kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,698
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,698
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Had Umur Media Sosial 16 Tahun Langkah Kritikal Lindung Remaja
Keperluan mengekang akses media sosial bebas bagi golongan bawah 16 tahun semakin kritikal apabila remaja di Malaysia kini terdedah kepada ancaman siber, terutamanya pengantunan seksual (sexual grooming) dan kandungan ganas.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Haryati Abdul Karim berkata pelaksanaan had umur minimum amat wajar bagi melindungi keselamatan dan perkembangan generasi muda di negara ini.
Beliau berkata kajian Communication for Development (C4D) UMS dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati kebanyakan kanak-kanak pada usia seawal 13 tahun sudah memiliki telefon pintar dan bebas mengakses media sosial menyebabkan ancaman itu sukar dibendung.
“Tanpa kawalan yang ketat, golongan remaja berisiko tinggi terdedah kepada pelbagai kandungan berbahaya termasuk elemen keganasan, pornografi, penipuan dalam talian serta penyebaran ideologi ekstrem seperti rasialisme dan Islamofobia,” katanya kepada Bernama.
Kajian C4D UMS-UNICEF juga mendapati golongan remaja di negara ini terdedah kepada sekurang-kurangnya enam jenis ancaman siber utama termasuk kandungan ganas yang boleh mempengaruhi tingkah laku serta risiko pengantunan seksual menerusi interaksi dalam talian.
Bermula 1 Jun, Malaysia menguatkuasakan syarat pengesahan umur bagi pendaftaran akaun media sosial menerusi pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi melindungi mereka di bawah 16 tahun.
Haryati berkata penetapan had umur 16 tahun dilihat sebagai batasan yang wajar memandangkan individu berusia 17 tahun dan ke atas lazimnya mempunyai tahap kematangan lebih baik untuk menilai serta menapis kandungan yang diterima.
Pendekatan penguatkuasaan itu juga, menurut beliau selari dengan tindakan perundangan oleh beberapa negara seperti Australia yang telah menggubal undang-undang melarang individu berusia bawah 16 tahun membuka akaun media sosial serta mengenakan penalti terhadap pelanggaran peraturan tersebut.
“Bagaimanapun pelaksanaan had umur serta instrumen perundangan semata-mata bukanlah penyelesaian mutlak memandangkan remaja masih berupaya memintas sekatan berkenaan menerusi teknologi seperti Rangkaian Maya Peribadi,” katanya.