BTC USD 61,411.7 Gold USD 4,345.27
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Menuju Alam Pernikahan

As-salam,

Setelah mengkhatamkan buku 'Bunga Kebahagiaan' karangan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (beserta manual kursus kahwin & buku soal-jawab pernikahan karangan Ustaz Al-Hafiz Hassan Din), serasa macam tak cukup lagi. Iyelah, bagi yang dah merancang nak bercintan-cintun romantik jiwang karat setelah pernikahan.

Kata orang, sibuk nak mencari 'manual percintaan' selain mengulang tayang cerita Hindustan sebagai pedoman - Kuch2 Hota Hai, Dil To Pagal Hai, Dilwale Dulhania Le Jayenge, Pardes, Kabhi Kushi Kabhi Gham .... kira nak menyemarakkan rasa cinta suami isteri.

Maka dapatkan lah buku karangan Ustaz Hasrizal aka Ustaz Cinta aka Ustaz Gemuk (dia yg cakap, bukan saya), webmaster saifulislam.com.

Buku+online+aku+terima+nikahnya+saifulislam.com+hasrizal+abdul+jamil+galeri+ilmu.jpg


Kompilasi Best Seller
3 dalam 1
Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai Syurga dan Murabbi Cinta


Harga: RM 60.00 (with postage)
Sabah/Sarawak: Tambahan RM 10

Edisi Hard Cover


TRILOGI AKU TERIMA NIKAHNYA merupakan gabungan buku best seller Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga dan Murabbi Cinta. Ia diterbitkan dengan hard cover bersama tajuk depan dengan Gold Hot Stamping bersama dan teks dalam yang dicetak dwi warna. Turut dihiasi dengan petikan-petikan daripada setiap artikel untuk kemudahan pembaca. Dihasilkan dengan sasaran menjadikannya sebagai cenderamata dan hadiah perkahwinan, juga sesuai sebagai koleksi peribadi.

Sangatlah molek isinya, buat tatapan mereka yang mengimpikan taaruf suatu perhubungan berlandas syariat.

CORETAN PENULIS

Saya bukan novelis.

Saya bukan penulis.

Saya belum ada ciri-ciri yang lazim terkait sebagai seorang penulis.

Saya hanyalah seorang anak, suami, bapa, adik, saudara, rakan, da’I serta insan pejuang yang menulis.

Menulis kerana itu cara saya memberitahu diri. Menulis kerana itu cara saya memaham erti. Menulis kerana ia dan diri sudah sebati. Malah menulis kerana itu cara saya menentang mati. Agar di satu hari nanti, saya tidak mati oleh sebuah kematian. Tulisan tinggal sebagai rakaman. Rakaman tentang kehidupan. Kehidupan yang menjadi cermin untuk setiap pembaca mencari diri.

Segalanya bermula di situ.

Aku Terima Nikahnya (2008), bermula daripada percubaan saya untuk memahami apa yang telah dan sedang saya lalui. Menilai kembali setiap satu langkah kecil yang diambil menuju kehidupan berumahtangga, Tauhid dan cinta menjadi sendi dan nadi membina mahligai impian.

Saya tidak pernah membayangkan Aku Terima Nikahnya diangkat sebagai manual cinta. Ia bukan cerita cinta. Ia cerita kehidupan.

Namun menjenguk kehidupan daripada jendela cinta, lebih sering mengurniakan pelangi, warna yang menghimpun semua perasaan kita. Calon pencinta menjadikannya sebagai persediaan. Pencinta semasa mengambilnya sebagai perencah rasa. Pencinta semalam bercermin diri menjadikannya sebagai renungan. Aku Terima Nikahnya tersedia untuk semua.

Aku Terima Nikahnya pergi terlalu jauh.

Abang dan kakak berpesan kepada adik, suami dan isteri saling memujuk pasangan membelek.

“Bacalah, bang. Ini bukan buku perempuan. Ia perspekif lelaki. Seorang suami. Seperti abang!” pujuk seorang isteri.

“Bacalah yang. Ini buku untuk perempuan. Hakikat lelaki untuk isteri memahami suami. Seperti abang!” rayu seorang suami.

Aku Terima Nikahnya terbuka kepada apa sahaja bentuk tanggapan dan jangkaan. Namun setinggi syukur kepada Allah atas setiap kebaikan yang diperolehi oleh mereka yang memanfaatkan. Perjuangan Aku Terima Nikahnya adalah untuk menyuntik keyakinan, bahawa kebejatan fitnah hidup semasa, tidak sama sekali menjadikan cinta dan perkahwinan berteraskan Islam, mustahil tegak di tengah arus yang derunya bertentangan.

Bercinta Sampai ke Syurga
(2009) memanggil burung pulang ke sarang. Puas terbang tinggi meninjau kehidupan, sekual Aku Terima Nikahnya ini menjemput pembaca untuk terus menyapa awan namun kaki jangan memencil bumi.

Ia penuh dengan liku-liku perjalanan rumahtangga dan perkahwinan. Antara pedas, manis dan pahit. Tiga rasa yang merencah realiti kehidupan.

Jika Aku Terima Nikahnya membekalkan saranan membina kehidupan bersendikan Syariatullah, Bercinta Sampai ke Syurga pula menyuluh keperluan Sunnatullah. Syariat dijaga, hukum hakam dipelihara, namun rumahtangga tetap bergelora kerana Kitab Kalam tidak harus terpisah daripada Kitab Alam. Sunnatullah yang ditempa Allah sebagai sifir kehidupan, jangan disanggah, jangan diremeh temehkan.

Membina jambatan keserasian antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak-anak, ahli keluarga dan persekitaran, semuanya harus tunduk kepada hukum alam tentang hubungan manusia.

Pertemuan saya dengan sisi kedua selepas Aku Terima Nikahnya, sungguh menginsafkan. Ia mengajar saya untuk lebih manusiawi terhadap isteri dan anak-anak, belajar seni rasa dan seni kata, bukan jauh meninjau seberang, tetapi bersuluhkan kekayaan jiwa insan bergelar Nabi. Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam sendiri yang hangat watak dirinya terhadap para isteri dan anak-anak.

“Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya. Dan aku adalah yang terbaik kepada keluargaku”
– Al-Hadith

Segala atas dan bawah, hitam dan putih, salah dan betul yang terakam di dalam naskhah Bercinta Sampai ke Syurga, adalah usaha-usaha saya untuk menjadi manusia terbaik di pandangan baginda, juga pandangan Allah yang Esa.

Perkahwinan bertambah usia, anak-anak bertangga dewasa. Rumahtangga beralih ke fasa seterusnya, nikmat dan cabaran saling bersulam mematangkan kehidupan. Di medan itulah Bercinta Sampai ke Syurga menghidang cerita. Serunya bukan untuk kehidupan yang sementara. Ia suatu jemputan, mengajak pasangan yang hangat berkasih, bercinta selama-lamanya, hingga ke Syurga.

Hanya satu syarat ketetapan.

Taqwa yang benar kepada Tuhan.

Murabbi Cinta (2010) bukan ulangan cerita.

Setelah Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai ke Syurga bermain peranan di pesada kembara insan mengenal Tuhan dan kehidupan, Murabbi Cinta mahu mengenengahkan sumber inspirasi terbesar seluruh perkongsian.

Cinta Hollywood.

Cinta Bollywood.

Pelbagai modul cinta terhidang di depan mata.

Hingga kita mungkin terlupa, bahawa tiada insan yang hatinya mampu berkasih, seperti naluri Murabbi Cinta, Uswah Hasanah teladan mulia, Muhammad yang Amin, sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Masakan tidak, setelah romantiknya kita tekuni, belas ihsan hatinya kita hayati, gurau sendanya kita teladani, tegas benarnya kita ikuti, tidakkah sebesar-besar cinta adalah cintanya kepada setiap kita? Mencintai manusia yang belum ada. Hingga hidupnya tidak berwasiatkan sisa, kecuali pedoman untuk sahabat dan ikhwan, yakni kita kaum mukminin di zaman kemudiannya, yang pernah mengusik jiwa baginda, akan rindunya kepada kita.

Itulah tema Murabbi Cinta.

Mengajak diri saya meneladani seorang Nabi.

Utusan Allah yang tidak pernah mensesiakan kuasa cinta, pada menjinakkan umat kepada agama. Cinta dan Tauhid menjadi satu, bekalan teragung sepanjang zaman.

Sunnahnya menjadikan kita hidup bercara.

Sunnahnya menjadikan masalah dan cabaran hidup sebagai laluan menjadi dewasa.

Sunnahnya mencegah lemah dan putus asa.

Sunnahnya terungkap di naskhah Murabbi Cinta, agar semua kebaikan yang sempat dilontar cerita, menambahkan penghargaan dan kasih, kepada mahaguru kita yang satu, Rasulullah Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam.

- Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

aku%252Bterima%252Bnikahnya%252B2.jpg


Wallahualam
 
62 Petua Amalan Kebahagiaan Rumah Tangga Part 1

timthumb.php


Tanpa sebuah persefahaman, tidak mungkin istana yang dibina menemui kebahagiaan sebagaimana diharapkan.

Biar berjuta halangan merentangi namun jika tersurat kasih dan sayang dua insan berkenaan, pasti ia menemukan ketulusan yang abadi.

Dalam melayari rumah tangga berdua, pasti banyak onak terpaksa dilalui. Hanya mereka yang kuat, tabah dan mampu mendepani segalanya bakal menjulang kebahagiaan.

Perunding motivasi dan keluarga, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah memberi 62 petua yang boleh dijadikan amalan pasangan suami isteri yang melayari rumah tangga.
1. Doa yang berterusan

2. Patuh ajaran agama

3. Murah dengan pujian

4. Murah dengan khidmat

5. Murah dengan belaian kasih sayang

6. Murah dengan sentuhan

7. Mencari kebaikan pasangan

8. Cari masa komunikasi, berbual atau bergurau senda

9. Cari kebaikan dan pembaikan diri daripada setiap pertengkaran

10. Menghormati had, sempadan atau hal peribadi pasangan

11. Menilai diri daripada perspektif pasangan

12. Berfikiran terbuka; boleh tegur-menegur

13. Berani mengambil risiko emosi; tegur/perubahan/berpisah sementara.

14. Menilai dan memberi keutamaan dalam kehidupan

15. Tolak ansur

16. Menghormati dan mengambil kira 'gerak batin' (intuition) perempuan

17. Tidak mengejar kebendaan semata-mata

18. Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan

19. Mengubah diri untuk merangsang perubahan pada pasangan

20. Sanggup berkorban buat pasangan

21. Menghormati pasangan

22. Berasa amat beruntung (dan nyatakan) mendapat pasangan yang ada

23. Perhubungan seksual yang sihat dan diredai

24. Menghormati perbezaan dalam diri pasangan

25. Sentiasa bermaafan sebelum tidur

26. Sentiasa bersangka baik terhadap masa depan

27. Meletakkan hak kepada pasangan

28. Tidak menjadi hamba kepada pasangan

29. Berubah secara kecil-kecilan untuk meningkatkan kebahagiaan

30. Mengawal marah. Buat perjanjian
 
62 Petua Amalan Kebahagiaan Rumah Tangga Part 2

Sambungan:

31. Mencari penyelesaian dalam situasi menang-menang (win-win situation)

32. Muhasabah hubungan untuk mencari punca masalah

33.Menhormati sifat semula jadi pasangan

34. Memahami peranan pasangan

35. Hubungan perasaan sesama pasangan

36. Jangan simpan ketidakpuasan, sedih, marah atau benci dalam hati

37. Bentuk kod kasih sayang dan anda berdua saja yang tahu

38. Sengaja merancang untuk membaiki hubungan suami isteri

39. Tujuh kali puji dan satu teguran

40. Sebut 'I Love U' sepanjang masa
41. Banyakkan bergurau dan bermesra

42. Sentiasa berterus-terang

43. Beri masa untuk perubahan berlaku; sabar

44. Elakkan berdebat untuk mencari kebenaran

45. Elakkan salah pasangan

46. Cari titik pertemuan

47. Selesaikan masalah hari ini pada hari ini juga

48. Lebih banyak memberi daripada menerima

49. Minta nasihat, pandangan atau maklum balas daripada pasangan

50. Sentiasa bersemangat - bangun tidur, balik kerja dsb

51. Seimbangkan hubungan dari segi:
a) Mental, pendidikan & ilmu
b) Emosi
c) Fizikal & ekonomi
d) Sosial
e) Spiritual

52. Jangan berjauhan terlalu lama (kecuali terpaksa)

53. Tidak terlalu mengongkong

54. Tidak bertindak sendirian

55. Memberi peluang untuk berbeza:
a) Pendapat / pandangan
b) Hobi
c) Kegemaran
d) Makanan
e) Citarasa
f) Warna pilihan & pelbagai

56. Humor atau lawak dari semasa ke semasa

57. Minta bantuan untuk memecah kitaran negatif

58. Berwawasan dan pandang ke depan

59. Tidak meminta yang bukan-bukan

60. Bentuk undang-undang atau peraturan dalam rumah tangga

61. Mencari kelainan dan perubahan negatif

62. Elakkan mendera pasangan dengan apa cara sekalipun.
 
As-salam,

Sekadar perkongsian. Menarik untuk dikongsi bersama. Pengalaman cinta Ustaz Jamnul Azhar.



Untuk pedoman kita semua. Wassalam
 
Juga sekadar selingan, buat wanita solehah bergelar isteri.

Permata Untuk Isteri

- Kopratasa



Telah ku siapkan
Satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi
Sebagai isteri

* :
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan
Seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai denagn kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami
Ku ingin kau mengerti
Bahawa hidup ini tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteri ku

( Ulang Rangkap * )
 
Membangun Ekonomi Rumah Tangga Islami Part 1

oleh: Hidayatullah Muttaqin

IMAGE0079.JPG


Setiap pasangan suami isteri tentu menginginkan hubungan yang harmoni, tenteram, dan sejahtera dalam ikatan mawaddah wa rahmah (cinta dan kasih sayang) sehingga dalam rumah tangganya tercipta baiti jannati (rumahku syurgaku).

Salah satu faktor yang sangat berpengaruh dalam mewujudkan baiti jannati adalah terpenuhnya nafkah keluarga terutama yang berkaitan dengan keperluan asas.

Tidak terpenuhnya keperluan asas bagi keluarga, seperti rumah, makan minum, pakaian, pendidikan, dan kesihatan dapat menimbulkan keresahan di dalam keluarga tersebut yang selanjutnya dapat menjadi pemicu keretakan rumah tangga. Keluarga yang tidak memiliki sandaran iman yang kukuh akan mudah terpancing melakukan kemaksiatan dalam upaya memenuhi keperluan hidupnya. Tidak jarang kita mendengar berita jenayah, seorang bapa mencuri kerana tidak sanggup membayar belanja pakaian isterinya, atau seorang ibu yang merelakan dirinya menjadi pemuas nafsu lelaki hidung belang agar dapat memberi makan dan menyekolahkan anak-anaknya, naudzubillahi min dzalik. Benarlah apa yang dikatakan Rasulullah saw,
“Hampir-hampir kemiskinan itu menjadikan seseorang kufur”
(HR. Abu Nu’aim).

Kerana begitu pentingnya masalah nafkah dan pengelolaan harta di dalam rumah tangga, maka sudah semestinya setiap keluarga muslim dan juga para pemuda-pemudi yang berniat bernikah untuk memahami bagaimana perekonomian rumah tangga yang berlandaskan syariat Islam. Pakar Ekonomi Islam dari Mesir, Dr. Husein Syahatah dalam karyanya Iqtishadil Baitil Muslim fi Dau’isy Syari’atil-Islamiyyah menyatakan tujuan perekonomian rumah tangga Islami adalah untuk menciptakan kehidupan keluarga yang sejahtera di dunia dan keuntungan dengan mendapat redha Allah di akhirat.

Pembahagian tugas rumah tangga

Begitu pintu gerbang pernikahan dimasuki, maka sebuah kehidupan baru yang sarat dengan nilai-nilai ibadah mulai terbuka.
Sejak saat itu setiap pasangan suami istri mendapatkan taklif (beban) syariat berkaitan dengan kedudukan dan tugasnya sebagai suami dan ayah serta sebagai isteri dan ibu.

Mengenai tugas masing-masing di dalam keluarga, Rasulullah saw bersabda
“… Suami adalah pemimpin dalam rumah tangga dan ia akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya …”
(HR. Bukhari).

Ketika Rasulullah menikahkan putrinya Fatimah, beliau berkata kepada Ali r.a.,
“Engkau berkewajiban bekerja dan berusaha sedangkan dia berkewajiban mengurus rumah tangga”.

HAMKA menyatakan tugas suami adalah menjadi pemimpin di dalam rumah tangga, mencari nafkah, mendidik isteri sehingga terlepas dari kejahilan, melindungi dan mengarahkan isteri dan anak-anaknya. Sementara tugas isteri adalah sebagai ibu rumah tangga yang mengatur rumah tangga suaminya, mendidik dan mengasuh anak-anaknya. Syekh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitabnya An-Nizham al-Ijtima’i fi al-Islam menerangkan Islam menyerahkan berbagai aktiviti yang berhubungan dengan aspek kelelakian kepada lelaki sedangkan aktiviti yang berkenaan dengan aspek kewanitaan diserahkan kepada wanita.

Dari sisi wilayah aktiviti, tugas seorang suami lebih banyak berhubungan di luar rumah (kehidupan umum) sedangkan tugas seorang isteri sebahagian besar berada di dalam rumah (kehidupan khusus). Ali r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw menyuruh Fatimah mengatur rumah tangga dan Ali bekerja di luar rumah. Diriwayatkan dari Nu’man, Rasulullah saw bersabda:
“Wanita-wanita yang duduk (berkumpul bersama) dengan anak-anaknya di rumah maka ia akan bersama kami di syurga”.

Meskipun terdapat perbezaan tugas antara suami dan isetri yang sifatnya saling melengkapi, keduanya oleh syara’ terkena taklif dakwah yakni menyampaikan kebenaran Islam baik secara individu mahupun dengan dakwah berjama’ah.

Dalam konteks perekonomian rumah tangga, tugas suami adalah bekerja mencari nafkah sedangkan isteri bertanggungjawab mengatur dan mengelola pengeluaran rumah tangga, seperti makanan, pakaian, perabot rumah tangga, dan lain-lainnya. Jadi fungsi isteri di dalam perekonomian rumah tangga adalah seperti seorang pengurus kewangan. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah saw,
“…Isteri adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya …” juga dalam hadis lain “Apabila seorang isteri menafkahkan makanan rumah tangga dengan tidak bermaksiat, maka dia mendapat pahala dari apa yang diusahakan, …”
(HR. Thabrani).

Meskipun bekerja mencari nafkah merupakan kewajiban suami, bukan bererti isteri tidak boleh bekerja untuk membantu memenuhi nafkah keluarganya. Menurut an-Nahbani syariat memperbolehkan wanita untuk melakukan aktiviti jual beli, ijarah (perburuhan), wakalah (perwakilan), pertanian, industri, perdagangan, dan berbagai aktiviti pengembangan harta lainnya yang menurut syara’ hukumnya mubah. Akan tetapi tugas isteri sebagai ibu rumah tangga dan pendidik anak-anaknya tidak boleh terlalaikan kerana itulah kewajiban asasnya. Tidak boleh isteri mendahulukan yang mubah dan mengesampingkan yang wajib.

Hanya saja bolehnya seorang isteri bekerja harus dengan keizinan suaminya. Sebab isteri wajib taat kepada suaminya selama ketaatan tersebut tidak keluar dari koridor syariat. Rasulullah saw pernah bersabda dihadapan para wanita yang dipimpin Asma binti Yazid,
“Pulanglah dan ketahuilah bahwa menaati suami bagi seorang isteri merupakan suatu hal yang sebanding dengan jihad fi sabilillah. Sedikit sekali para isteri yang dapat melakukan hal ini”
(HR. Thabrani).

Rasulullah saw juga bersabda,
“Seandainya aku dapat memerintahkan manusia untuk bersujud kepada seseorang, tentu akan kuperintahkan isteri untuk bersujud kepada suami”
(HR. Tirmidzi).

Bila Rasulullah saja memerintahkan para isteri untuk tidak keluar rumah tanpa keizinan suaminya, maka apalagi bila isteri keluar rumah untuk bekerja yang automatik mengurangkan sebahagian waktunya yang semestinya dibahagikan untuk suami, anak-anak dan kewajiban dakwahnya.

PS: (Artikel asal ditulis dalam B. Indonesia & diolah kembali oleh saya dalam B. Melayu Piawai - Protoculture)
 
Last edited:
Membangun Ekonomi Rumah Tangga Islami Part 2

oleh: Hidayatullah Muttaqin

Seorang suami yang baik harus bersikap bijak terhadap keinginan isterinya untuk bekerja. Dalam hal ini bila suami masih sanggup memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya secara ma’ruf (baik) sebaiknya isteri tetap fokus pada tugasnya sebagai ibu rumah tangga dan pengembang dakwah. Suami harus memberikan pemahaman bahawa tugas isteri melayani suami, mengandung, melahirkan, menyusui dan mendidik anak-anaknya merupakan tugas yang sangat berat, di samping kewajiban dakwah dia sebagai muslimah. Sehingga sebenarnya memberikan keizinan kepada isteri bekerja lebih pada pekerjaan yang sifatnya berkerjaya sama saja dengan menambahkan beban isteri dan hal itu akan menjadi malapetaka bagi rumah tangganya bila isteri tidak mampu mengatur pengurusan rumah tangga dan pekerjaannya. Muhammad Albar dalam Amal al-Mur’ah fi al-Mizan menyatakan dengan tidak bekerjanya isteri di luar rumah bukan bererti dia menjadi penganggur. Sebab bagaimana mungkin isteri menganggur sementara dia adalah ratu rumah tangga dan ibu keluarga yang dihadapannya sudah banyak pekerjaan rumah tangga yang harus diselesaikannya setiap hari, baik pagi, siang ataupun malam.

Di samping itu kerana kita masa kini hidup dalam masyarakat yang tidak Islami, dengan bekerja di pejabat sangat mungkin terjadi ikhtilat (campur baur) dan tidak jarang para muslimah harus berkhalwat (berdua-duaan) dengan seorang lelaki bukan muhrim. Maka sudah seharusnya isteri juga berfikir bijak, yakni bila dia bekerja sementara suaminya juga bekerja, dia akan kesulitan memberikan layanan yang maksima kepada suaminya. Di saat suaminya sudah pulang dari kerja, dia tidak menemui sambutan hangat isterinya di rumah, isterinya tidak lagi menjadi qurrata a’yun (penyejuk mata) tetapi yang dilihatnya hanya raut wajah kelelahan isterinya dengan tekanan beban pekerjaan. Tidak jarang suami pulang lebih awal dari kerjanya sementara isterinya baru tiba di rumah menjelang maghrib.

Sementara anak-anaknya kurang merasakan kehangatan dan kasih sayang ibunya. Anak-anak yang semestinya boleh bergurau-senda, bermain, berlindung, dan mendapatkan didikan dari ibunya tidak bertemu ibu di siang hari sementara pada malam harinya mereka sudah tertidur sedangkan sang ibu mengalami keletihan. Sehingga anak-anak merasa adanya ibu mereka seperti tiada. Sebenarnya tidak ada niat ibu untuk melalaikan mereka, hanya saja fikiran, tenaga, dan waktu si ibu lebih banyak tercurah pada kerjayanya.

Isteri harus memahami bahawa dia adalah madrasah bagi anak-anaknya yang tugasnya mencetak anak-anak soleh dan solehah yang cerdas dan kuat. Agar dari madrasahnya itu lahirlah generasi Islam yang teguh dan unggul yang kelak akan menggantikan posisi para ulama dan intelektual masakini.

Menurut Abdurrahman al-Maliki, isteri tidak diwajibkan bekerja tetapi dia wajib diberikan nafkah secara mutlak, baik dia mampu bekerja mahupun tidak (lihat As-Siyasatu al-Iqtishadiyatu al-Mutsla). Kerana itu keinginan istri untuk berkerjaya harus dipertimbangkan sematang2nya oleh kedua pihak baik dari segi syariat Islam mahupun dari sisi kemaslahatannya bagi keluarga dan dakwah. Sementara agar isteri dapat dengan tenang mengelola rumah tangganya, suami harus berusaha keras dalam bekerja dan cerdas membuka peluang tambahan rezeki supaya nafkah keluarga dapat dipenuhi secara ma’ruf. Dalam sebuah hadis yang disampaikan pada saat haji wada’ Rasulullah saw bersabda,
“Jagalah wanita kerana Allah, sebab mereka adalah teman bagimu. Kamu telah mengambil wanita dengan amanat Allah dan kemaluannya menjadi halal bagimu dengan kalimat Allah. … Adalah kewajibanmu untuk memberinya nafkah dan pakaian dengan cara yang ma’ruf”.

Pengaturan hakmilik

Menurut Husein Syahatah, Islam memberikan hak kepada wanita seperti hak kepemilikan, hak untuk usaha, dan hak waris, sehingga suami tidak boleh mengambil harta istrinya tanpa keredhaan dia. Dalam hal ini harta isteri adalah milik isteri, sedangkan dalam harta suami terdapat hak isteri dan anak-anaknya, yakni nafkah yang wajib dikeluarkan suami untuk memenuhi keperluan hidup keluarganya. Firman Allah,
“Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu”
(Surah al-Baqarah : Ayat 233).

Dengan demikian antara harta suami dan harta isteri harus dipisahkan, kecuali isteri merelakan sebahagian atau seluruh hartanya diberikan kepada suaminya untuk kepentingan keluarganya. Atas dasar itulah isteri berhak mengatur hartanya sendiri. Dia boleh mengeluarkan hibah dan berwasiat atas hartanya, juga wajib mengeluarkan zakat.

Dalam sebuah rumah tangga kadangkala seorang isteri kaya sementara suaminya fakir, sehingga memberi kepercayaan pendapatan dari pekerjaan suaminya saja menyebabkan keperluan hidup keluarga setakat sederhana atau serba kekurangan. Kerananya isteri berkewajiban membantu suaminya. Isteri dapat meringankan beban keluarga dengan jalan memberikan pinjaman kepada suaminya yang digunakan untuk memenuhi keperluan hidup suami, isteri dan anak-anaknya. Isteri juga dapat menjadikannya sebagai amal soleh dengan memberikan hartanya untuk menutupi kekurangan pendapatan suami. Harta yang diberikan isteri tersebut merupakan sedekah dia kepada suaminya meskipun pemanfaatan harta itu kembali kepada si isteri. Di samping itu, bila isteri sudah sampai nishab zakatnya, dia dapat mengeluarkan zakat kepada suaminya bila si suami termasuk golongan fakir.

PS: (Artikel asal ditulis dalam B. Indonesia & diolah kembali oleh saya dalam B. Melayu Piawai - Protoculture)
 
Last edited:
Membangun Ekonomi Rumah Tangga Islami Part 3

oleh: Hidayatullah Muttaqin

Nafkah dari harta yang halal

Seorang suami yang tugasnya mencari nafkah, dan mungkin seorang isteri bekerja untuk meringankan beban suami, harus mengetahui dulu apakah pekerjaan yang akan dia lakukan dibolehkan syara’ atau tidak. Sebab mengetahui hukum syara’ atas suatu perbuatan hukumnya wajib bagi setiap mukallaf, agar dia mengetahui status perbuatan tersebut, sehingga dia dapat mengambil keputusan syar’i apakah mengambil perbuatan itu ataukah meninggalkannya (lihat Muhammad Muhammad Ismail, Al-Fikru al-Islamiy). Tujuan mengetahui status hukum suatu pekerjaan dan perbuatan yang akan dilakukan selain untuk menghindari dosa, juga untuk menghindarkan suami memberi makan isteri dan anak-anaknya dari sumber nafkah yang haram.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Ahmad dari Ibnu Mas’ud, Rasulullah saw bersabda,
“Demi Zat yang diriku ada pada kekuasaan-Nya, tidaklah seorang hamba bekerja dari yang haram kemudian membelanjakannya itu mendapatkan berkah. Jika dia bersedekah maka sedekahnya tidak diterima. Tidaklah dia menyisihkan hasil pekerjaan haramnya itu kecuali akan menjadi bekal baginya di neraka. Sesungguhnya Allah tidak menghapus kejelekan itu dengan kejelekan, tetapi menghapus kejelekan itu dengan kebaikan sebab kejelekan tidak dapat dihapus dengan kejelekan pula.”

Rasulullah saw juga bersabda,
“Tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh dari hasil harta haram. Sebab, nerakalah yang lebih layak baginya”
(HR. Ahmad dari Jabir bin Abdullah).

Seorang isteri wajib mengingatkan suaminya agar tidak mencari nafkah pada pekerjaan yang dilarang Allah dan tidak mengambil harta orang lain dengan jalan yang batil. Ia sudah semestinya mengatakan kepada suaminya, “Takutlah kamu dari usaha yang haram sebab kami masih mampu bersabar di atas kelaparan, tetapi tidak mampu bersabar di atas api neraka”. Sehingga merupakan suatu perbuatan zalim bila suami memberi nafkah untuk isteri dan anak-anaknya dari harta haram. Mereka yang mungkin tidak mengetahui dari mana sebenarnya sumber nafkah yang diperoleh suami akan terkena getah perbuatan ketua keluarganya itu. Sebab dari dalam tubuh mereka telah tumbuh daging yang berasal dari harta haram. Naudzubillahi min dzalik. Semoga Allah melindungi tubuh kita dari harta haram, Allahumma amin.

Bila syariat telah melarang kita memberi makan keluarga dari sumber nafkah yang haram, maka sudah menjadi kewajiban suami agar hanya memberikan nafkah dari sumber yang halal, sehingga meskipun sedikit nafkah yang dapat diberikan suami tetapi mendapatkan barakah Allah, insya Allah. Allah SWT berfirman dalam QS. Al-Baqarah ayat 172, yang ertinya
“Hai orang-orang yang beriman, makanlah kalian dari sebaik-baik rezeki yang Aku berikan kepadamu, dan syukurlah kepada Allah, jika kalian benar-benar mengabdi (menyembah) kepada-Nya.”

Tentang ayat ini Ibnu Katsier berpendapat Allah menyuruh hamba-Nya supaya makan dari rezeki yang halal dan baik, kemudian bersyukur sebagai bukti penghambaannya kepada Allah. Kebaikan yang didapati hamba ini adalah diterimanya doa dan ibadah mereka oleh Allah. Sebaliknya, makanan yang haram menyebabkan tertolaknya doa dan ibadah (Lihat Terjemah Singkat Tafsir Ibnu Katsier).

Dalam sebuah hadis Abu Hurairah r.a. mengatakan bahwa Rasulullah saw bersabda,
“Hai semua manusia, sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak akan menerima kecuali yang baik, … Kemudian Nabi saw menceritakan seorang perantau yang selalu merantau sehingga berdebu badannya dan terurai rambutnya, selalu menengadahkan kedua tangannya ke langit sambil berdoa, ‘Ya Rabbi, ya Rabbi’. Sedang makannya, minumnya dan pakaiannya dari yang haram, bahkan sejak dahulu diberi makan yang haram maka bagaimana akan diterima padanya.
(HR. Ahmad, Muslim, at-Tirmidzi).

Menghindari sumber nafkah yang haram

An-Nabhani dalam An-Nizham al-Iqtishadi fi al-Islam menyebutkan perjudian, riba, al-ghabn (penipuan dalam harga), penipuan (tadlis) dalam jual beli, penimbunan (perbuatan menyorok barangan asas oleh pekedai), aktiviti menetapkan harga mati merupakan bentuk-bentuk usaha pengembangan kekayaan yang dilarang Allah.

Harta yang diperoleh dari pengembangan kekayaan tersebut hukumnya haram dimiliki. Di samping itu dosa melakukan pengembangan kekayaan tersebut sangat berat. Rasulullah saw bersabda,
“Untuk riba ada 99 pintu dosa, yang paling rendah (derajatnya), seperti seseorang yang menzinai ibunya”
(HR. Daruquthni)

dan Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda,
“Ketika malam mi’raj aku melihat suatu kaum perut mereka bagaikan rumah tampak di dalamnya ular-ular berjalan keluar, lalu aku bertanya, siapakah mereka itu Jibril? Jawab Jibril, ‘Mereka pemakan riba’”. Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda, “Bukan termasuk umatku, orang yang melakukan penipuan”
(HR. Ibnu Majjah dan Abu Dawud dari Abu Hurairah).

“Tidak akan melakukan penimbunan selain orang yang salah” (HR. Muslim).
Dari Ma’qal bin Yassar, Rasulullah saw bersabda,
“Siapa saja yang terlibat dalam sesuatu yang berupa harga bagi kaum Muslimin, agar dia bisa menaikkan harga tersebut kepada mereka, maka kewajiban Allah untuk mendudukkanmu dengan sebahagian besar (tempat duduknya) dari api neraka, kelak pada hari kiamat nanti”.

Seorang suami di samping harus menghindari usaha yang diharamkan Allah, juga harus mengelak pekerjaan yang dilarang Allah bila dia mencari nafkah dengan menjadi ajir (pegawai/buruh) pada orang lain atau pada suatu organisasi/perniagaan. Adapun boleh atau tidaknya suatu pekerjaan diambil bergantung pada ada tidaknya nas-nas syara’ yang melarangnya. Misalnya ada hadis yang berbunyi,
“Allah melaknat pemakan riba, yang memberi riba, saksi-saksinya, dan penulisnya”
(HR. Bukhari Muslim).

Kerana itu, suami atau isteri harus mengelak dari pekerjaan yang berkait rapat dengan aktiviti bank berunsur riba atau institusi kewangan berasas riba yang lain.

PS: (Artikel asal ditulis dalam B. Indonesia & diolah kembali oleh saya dalam B. Melayu Piawai - Protoculture)
 
Last edited:
Membangun Ekonomi Rumah Tangga Islami Part 4

oleh: Hidayatullah Muttaqin

Keutamaan Belanja Rumah Tangga

Dalam mengatur anggaran perbelanjaan rumah tangga sudah seharusnya kos belanja disesuaikan dengan pendapatan, jangan sampai lebih besar pasak daripada tiang. Untuk itu rumah tangga muslim harus boleh menempatkan keutamaan dalam perbelanjaan rumah tangganya. Sesuai dengan status hukum perbuatan, maka keutamaan anggaran belanja rumah tangga harus mengutamakan dan mendahulukan belanja yang wajib, kemudian baru belanja yang disunnahkan dan mubah. Sedangkan belanja yang diharamkan Allah (israf dan tadzbir) harus ditinggalkan.

Belanja yang harus dikeluarkan suami bagi rumah tangganya adalah memberi nafkah dirinya, isteri dan anak-anaknya. Allah SWT berfirman:

“Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu.”
(Surah al-Baqarah: Ayat 233)

“Berilah mereka belanja (makanan) dan pakaian (dari hasil harta itu).”
(Surah an-Nisa: Ayat 5)

“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal.”
(Surah ath-Thalaq: Ayat 6)

Rasulullah SAW bersabda:
“Dan kewajiban para suami terhadap para isteri adalah memberi mereka belanja (makanan) dan pakaian.”
(HR Ibnu Majah dan Muslim dari Jabir bin Abdillah)

“Dan hak para istri adalah agar kalian (para suami) berbuat baik kepada para isteri dengan memberi mereka pakaian dan makanan.”
(HR Ibnu Majah dari Amru bin Akhwash dari bapaknya)

Berdasarkan nas-nas tersebut, maka keutamaan perbelanjaan rumah tangga yang utama adalah kos belanja untuk menyediakan tempat tinggal, makanan dan pakaian yang layak. Menurut Abdurrahman al-Maliki, tiga jenis perbelanjaan rumah tangga berupa sandang, pangan dan papan tersebut merupakan nafkah yang wajib dipenuhi suami.

Bila nafkah pakaian, makan minum dan tempat tinggal dapat disediakan, nafkah lainnya yang harus dipenuhi adalah nafkah untuk pendidikan / pelajaran dan kesihatan untuk seluruh anggota keluarga. Kemudian suami juga wajib mengeluarkan zakat bila telah sampai nishabnya (lihat Surah at-Taubah: Ayat 103).

Keutamaan perbelanjaan selainnya adalah kos belanja yang disunnahkan, seperti nafkah untuk membantu kelancaran amanah dakwah yang dipikul suami, isteri, dan anak-anaknya, infaq untuk keperluan dakwah, sedekah untuk orang-orang fakir dan miskin, memberi makan anak yatim, dan sebagainya.

Perbelanjaan untuk memenuhi keperluan sampingan yang sifatnya mubah adalah keutamaan terakhir dalam anggaran belanja rumah tangga. Meskipun mubah pengeluaran ini jangan sampai melebihi batas kemampuan kewangan suami apatah lagi bila rumah tangganya tidak memerlukannya.

Menghindari Hutang

Dalam kehidupan ekonomi kapitalis, kenaikan harga barangan dan perkhimatan khususnya keperluan asas (bil air & elektrik, pendidikan, kesihatan, dan pengangkutani) cenderung untuk sentiasa naik. Hal ini membuatkan bebanan ekonomi rumah tangga menjadi bertambah berat dan menyebabkan kebanyakan rumah tangga mengalami perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan. Akibatnya hutang merupakan salah satu alternatif yang diambil untuk menutup defisit belanja rumah tangga. Sementara negara tidak dapat diberi kepercayaan sebagai alternatif kerana negara kita menguruskan ekonominya secara kapitalistik dan tidak menjamin memenuhi keperluan asas rakyatnya.

Alternatif berhutang dibolehkan agama selama bukan hutang berunsur ribawi. Hanya pilihan berhutang saja memberi kesan kepada rumah tangga dalam bentuk pemiikiran yang selalu dibebani hutang. Rasulullah SAW pun mengajarkan kepada kita untuk memohon perlindungan kepada Allah dari permasalahan hutang. Rasulullah berdo’a,
“Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kesusahan dan kesedihan, dan berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan, dan berlindung kepada-Mu dari kebakhilan dan sifat kedekut, dan berlindung kepada-Mu dari hutang yang bertimbun dan penindasan.” Hutang yang tidak dapat dilunaskan hingga akhir hayat dan tidak ada satu ahli waris pun atau pihak-pihak yang membantu untuk melunaskan hutang akan menjadi beban berat di akhirat. Rasulullah bersabda, “Demi yang jiwaku di tangan-Nya, seandainya seseorang mati syahid di jalan Allah lalu dihidupkan, lalu terbunuh dan dihidupkan lagi, lalu mati syahid dan ia masih punya hutang, maka ia tidak akan masuk syurga hingga dilunaskan hutangnya.”

Untuk mengelak dari hutang atau setidaknya mengurangkan hutang, usaha yang harus dilakukan rumah tangga berupa berbelanja secara berhemah dan suami harus berusaha meningkatkan lagi pendapatannya. Langkah penjimatan dilakukan dengan disiplin pada keutamaan dalam anggaran perbelanjaan, mengutamakan nafkah wajib yang sifatnya lebih mendesak.

Kesimpulan

Usaha untuk mewujudkan ekonomi rumah tangga Islami tidaklah cukup hanya dengan daya usaha individu semata2 di dalam rumah tangga, kerana banyak aspek yang berkaitan dengan kehidupan rumah tangga yang tidak dapat ditangani oleh individu kecuali negara. Untuk itu, sumber daya rumah tangga dicurahkan juga untuk kepentingan dakwah dalam memperbaiki negara dan masyarakat agar menjadi Islami.

PS: (Artikel asal ditulis dalam B. Indonesia & diolah kembali oleh saya dalam B. Melayu Piawai - Protoculture)

Sumber: http://mujahid1608.multiply.com
 
Back
Top
Log in Register