam amat sedih dengan apa yang berlaku ke atasnya sehingga merasakan lebih baik dirinya mati agar keadannya itu dapat segera dilupakan oleh kaumnya.

Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang." (Surah Maryam, ayat 23)

Walau bagaimanapun, dengan kesabaran dan rasa reda dalam diri, Allah SWT menganugerahkan pertolongan kepada Maryam pada saat ingin melahirkan kandungannya. Firman Allah SWT bermaksud: "Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya: "Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak." (Surah Maryam, ayat 23-24)

Perhatikanlah situasi dialami oleh Maryam beradasarkan ayat-ayat al-Quran tersebut. Dalam keadaan Maryam seorang wanita yang baik dan menjaga kehormatannya, dia diberi ujian oleh Allah SWT dengan mempunyai kandungan tanpa memiliki suami. Dalam keadaan dirinya sakit ingin melahirkan kandungannya, dia membawa diri dan turut merasai kesakitan sepertimana keadaan wanita lain yang melahirkan anak.

Tatkala datang pertolongan daripada Allah SWT yang menyediakan untuk Maryam air dan buah tamar, Maryam diperintah untuk menggegarkan batang pohon tamar agar dia dapat makan buah-buahnya yang jatuh. Maha suci Allah SWT yang memiliki sifat Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Pada saat Maryam ingin melahirkan seorang nabi dan bantuan datang bagi meringankan ujian yang ditanggung olehnya, namun dia masih tetap disuruh untuk berusaha untuk mengurus ujian dalam hidupnya. Boleh sahaja Allah SWT menghidangkan makanan terus kepada Maryam, namun dia diperintah untuk menggegarkan pohon tamar agar dapat dimakan buahnya.

Lihatlah betapa ujian yang datang daripada Allah SWT perlu diurus dengan usaha, bukan sekadar menunggu segalanya datang bergolek. Hal ini merupakan peringatan jelas yang dinyatakan oleh Allah SWT untuk seluruh umat manusia lebih-lebih lagi yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa ujian datang untuk meningkatkan martabat seorang insan di sisi Tuhan.

Allah SWT tidak akan sesekali meninggalkan hamba-Nya yang beriman dalam keadaan terus menerus menghadapi ujian kesusahan hidup. Setiap kesukaran pasti diikuti dengan kemudahan yang didatangkan oleh Allah SWT. Inilah janji Allah SWT yang dirakamkan dalam al-Quran yang maksudnya: "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (Surah al-Inshirah, ayat 5-6)
 
Ujian

Kebakaran besar yang sering berlaku di California khususnya pada tahun ini yang impaknya lebih buruk membawa banyak pengajaran dan peringatan yang boleh dijadikan iktibar. Dalam Islam, setiap bencana bukan sekadar musibah, tetapi juga peluang untuk merenung dan memperbaiki diri. Berikut adalah beberapa pengajaran yang dapat diambil:

1. Tanda Kekuasaan Allah

Kebakaran yang tidak dapat dikawal walaupun dengan teknologi moden mengingatkan kita tentang betapa lemahnya manusia di hadapan kekuasaan Allah SWT. Ia menjadi peringatan bahawa semua yang berlaku di dunia ini adalah dalam takdir dan izin-Nya.
Firman Allah SWT:
“Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami perbendaharaannya; dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan kadar tertentu.”
(Surah Al-Hijr: 21)

2. Dunia Bersifat Sementara

Kemusnahan rumah, harta benda, dan kawasan hutan akibat kebakaran ini menunjukkan bahawa segala yang kita miliki di dunia hanyalah sementara. Kekayaan, rumah besar, dan segala kemewahan boleh hilang dalam sekelip mata.
Allah SWT mengingatkan:
“Ketahuilah bahawa kehidupan dunia ini hanyalah permainan, hiburan, perhiasan, saling berbangga antara kamu, dan berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan…”
(Surah Al-Hadid: 20)

3. Ujian dari Allah

Musibah seperti kebakaran adalah ujian untuk mengukur kesabaran dan keimanan kita kepada Allah SWT.
Firman-Nya:
“Dan sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Surah Al-Baqarah: 155)

4. Amanah Menjaga Alam

Kebakaran hutan sering kali berpunca daripada tangan manusia sama ada secara langsung atau tidak langsung, seperti pembalakan berlebihan atau pencemaran yang menyebabkan perubahan iklim. Ini menjadi peringatan bahawa manusia diberi amanah untuk menjaga alam sekitar.
Firman Allah SWT:
“Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, agar Allah merasakan kepada mereka sebahagian akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
(Surah Ar-Rum: 41)

5. Peluang untuk Bertaubat dan Muhasabah

Setiap musibah adalah peringatan agar kita merenung kelemahan diri, memperbaiki hubungan dengan Allah, dan meningkatkan amalan kebaikan. Ia mengingatkan kita bahawa hidup ini sementara dan segala sesuatu yang kita miliki akan kembali kepada-Nya.

Kebakaran di California bukan sahaja bencana fizikal tetapi juga teguran dan peringatan kepada kita semua. Ia mengajak kita untuk memperbaiki diri, menjaga amanah sebagai khalifah di bumi, serta mengutamakan akhirat daripada dunia. Hikmah daripada musibah ini bergantung kepada sejauh mana kita mengambil pengajaran daripadanya untuk menjadi insan yang lebih baik.

 
Back
Top
Log in Register