BTC USD 62,489.2 Gold USD 4,466.74
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Menuju Alam Pernikahan

As-salam,

taaruf.jpg


Untuk perkongsian:

Ciri-ciri lelaki dan wanita soleh

1) Mengawal Hawa Nafsu

Kita boleh perhatikan bagaimana lelaki atau wanita tersebut bergaul. Adakah terjaga batas-batas pergaulannya. Atau, bersenang lenang bercanda bermesra dengan berlainan jantina.

Ini amat penting. Semasa berumah tangga nanti, kedua-dua suami isteri akan bekerja. Seawal 6pagi sudah keluar rumah, pulang pula lewat malam. Maknanya, waktu di pejabat lebih berkualiti daripada waktu di rumah. Lelaki dan wanita yang mengawal hawa nafsu, dan menjaga pergaulan di mana-mana sahaja, sudah pasti lebih terselamat daripada fitnah yang memungkinkan lafaz "Aku Ceraikan Dikau" dilontarkan.

2) Di bawah naungan al-Quran dan As-Sunnah

Lelaki dan perempuan yang baik sentiasa merujuk kepada al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman hidup. Andai dia ditimpa musibah, kekeliruan dan kesulitan, dia menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan bagi membebat hati yang luka.

Dia tidak akan mengeluh, merungut, mengherdik, marah atas apa yang Allah uji ke atas dirinya. Pendek kata, kita boleh mengenal lelaki dan perempuan yang baik untuk dijadikan pasangan dengan melihat akhlaknya. Selalunya, akhlak lelaki dan perempuan tersebut terserlah ketika dia bersama-sama dengan lingkungan teman-teman rapatnya.

3) Beribadat kepada Allah

Seringkali apabila datang merisik si gadis, bakal ibu mertua akan bertanya, "Kamu kerja apa? Berapa gaji kamu? Pakai kereta apa?" Kita lupa untuk bertanya "Kamu solat tak?"

Lelaki dan perempuan yang baik akan diringankan hatinya untuk melakukan ibadah kepada Allah. Dia rindu untuk sujud merendahkan dirinya sebagai hamba kepada Allah. Kita boleh lihat, bagaimana seseorang itu rajin beribadah atau tidak. Adakah dia menghormati waktu solat ketika tiada keuzuran dan sebagainya.

4) Terikat Hati dengan Masjid dan Dakwah

Bermakna, rajinkah dia mengerjakan solat berjemaah? Sensitifkah dia dengan isu-isu semasa dan terlibat dalam proses dakwah dan humanisasi? Renung-renungkanlah

5) Berakhlak Mulia dan Berbudi Bahasa

Kata orang, hendak mengenal seseorang, kita memerlukan masa sekurang-kurangnya 2minggu. Ya, ada benarnya juga. Masa akan sedikit sebanyak memaparkan sisi-sisi negatif seseorang. Kawan saya Dr. Ahmad Hazim Abd Ghaffar pernah berpesan kepada kami rakan-rakannya (mengikut pemahaman saya seperti berikut):

"Semakin lama anda berkawan dengan saya, anda akan lihat kelemahan-kelemahan yang terdapat pada diri saya. Usahlah anda menggunakan kelemahan-kelemahan tersebut untuk membenci saya. Seharusnya, sama-samalah kita menutup lubang-lubang kelemahan antara satu sama lain kerana kita semua bersahabat kerana-Nya".

Kita boleh lihat bagaimana akhlak seseorang. Bagaimana dia bersama rakan-rakan, guru-guru, ibu bapa dan sebagainya. Ketawa tak ingat alamkah? Bercerita 24 jamkah? Bersuara seperti keldaikah?

Kesimpulan

Sebenarnya, banyak lagi ciri-ciri yang diungkapkan oleh Ustaz Emran Ahmad dalam bukunya Mencari Pasangan Hidup terbitan Alaf 21. Buku yang murah ini (RM16), pasti menjadi nasihat yang berguna bagi mereka yang sudah berkira-kira untuk mencari pasangan hidup.

Akhirnya, jangan terlampau mengharapkan yang terbaik. Jangan terlalu high expectation terhadap pasangan anda. Bukankah:

"Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka" (Al-Baqarah: 187).

Lengkap melengkapi, kurangkan sepatutnya dalam hidup berumahtangga. Contohnya, sepatutnya isteri tukang masak, suami tukang makan dan sebagainya.

Renunglah ciri-ciri di atas. Jika sudah ketemu calonnya, dan bersedia, mulakan langkah pertama. Usah didengar bisikan syaitan yang membenci perkahwinan.

Sumber:
http://solaharith.blogspot.com/2010/06/tips-mencari-pasangan-hidup.html
 
Himpunan Ayat Al-Quran & Hadis Mengenai Perkahwinan.

4168020590_4cc0649075.jpg


01. Rasulullah SAW pernah mengingatkan sesiapa yang berkemampuan tetapi enggan untuk berkahwin melalui sabdanya,
"Kamu berkata begitu, ingatlah demi Allah sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan yang paling taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadangkala tidak berpuasa; aku sembahyang dan aku tidur; dan juga kahwin dengan perempuan. Barangsiapa tidak suka dengan sunnahku, dia bukanlah pengikutku".

02. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
"Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

03. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
"Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu."

04. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
"Sejahat-jahat jamuan ialah jamuan walimah (perkahwinan) yang mengundang orang-orang kaya dan meninggalkan orang-orang yang fakir."
(riwayat Bukhari & Muslim)

05. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
"Wanita yang paling banyak mendapat kurnia ialah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya. Dan wanita yang jahat ialah wanita yang mahal mas kahwinnya, payah nikahnya dan yang buruk budi pekertinya."

06. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
"Beritahulah kepada orang ramai akan nikah ini dengan pukulan gendang dan rebana".
(riwayat Ibnu Majjah)

07. Firman Allah SWT:
"Diharamkan atas kamu mengahwini ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu, saudara-saudara perempuan bapa kamu, saudara-saudara perempuan ibu kamu, anak-anak perempuan dari saudara-saudara lelaki kamu, anak-anak perempuan dari saudara-saudara perempuan kamu."
(Surah An-Nissa: Ayat 23)

08. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
"Hak suami atas isterinya (tanggungjawab isteri terhadap suaminya), bahawa isteri tidak boleh meninggalkan hamparan (tilam) suaminya, hendaklah menerima dengan baik pemberian suaminya, hendaklah taat pada perintah suaminya, tidak boleh keluar dari rumahnya kecuali dengan izin suaminya, dan tidak boleh membawa (membenarkan) orang yang dibenci oleh suaminya masuk ke dalam rumahnya."
(riwayat Al-Tabrani)

09. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
"Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga."
(riwayat Abu Hurairah)

10. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
"Tiga perkara yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dianggap bersungguh-sungguh, dan yang dilakukan dengan gurauan (main-main) akan menjadi sungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk."

11. Firman Allah SWT:
"Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu tidak dapat berlaku adil diantara isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu berkahwin seorang sahaja."
(Surah An-Nisa: Ayat 3)

12. Firman Allah SWT:
"Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang."
(Surah Ar-Rum: Ayat 21)

13. Firman Allah SWT:
"Wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi waita yang baik pula."
(Surah An Nur: Ayat 26)

14. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
" Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak mempunyai budi pekerti."
(riwayat Abu Asakir)

15. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
"Takutlah kepada Allah, di dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang ada disampingmu, barangsiapa tidak memerintahkan agar isterinya mengerjakan solat, dan mengerjakan agama kepadanya, maka ia telah berkianat kepada Allah dan Rasul-Nya."

16. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,
"Aisyah pernah ditanya apa yang dilakukan oleh Rasullulah SAW dalam rumahtangganya? Jawab Aisyah: Nabi SAW biasa membantu kepentingan keluarganya. Menyapu rumah, menjahit baju yang koyak, memperbaiki sepatu dan memerah susu kambing. Bila tiba waktu solat tiba baru baginda berhenti, kemudian menunaikan solat."

17. Terdapat beberapa cara untuk menggauli isteri secara baik antaranya tidak membuka rahsia isteri serta memperkatakannya di hadapan masyarakat umum. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda,
"Seburuk-buruk manusia disisi Allah pada hari Kiamat adalah seorang lelaki yang menceritakan hubungan dengan isterinya dan isteri yang berhubungan dengan suaminya lalu menyebarluaskan rahsia mereka."

18. Firman Allah SWT:
"Isteri-isteri kamu adalah seperi kebun tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah kebun tempat kamu bercucuk tanam itu bagaimana sahaja yang kamu kehendaki."
(Surah Al Baqarah: Ayat 223)

19. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
"Perbaikilah wanita, kerana sesungguhnya wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Paling bengkoknya tulang rusuk itu adalah di bahagian atasnya. Jika meluruskannya terlalu keras., maka ia akan pecah. Dan jika dibiarkan, maka ia akan tetap bengkok. Maka perbaikilah wanita itu dengan cara yang baik."

20. Firman Allah SWT:
"Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, hanya kepada -Ku-lah tempat kembalimu"
(Surah Luqman: Ayat 14)

21. Firman Allah SWT:
"Hai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, daripadanya pula Allah menciptakan pasangannya, dan dari keduanya dikembangkan laki-laki dan wanita-wanita yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah dengan (menggunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain; dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu."
(Surah An-Nisa': Ayat 1)

Semoga kita sama-sama dapat manfaat darinya.

Terima kasih
 
Last edited:
Kecantikan Lelaki & Kegagahan Wanita

3569367504_cfcdf8a056_o.jpg


Kecantikan Lelaki

Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani. Lelaki yang cantik, adalah: -

1) Lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan
2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran
3) Lelaki yang memberi madu,setelah menerima racun
4) Lelaki yang tenang dan lapang dada
5) Lelaki yang baik sangka
6) Lelaki yang tak pernah putus asa

Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan Yang ada pada Nabi Muhammad adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.

Kegagahan Wanita

Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan,tetapi pada Kekuatan perasaan. Perempuan yang gagah,adalah: -

1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan
2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan
3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan
4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar di penuhi segala keinginan.

Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang ada pada Khadijah adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan.

Sabda Rasulullah SAW :
"Sebarkanlah ajaranku walaupun satu ayat "

Firman Allah Taala:
"Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya,maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar."
(Surah Al-Ahzab : Ayat 71)
 
Beberapa tip mencari jodoh!

jodoh.jpg


Assalamualaikum,

Jodoh pertemuan ditangan Tuhan tetapi kita sebagai manusia perlulah berusaha mencari jodoh yang sesuai dengan citarasa kita dan kehendak agama. Mungkin ada yg. tertanya-tanya, macam mana nak cari jodoh ni yeeee...

Berikut adalah beberapa tips untuk anda mendapat jodoh.

1. Minta bantuan dari ibu bapa (teknik turun temurun) - teknik ini sangat popular ketika dahulu dimana ibubapa mencari jodoh untuk anak mereka tetapi ia masih lagi boleh digunapakai untuk zaman ini kerana ibubapa mempunyai kenalan dan mungkin mereka tahu bagaimana akhlak anak rakan mereka tersebut untuk dijadikan calon.

2. Hadiri aktiviti - sertai pelbagai aktiviti. Lagi banyak anda terlibat, lagi banyak pendedahajan dan perkenalan. Orang yg. aktif tentu ramai kenalan kan...

3. Minta bantuan rakan - Mungkin rakan anda ada kenalan yang sesuai untuk diperkenalkan kepada anda.

4. Minta bantuan adik beradik

5. Chat room - Anda perlu berhati2 dengan teknik ini kerana bimbang ada penipuan secara maya, maklumlah kita sukar nak tahu cerita sebenar melainkan bersemuka.

6. Laman cari jodoh - Teknik ini juga anda perlu berhati-hati.

7. Cari sendiri - Mungkin anda tahu pilihan yg. bagaimana yg. sesuai dengan anda. Kalau anda masuk universiti, ia merupakan platform yg. baik untuk pencarian jodoh, tapi jangan lupa batasan agama semada perkenalan.

Yang mana satu pilihan anda ?

taaruf2.jpeg
 
Adab bertaaruf menuju pernikahan:

25709_444815633624_786348624_5597151_1339521_n.jpg


1.Pra-Perkenalan

- Niat bertaaruf hendaklah kerana Allah, demi membina sebuah rumahtangga yang diredhai Allah, bagi memenuhi fitrah insani yang ingin berpasangan mengikut syariat-Nya.
- Mendapatkan maklumat tentang bakal pasangan terutama dari segi agamanya, keturunannya, hartanya serta rupa parasnya. Maka yang beragama itulah terjaga budi pekertinya & pilihan terbaik.
- Menggunakan orang ketiga / wakil / sahabat yang terjaga akhlaknya serta boleh dipercayai untuk menyampaikan hasrat bertaaruf.
- Memohon keizinan wali (ayah / abang / saudara lelaki semahram) pasangan wanita sebelum bertaaruf. Nyatakan sebab mengapa nak bertaaruf.

2.Perkenalan

Dalam adab bertaaruf, mestilah berlandas syariat. Berikut adalah adab bertaaruf sebelum pernikahan yg dirujuk dari www.zaharuddin.net

- Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
- Haram ber"dating" dan berkapel tanpa disertai mahram yang thiqah.
- Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat sama ada sms/whatsapp, phone, chat, messenger.
- Awas fitnah masyarakat sekeliling.
- Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
- Haram melihat kepada aurat masing-masing.
- Awas daripada bertukar gambar.
- Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.

Terpulang pada sesama keluarga & bakal pasangan samada nak bertunang atau tidak. Kiranya jalan pertunangan dipilih, adab selepas bertunang tetap sama ketika tempoh perkenalan sebelum pertunangan.

3.Pasca-perkenalan

- Lamaran
- Ijabkabul
- Walimatul urus
- Malam pertama
- Dan seterusnya.

Wassalam
 
Perkongsian: Jodoh – Mencari @ Menunggu Part 1

menungu%2Bkematian%2Bdan%2Bjodoh.jpg


Saya tertarik dengan satu soalan yang dibawakan oleh seorang user komuniti.iluvislam berkenaan jodoh.

Persoalannya, “Betulkah kita hanya menanti si bulan(si dia) yang bernama jodoh? Usaha tidak perlu ke?"

Pada mulanya saya tersenyum.

Yelah, lagi-lagi jodoh. Lagi-lagi isu jodoh.

Hmm. Namun, setelah saya fikir-fikirkan kembali. Soal jodoh ini bukan suatu soal yang boleh diremeh-remehkan sebenarnya. Saya kira, hampir setiap dari manusia itu akan melalui satu tahap di mana mereka akan mula memikirkan tentang persoalan jodoh.

Justeru, silap dalam kefahaman terhadapnya mampu memberi kesan negatif yang cukup besar terhadap masyarakat. Gejala sosial yang menular dengan sungguh dahsyatnya pada masyarakat kita kini juga tidak dapat tidak, salah satu faktornya adalah kesilapan dalam memandang isu jodoh ini.

Jadi, akhirnya, saya memilih untuk menulis tentang isu evergreen itu, di sini.

Ramai yang keliru

Jika kita lihat pada masyarakat sekeliling kita hari ini, dapat kita simpulkan bahawa ramai yang keliru berkenaan persoalan jodoh.

Sejak di bangku sekolah lagi, kita dapat melihat, remaja-remaja kita ramai yang sudah mula ‘mencari’ jodoh mereka. Untuk mencari ‘kecocokan’, mereka mula kenal-mengenal. Surat-surat cinta, sms, dan berbagai cara lagi mereka gunakan untuk memastikan adakah si dia itu jodohku?

Kemudian, gejala ini berlaku dengan semakin rancak apabila pelajar-pelajar mula masuk di universiti-universiti. Ramai yang tidak mahu kelepasan dalam ‘berusaha’ untuk jodoh mereka. Dengan kemudahan IT yang lebih canggih, sms, chatting, e-mail, dan facebook digunakan untuk mencari pasangan idaman mereka. Kemudiannya, ramai yang terjebak dengan gejala ‘couple’.

Mereka hangat bercinta.

Namun, menurut apa yang saya lihat sendiri di hadapan mata, ramai yang akhirnya ‘clash’ ataupun istilah lainnya ‘break-up’. Yang berkekalan mungkin ada, namun, bilangannya tidak banyak. Bahkan, tidak kurang juga mereka yang telah berkali-kali tukar pasangan, namun tetap, jodoh mereka tidak diketemukan.

Janji-janji setia di waktu kehangatannya cinta, kebanyakannya hanya tinggal kata-kata yang menyakiti jiwa.

Namun, mengapa semua ini berlaku?

Usaha telah kita letakkan, namun, mengapa masih si dia yang bernama jodoh tidak hadir-hadir dalam hidup kita?

Atau apakah selama ini kita silap dalam berusaha?

Jodoh – suatu ketentuan?

Sebelum saya heret permasalahan ini dengan lebih mendalam, suka saya sentuh dasar topik ini, yakni perihal jodoh.

Jodoh, adakah ia suatu ketentuan?

“… Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Surah Ath-Thalaq, Ayat 3)

Yup. Jodoh itu merupakan salah satu ketentuan dari Allah.

Malah, bagi orang Islam, meyakini Qadha’ dan Qadar yang ditentukanNya merupakan suatu kewajipan. Beriman kepada Qadha’ dan Qadar, merupakan salah satu dari rukun iman. Yakni, bererti, tidak beriman kepadanya akan membawa kepada iman yang tidak sempurna.

Sebagaimana dalam sebuah hadis mahsyur berkenaan rukun Iman (saya hanya memetik sebahagian darinya),

Malaikat jibril yang pada ketika itu menyerupai seorang lelaki berkata, "Kemudian beritahukanlah padaku tentang Iman."

Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Iaitu hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari penghabisan - kiamat - dan hendaklah engkau beriman pula kepada takdir(Qadha’ dan Qadar), yang baik ataupun yang buruk -semuanya dari Allah jua."
Lelaki itu berkata: "Tuan benar."
[HR. Muslim]

Maka di sini perlu kita lihat bahawa soal jodoh dan pertemuan ini semuanya berada terletak pada ketentuan Allah. Tiada sesuatupun yang akan berlaku, melainkan dengan izinNya.

Berbalik pada persoalan awal kita, maka, perlukah kita berusaha untuknya?
 
bagus juga untuk persediaan sebelum perkahwinan, lagi2 pada remaja supaya mereka tahu akad itu di sertakan tanggungjawab.

bole saya share content2 tulisan bro ni?
 
Perkongsian: Jodoh – Mencari @ Menunggu Part 2

Usaha yang sebenarnya

Sudah menjadi sunnatullah(hukum alam, berdasarkan ketetapan Allah), bahawa dalam mendapatkan apa-apa sahaja di dalam dunia ini, kita perlu kepada sesuatu yang kita panggil, ‘usaha’.

Baik. Bagaimana untuk kita berusaha dalam soal jodoh ini? Adakah sejak sekarang, kita seharusnya sudah mula berusaha mencari?

Saya sependapat dengan Ustaz Hasrizal.

Yakni, dalam persoalan usaha ini, pertamanya, ada baiknya kita ukur kain di badan sendiri dahulu.

Jika dalam masa terdekat, kita tahu yang kita belum bersedia untuk melangsungkan pernikahan (atas apa-apa sebab sekalipun), maka, 'usaha mencari @ menawan' itu masih tidak perlu.

Masa terdekat itu kita boleh ambil dalam lingkungan setahun.

Ya, tidak perlu. Mengapa?

Kerana apabila kita sudah mula mencari, dalam keadaan diri langsung amat jauh dari persediaan untuk menikah itu sendiri, maka, banyak masalah bakal timbul. Percaya?

Setelah berkenal-kenalan, dan saling meminati mungkin, sudah menjadi lumrah, kedua-dua insan itu pasti mahu mengikat diri mereka dengan ‘pasangannya itu’, dengan suatu ikatan atau perhubungan. Melalui ikatan itu, mereka akan rasa saling memiliki dan punya masa depan bersama.

Namun, cuba katakan, apakah masih ada ikatan yang sah(halal) yang dapat ada antara dua orang bukan mahram, selain dari ikatan pernikahan?

Tiada.

Yang ada mungkin persaudaraan dalam Islam. Dan, itu tidak mengubah apa-apa, kerana ia tidak pula menghalalkan mereka untuk saling berhubungan.

Lalu, akhirnya, kita dapat melihat, ramai di antara mereka yang ber’couple’ dan mengadakan janji setia untuk mengikat perhubungan mereka.

Dan tempoh masa yang masih panjang (dari masa pernikahan) tadi akan menarik mereka untuk membuat perkara-perkara lain pula. Zina hati jangan di cerita. Zina tangan (persentuhan) dan zina-zina lain juga dengan mudah dapat dilakukan apabila diri sudah tidak mampu lagi menahan syahwat.

" Mata boleh berzina dgn melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia "
[HR Bukhari dan Muslim]

Malah akhirnya, berdasarkan pemerhatian saya sendiri, tidak ramai di antara mereka yang dapat mempertahankan hubungan mereka. Perpisahan terjadi. Itulah hasilnya apabila perhubungan yang diadakan hanya dilandaskan atas suka sama suka, tetapi tidak hadir bersamanya tanggungjawab. Dan kesilapan kita juga, yang kadang meletakkan ketepi kuasa Allah dalam persoalan jodoh. Na’udzubillahimindalik.

Dan wahai hati-hati yang suci.. Jikalaupun ikatan yang dibina itu mampu berkekalan sekalipun, namun, apakah yang masih kita mahu berharap padaNya, jika usaha yang diletakkan pun tidak menepati kehendak syarak atau lebih jelasnya, bertentangan dengan kehendak Allah?

Justeru, di sini suka saya tekankan sekali lagi.

Jika kita tahu bahawa kita belum lagi merancang untuk memasuki gerbang pernikahan dalam tempoh terdekat ini, justeru, tidak perlulah pada usaha ‘mencari jodoh’. Dikhuatiri, usaha itu hanya bakal mengundang perkara buruk kepada rumah tangga kita kelak.

Jodoh itu dalam ketentuanNya, maka, jika kita mahu berusaha pun, mengapa kita perlu mengambil usaha-usaha yang tidak Dia suka? Bukankah akhirnya, Dia juga yang menentukan segala?

Jika sudah mampu

Seperti yang saya katakan bagi mereka yang sudah merancang untuk melakukan pernikahan dalam masa terdekat, tidak salah untuk mereka mula ‘berusaha untuk mencari’ bakal pasangan mereka. Dan semestinya, dalam tempoh ini, batas-batas pergaulan tetap perlu dijaga. Sebaik-baiknya, kita ikuti sunnah, baik di pihak lelaki maupun perempuan. Yakni jika sudah ada yang berkenan, gunakan orang tengah untuk mengenali latar belakang mereka, dan juga memanjangkan hasrat.

Dan jika merasakan tempoh untuk berkenal-kenalan itu diperlukan, maka ambillah jalan untuk bertunang. Walau tetap, ia tidak menghalalkan apa-apa, namun, ia adalah ruang terbaik untuk mereka saling berkenal-kenalan sebelum bernikah.
 
Perkongsian: Jodoh – Mencari @ Menunggu Part 3

Usaha yang perlu digerakkan - Men'jadi' & Mempersiapkan diri

Ok. Kalau kita ini agak-agaknya lambat lagi mahu bernikah, maka adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha apa-apa?

Tidak juga sebenarnya. Usaha itu masih tetap ada.. tetapi dalam bentuk lain la.

Usaha yang perlu kita letakkan itu adalah lebih kepada 'MENJADI" daripada 'MENCARI'.

Ya. Kita pasti mahukan mereka yang soleh/ah untuk menjadi pasangan kita. Itu telah menjadi lumrah. Oleh itu, dalam kita mahu mendapatkan yang soleh, kita perlu JADI soleh terlebih dahulu. kan?

Iya. Kerana sesungguhnya, Allah akan menyediakan pasangan buat kita, sesuai dengan tahap keimanan diri kita juga.

Sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nur, ayat ke-26,

" Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (surga)."
[Surah An-Nur, 24: 26]

Makanya, mahukan pasangan yang baik, usahanya, menjadi baik terlebih dahulu. Ini lebih utama. Allah yang menetapkan jodoh kita, maka kita perlu yakin, inilah cara yang sebaik-baiknya.

Jika kita hanya limitkan definisi usaha kita hanya pada mencari, maka pada saya, kita sudah silap besar.

Mungkin... pasangan kita itu ‘tampak’ soleh, tetapi tetap, kita akan dapat pasangan, sesuai dengan tahap iman kita juga. Baik akan dapat baik, inshaAllah. Jahat dapat jahat.

Kalau jalan yang diambil pun kurang bertepatan dengan syarak, maka, tak perlulah kita nak mengharapkan sangat yang baik, dan sentiasa menjaga diri. Ye tak? *Hmm*

Dan pada saya, usaha lain juga, yang tidak kurang utamanya, adalah mempersiapkan diri untuk menghadapi pernikahan. Yup.

Mengapa? Yelah, membina masjid hakikatnya bukan takat sehari dua. Tak cukup. Cuma, jika kita mahukan masjid yang bertahan sehari dua juga mungkinlah.

Oleh itu, persediaan dari sudut mental dan ilmu itu amat-amatlah perlu sejak sekarang lagi.

Sebagai lelaki, kita perlu melatih diri kita agar mampu memimpin, mampu hidup berdikari. Dan sudah tentu kemudiannya mampu menjadi qudwah atau contoh tauladan yang baik buat keluarga.

Sebagai wanita pula, persiapkanlah diri kalian dengan ilmu. Harapannya, dengan tarbiyyah(didik) dari tangan-tangan kalian, anak-anak itulah yang bakal menjadi pejuang-pejuang Islam suatu hari nanti, inshaAllah. Kalian perlu sedar, bahawa kalianlah pentarbiyyah utama generasi masa hadapan. Masa depan umat, hakikatnya, terletak di tangan-tangan kalian.

Dan tanggungjawab sebesar itu, seharusnya disertai dengan persiapan yang tidak kurang besarnya juga.

Latihan-latihan dan persiapan diri ini… mampukah dilakukan hanya sehari dua, atau cukupkah hanya sebulan sebelum pernikahan?

Sudah tentu tidak.

Maka ayuh, kita mula mempersiapkan diri kita mulai hari ini juga. Jika redha Allah yang dicari...

Saya jadi teringat akan kisah saya masa sekolah dahulu. Melihat rakan-rakan ramai yang ber’couple’, perasaan takut itu muncul, dikhuatiri nanti semua habis dikebas orang (haha.. ye ke?). Oleh sebab itu, saya juga tidak terlepas dalam usaha mencari jodoh ini, kononnya. huhu. Dan diringkaskan cerita, di waktu saya hampir saja mahu mengambil tindakan itu(ber’couple), saya diberikanNya petunjuk(dalam bentuk ilmu dan kefahaman) bahawa rupanya, pemahaman saya selama ini silap. Alhamdulillah.

Hmm. Jika mahu diikutkan, tatkala petunjuk itu sampai, boleh sahaja saya untuk menidakkannya, dengan tetap meneruskan perancangan dan 'kehendak' saya. Namun, saya sedar, bukankah tindakan saya itu hanya suatu tindakan yang *****?

Allah sudah pun memberi petunjukNya, dan ditakuti, selepas ini, Dia tidak lagi ingin memberi petunjuk kepada saya, atas sebab saya tidak pandai menghargai petunjuk yang telah Dia berikan. Maka, bukankah pada hakikatnya saya hanya menzalimi diri saya sendiri?

Justeru, suka saya katakan, jika petunjuk Allah yang kita cari, jika redha Allah yang kita mahukan dalam rumah tangga kita nanti, maka berusahalah... dengan usaha yang sesuai dengan apa yang Allah izinkan.

Jika kita sibuk menggauli perempuan sana, perempuan sini, lelaki sana, lelaki sini, sedangkan, jodoh kita masih belum kita ketahui siapa, maka, pada pendapat peribadi saya, kita juga seakan-akan sudah berkhianat kepada bakal jodoh kita nanti. Ya ke? Yelah, kemesraan dan sebagainya itu, bukankah hanya layak untuk pasangan halal kita sahaja? Dan di pihak kita pun, kalau boleh, sudah tentu kita juga mahukan mereka yang soleh dan masih terperlihara juga bukan?

Kerana.. sudah menjadi lumrah manusia, akan lebih tertarik pada sesuatu yang terpelihara dan terjaga.

Dan sudah tentu, apa yang menjadi lebih besar lagi, adalah kerana kita seakan-akan menidakkan kuasa Allah ta’ala. Na'udzubillahimindzalik. Terkadang, kita lebih ‘beriman’(percaya) kepada usaha kita, berbanding iman(kepercayaan) kita terhadap Qadha’ dan Qadar yang ditentukan Allah.

Ya. Manusia itu digalakkan berusaha. Namun, usaha-usaha yang mengundang murkaNya, apakah itu akan dikiraNya sebagai usaha yang baik dalam isu jodoh ini? Jika kita mahukan pasangan yang tidak soleh, mungkin.. ia masih dapat dikira sebagai usaha.

Namun, bukan itu yang kita mahukan bukan?

Di sini, kita perlu yakin bahawa hakikatnya, setiap apa-apa yang berlaku itu, berada dalam kekuasaanNya. Gejala zina, buang anak dan sebagainya pada hari ini, atas kefahaman dan kepercayaan yang silap dalam hal ini juga.

Justeru, ayuh kita kembali meletakkan Al-Qur’an dan sunnah sebagai teras dalam hidup masyarakat kita.

Yakinlah, jalan yang Allah tentukan ini, bukan untuk menidakkan fitrah kita. Tidak. Sebaliknya, Allah mahu memeliharanya. Ianya... demi kebaikan kita juga.

Wahai hati-hati yang suci. . .

Katakanlah,

'Jika petunjukNya telah sampai, masihkah aku mahu menidakkannya?'

“ … Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.

Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.”
(Surah Ath-Thalaq, Ayat 2-3)

Sumber:
http://back2fitrah.blogspot.com/2010/12/perkongsian-jodohmencari-menunggu.html
 
bagus juga untuk persediaan sebelum perkahwinan, lagi2 pada remaja supaya mereka tahu akad itu di sertakan tanggungjawab.

bole saya share content2 tulisan bro ni?

Boleh. Amatlah dialu2kan.
 
Back
Top
Log in Register