BTC USD 75,680.9 Gold USD 4,352.89
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Media Sosial: Pengesahan Umur Minimum 16 Tahun Guna MyKad Diwajibkan

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,153
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,153
Reaction score
346
Points
141

Media Sosial: Pengesahan Umur Minimum 16 Tahun Guna MyKad Diwajibkan​

f4ed87b3d51061444511f65f15b73e8d6a1eae4689c5e


Pemberi perkhidmatan media sosial berlesen kini diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad atau pasport bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun pada platform berkenaan.

Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini memaklumkan langkah itu dilaksanakan di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026.

"Pengesahan umur hendaklah dilaksanakan menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, sijil kelahiran atau dokumen lain yang diiktiraf. Bagi memastikan pematuhan, MCMC sedang memantau pelaksanaan CPC oleh Pemberi Perkhidmatan Berlesen.

“MCMC telah mengeluarkan notis bertulis di bawah subseksyen 30(2) Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) kepada penyedia perkhidmatan media sosial bagi mendapatkan penjelasan berhubung ketidakpatuhan dan langkah pelaksanaan mekanisme pengesahan umur," menurut kementerian itu.

Di bawah Akta 866, Pemberi Perkhidmatan Berlesen yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta serta denda tambahan RM100,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan.

Selain itu, MCMC juga boleh mengeluarkan Notis Ketidakpatuhan dan mengenakan penalti kewangan hingga RM10 juta mengikut peruntukan akta berkenaan.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai keberkesanan pelaksanaan Akta 866 dan CPC dalam melindungi kanak-kanak daripada buli siber, eksploitasi seksual, kandungan berbahaya dan ketagihan media sosial.

Mengenai penguatkuasaan terhadap penipuan dalam talian yang melibatkan iklan berbayar, akaun palsu, serta kandungan dan laman sesawang memudaratkan, sebanyak 292,102 permohonan penurunan kandungan penipuan (scam) dan akaun palsu telah dikemukakan MCMC bagi tempoh 1 Jan 2022 hingga 31 Julai 2026, dengan 279,875 daripadanya (96 peratus) telah diturunkan.

Menurut kementerian, bagi iklan, produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan, sebanyak 20,114 permohonan telah dikemukakan dan 17,285 kandungan (86 peratus) telah diturunkan.

 
Back
Top
Log in Register