USAH SAHUT SERUAN DALANG LAGAKAN DYAM TMJ
Lebih sedekad penyokong dan peminat bola sepak Malaysia meraung mahukan rombakan dalam pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pelbagai cara dilakukan baik di dalam stadium mahupun di media sosial tapi semuanya gagal. Namun begitu selepas hampir segala permintaan dimakbulkan yakni rombakan dan penstrukturan FAM sudah dicapai, masih banyak suara sumbang kedengaran mengherdik FAM.
Satu persatu permasalahan ditimbulkan seakan memberi tekanan kepada barisan baharu EXCO FAM yang secara rasminya dipilih pada 25 Mac yang lepas.
Timbul beberapa watak yang berlagak hero keluar dari persaraan mengkritik sistem yang diguna pakai oleh FAM sekarang.
Ada sahaja yang tidak kena dan sengaja mencetuskan kemelut untuk diketengahkan. Cara serangan mereka amat taktikal. Yang paling ketara apabila timbul begitu ramai pemegang akaun palsu dalam serangan secara berkelompok melalui media sosial seperti Facebook ddan Twitter.
Modus operandi mereka amat jelas, iaitu untuk memberi imej buruk terhadap Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Entah lubuk apa yang ada dalam FAM itu yang diinginkan sangat oleh pihak tertentu kita pun tak ambil pusing, cuma desas desas ada mengatakan FAM boleh dijadikan hub untuk pengubahan wang haram yang kemudiannya akan diedarkan kepada pihak-pihak tertentu demi mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa.
MAJUKAN HARIMAU MALAYA
Agak pelik mendengar dakwaan sebegini namun dari segi rasionalnya, khabar angin itu ada logiknya. Terlalu bangak persoalan timbul bagaimana kantung FAM hampir kosong apabila barisan EXCO yang baharu mengambil alih kepimpinan bulan lalu.
Bertambah pelik apabila ke mana hilangnya wang tajaan bernilai ratusan juta yang dimiliki FAM sebelum ini hingga terpaksa mencairkan simpanan tetap untuk diagih-agihkan kepada kelab yang gagal membayar gaji pemain?
Diharapkan hasil audit dan siasatan nanti akan didedahkan kepada umum tanpa perlu berkompromi dengan status individu yang terbabit melarikan wang berkenaan.
Di kala pentadbiran DYAM TMJ berhempas pulas 'membersihkan' FAM, golongan pendendam ini pula tanpa jemu menghasut penyokong bola sepak Malaysia dengan pelbagai kontroversi.
Perkembangan terkini menyaksikan kumpulan berkenaan menggunakan kelemahan penyokong yang 'patriotik' kepada pasukan negeri masing-masing dimanipulasi sebaik-baiknya.
Isu mutu pengadilan kini dijadikan perbahasan yang amat hangat hingga penyokong dan pemain ada yang hilang kewarasan.
Jika difikirkan secara halus, mutu pengadilan dalam Liga Malaysia sememangnya satu cabang yang amat rapuh dalam FAM dan mudah dieksploitasikan oleh pihak antagonis sebagai senjata terbaik untuk memburukkan FAM sepanjang masa.
Dengan membangkitkan sentimen ini, ia seolah-olah menjadi senjata pilihan pihak yang agresif ingin menjatuhkan kredibiliti barisan kepimpinan FAM yang baharu.
Agenda utama adalah untuk memberi tekanan yang hebat kepada DYAM Tunku Ismail agar beliau melepaskan jawatan tersebut dan seterusnya diambil alih golongan antagonis ini.
Bila kuasa sudah berada dalam genggaman, maka mudahlah untuk mereka meneruskan agenda jahat dengan menggunakan FAM sebagai lubuk haram mereka.
Masalahnya, sampai bila penyokong harus membiarkan diri mereka diperkotak-katikkan dengan permainan politik musuh FAM itu?
Kenapa tidak ada penyokong bergabung menentang sandiwara songsang golongan antagonis ini?
Seharusnya, penyokong tunjukkan kuasa mereka dengan tidak terpengaruh dengan dakyah yang ingin memecah belahkan semua penyokong Malaysia demi kepentingan peribadi pihak tertentu.
Bangkit menentang petualang ini demi memartabatkan semula Harimau Malaya dan memartabatkan kuasa penyokong.
Bersatulah wahai penyokong bola sepak Malaysia. Satukan Jiwamu, Harimau Malaya.
Kredit kepada BH Ahad 23hb April 2017