BTC USD 75,698.5 Gold USD 4,346.65
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Manifesto BN PRU15, Pelan Amal dan Usaha (PADU)

TXT

CG Super Hardcore Club
gemgemgemgemgemgem
Messages
459,644
Paid Membership
Joined
Mar 15, 2010
Messages
459,644
Reaction score
38,260
Points
2,836
FB_IMG_1667806114347.jpg

Saksikan siaran langsung Pelancaran Manifesto Barisan Nasional hari ini pada pukul 9 malam.
 
PDF Manifesto BN PRU15

Manifesto BN: Teks penuh ucapan Pengerusi BN lancar PADU​

November 7, 2022 @ 10:32pm



Teks ucapan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sempena pelancaran manifesto, Pelan Amal dan Usaha (PADU) yang menjadi akujanji parti itu kepada rakyat Malaysia yang akan ditunaikan jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.


Rakyat Malaysia yang saya hormati,

1. Kurang dari dua minggu dari sekarang, kita akan memilih Kerajaan yang baharu.

2. Ini adalah saat yang sangat penting. Kerana Malaysia memerlukan permulaan yang baharu setelah empat tahun yang sangat tidak menentu.

3. Dan untuk bersama-sama memastikan permulaan baharu ini berlaku dengan selayaknya, kita semua memikul tugas dan tanggungjawab yang sama.

4. Kita mesti memilih parti yang boleh membentuk kerajaan yang bertanggungjawab, yang pragmatik dan yang mempunyai rencana yang jelas untuk Malaysia.

5. Atas kesedaran bahawa sesebuah parti yang berhasrat menjadi kerajaan, perlu mempunyai agenda dan pelan yang konkrit untuk negara, maka Barisan Nasional tampil menawarkan kestabilan dan kemakmuran yang Malaysia perlukan.

6. Sebelum menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada para pengundi untuk memilih yang terbaik, BN sedar bahawa kami mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menawarkan yang terbaik kepada negara.

7. Dan ini kami lakukan melalui dua strategi penting.

8. Pertama, kami akan mewujudkan kestabilan politik dengan membentuk sebuah Kerajaan yang kuat.

9. Kerajaan yang berupaya mengakhiri segala politik jelik dan pelik, lompat melompat, ugut-mengugut dan tekan-menekan. Kerajaan yang akan menoktah segala sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan dalam politik dan kerajaan.

10. Kedua, kami akan menguruskan Malaysia agar menjadi sejahtera dan makmur.

11. Percaya ini akan dicapai dengan melaksanakan pelbagai pelan dan perancangan yang bersifat prorakyat, propembaharuan, prokemajuan dan mengutamakan keterangkuman.

12. Justeru, malam ini, saya dengan sukacitanya menampilkan Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia yang tercinta atau ringkasnya, PADU.

Rakyat Malaysia yang saya hormati,

13. PADU adalah tawaran baharu yang segar atau ' a new and fresh deal' daripada BN kepada rakyat Malaysia.

14. Di dalam PADU ini terdapat 99 Amal dan Usaha BN yang akan menjadi panduan kami dalam mengemudi tanah air kita menjadi negara berkemajuan.



Penyokong BN menyaksikan ucapan Ahmad Zahid yang berucap melancarkan Manifesto Barisan Nasional PRU15 secara dalam talian menerusi laman Facebook Barisan Nasional di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional Parit Lima, Sungai Sumun, Bagan Datuk. - Foto NSTP/Aizuddin Saad


Penyokong BN menyaksikan ucapan Ahmad Zahid yang berucap melancarkan Manifesto Barisan Nasional PRU15 secara dalam talian menerusi laman Facebook Barisan Nasional di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional Parit Lima, Sungai Sumun, Bagan Datuk. - Foto NSTP/Aizuddin Saad


15. PADU bukan janji-janji manis dan indah. PADU bukan tentang segala-galanya percuma. PADU bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi.

16. Tetapi, PADU adalah pelan yang serius dan rasional. Pelan yang mempunyai sasaran yang jelas. Dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua, Insya-Allah.

17. Saya ingin memfokuskan kepada lima (5) idea besar yang mendasari tawaran utama di bawah PADU.

18. Pertama, PADU adalah penyelesaian nasional yang komprehensif bagi menjawab pelbagai isu paling mendesak seperti kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi.

19. Untuk itu, PADU akan melakukan satu revolusi besar-besaran dalam sistem pengagihan bantuan di seluruh negara dengan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas atau"Assistive Basic Income."

20. Melalui skim ini, kerajaan akan mengkreditkan atau memasukkan secara automatik kepada semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2208.

21. Ia adalah satu 'top up' atau tambahan pendapatan bulanan bagi memastikan semua isi rumah di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya RM2208 sebulan.

22. Skim ini akan hadir sebagai jalan paling adil, munasabah dan strategik. Bukan sahaja bagi menangani kos sara hidup yang sangat membebankan. Namun bagi memastikan tiada lagi isi rumah yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan. Atau dalam erti kata lain, selepas ini, insiden kemiskinan mutlak hanya akan tinggal sejarah di Malaysia.

23. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan dalam kelompok M40 dan termasuk dalam kumpulan pembayar cukai antara RM50 ribu hingga RM100 ribu pula, kita akan memberi 2% potongan cukai pendapatan. Ini sudah pasti akan membolehkan kuasa beli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan mereka.

24. Selain dua tawaran utama yang bersifat secara langsung ini, PADU turut memuatkan beberapa lagi inisiatif yang akan secara tidak langsung membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup.

25. Kedua, PADU adalah tentang tekad dan nekad BN untuk melakukan beberapa pembaharuan yang radikal dan bersifat struktural dalam negara kita.

26. BN akan membawa perubahan-perubahan besar yang akan mengubah kehidupan dan keseluruhan cara kita menguruskan masyarakat. Ini akan dilaksanakan dengan masukkan perkara yang paling diperlukan negara dan paling bertanggungjawab untuk dilakukan.

27. Apakah perkara-perkara tersebut?

28. Pertama, menyedia dan memperkasa pendidikan awal yang terbaik melalui sistem asuhan dan pendidikan awal nasional percuma untuk semua kanak-kanak berusia enam (6) tahun dan ke bawah.

29. Ini bermakna, selain sistem sekolah rendah dan sekolah menengah, selepas ini Malaysia akan turut mempunyai sistem pendidikan awal dan asuhan percuma di seluruh negara.

30. Ia tidak lagi bersifat serpihan-serpihan atau bergantung kepada budi bicara atau tahap kemampuan ibu bapa. Sebaliknya, ia akan diwujudkan sebagai sebuah sistem universal yang tersedia untuk semua di seluruh negara.



Jentera BN PDM Bandar Puncak Alam menyaksikan siaran langsung pelancaran Manifesto BN oleh Ahmad Zahid yang disiarkan menerusi Facebook di Bandar Puncak Alam. - NSTP/Asyraf Hamzah
Jentera BN PDM Bandar Puncak Alam menyaksikan siaran langsung pelancaran Manifesto BN oleh Ahmad Zahid yang disiarkan menerusi Facebook di Bandar Puncak Alam. - NSTP/Asyraf Hamzah


31. Perubahan sistem yang radikal ini bukan sahaja akan mengurangkan sebahagian besar kos penjagaan dan pendidikan kanak-kanak di seluruh negara, tetapi menjadi bukti komitmen dan pelaburan besar negara dalam memastikan asuhan dan pendidikan awal dilakukan dengan cara terbaik.

32. Semoga perubahan radikal ini akan menjadi titik mula dalam ikhtiar kita untuk membangun keupayaan kognitif anak-anak kita agar mereka membesar menjadi generasi yang kuat, cerdas dan berkemahiran.

33. Kedua, di peringkat sekolah pula, agenda pendigitalan pendidikan akan dilakukan secara besar-besaran. BN akan memperkenalkan Sistem Persekolahan Tanpa Buku Teks yang akan menyaksikan pembelajaran berlangsung menggunakan laptop atau komputer riba. Untuk itu, 2 inisiatif besar BN untuk perkara ini adalah memberi komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 dan memastikan 100% liputan Internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.

34. Perkara ini akan membantu menyelesaikan isu-isu seperti beg sekolah yang berat serta membolehkan kemas kini sukatan pelajaran dilakukan dengan lebih pantas dan mudah.

35. Pada peringkat pengajian tinggi pula, Barisan Nasional akan memberikan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak dalam kalangan B40. Ini adalah sebahagian usaha serius kita untuk membasmi kemiskinan secara strategik, adil dan bersifat jangka panjang.

36. Selain pengajian tinggi tanpa yuran kepada semua individu dari kelompok B40, universiti awam atau Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara akan menawarkan sistem pengajian anjal. Iaitu 50% pengajian di kampus, dan 50% lagi secara dalam talian atau jarak jauh, yang akan sekali gus mengurangkan sehingga separuh kos pengajian.

37. Malah, selepas ini, bagi menghapuskan eksploitasi, semua mahasiswa atau sesiapa sahaja yang melakukan latihan amali atau internship akan diwajibkan bayaran elaun oleh majikan.

38. Perkara-perkara ini kita usahakan kerana kita sedar, pendidikan bukan sahaja pertahanan terbaik atau our best defence, malah senjata ampuh atau our best weapon dalam memerangi kekurangan serta kesenjangan hidup.

39. Seterusnya, memandangkan Malaysia sedang bergerak menjadi sebuah negara tua (aged nation), perubahan radikal ketiga yang akan dilakukan adalah mewujudkan ekosistem perlindungan dan penjagaan warga emas yang lebih baik.

40. Ini termasuklah penggubalan Akta Penjagaan Warga Emas dan memantapkan fungsi dan keupayaan pertubuhan bukan kerajaan atau NGO yang mengendalikan pusat penjagaan warga emas dan OKU dengan peruntukan RM105 juta untuk lima (5) tahun.

41. Semua ini adalah pembaharuan struktural yang kita perlukan untuk melonjak Malaysia menjadi negara yang meletakkan kesejahteraan dan keadilan sosial pelbagai kumpulan masyarakat pada tahap terbaik dan selayaknya.

Warga Malaysia yang saya hormati,

42. Perkara ketiga yang PADU akan tampilkan ialah keterangkuman dan pengiktirafan kerencaman.

43. BN tidak mahu sesiapa pun tertinggal, tercicir dan terpisah. Kita sedar, dalam fabrik sosial masyarakat Malaysia yang kaya dengan latar belakangnya, mengiktiraf dan menghargai kepelbagaian adalah satu-satunya jalan mengekalkan keharmonian dan nilai muhibah antara kita.

44. BN percaya dan yakin bahawa formula untuk Malaysia yang stabil dan sejahtera ialah pembangunan yang terangkum.

45. Untuk itu BN akan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai medan menyubur keharmonian dan menyemai nilai menghargai satu sama lain.

46. Selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang kini diajar di semua sekolah, di bawah BN nanti, semua sekolah akan turut mengajar bahasa-bahasa komunikasi asas yang lain seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Dusun dan bahasa-bahasa etnik yang lain.

47. Ia bukan sahaja akan menjadikan pembelajaran sesi yang menyeronokkan, malah sekolah akan menjadi tempat semua pelajar bersahabat dan membesar sebagai rakyat yang bersatu-padu.

48. BN akan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan untuk pendidikan semua. Malah BN akan menjadikan sekolah sebagai tempat kita memupuk minda terbaik melalui pengajaran kemahiran baharu seperti pengekodan atau coding dankreativiti.

49. Yang pasti, sekolah akan dijadikan medan paling ampuh untuk memupuk kesedaran kemajmukan dan perpaduan.

50. Di peringkat swasta pula, kita ingin memastikan para majikan mengambil pekerja daripada pelbagai bangsa, gender dan latar belakang dengan menawarkan insentif cukai kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kemajmukan pada peringkat pengurusan.

51. Selain itu, kita mahu isu gangguan seksual, ketidaksaksamaan gaji, imbuhan dan layan kerana perbezaan gender dihapuskan sama sekali dengan meneliti kesesuaian penubuhan Tribunal Kesaksamaan Gender dan menubuhkan Tribunal Anti Gangguan Seksual.

52. Pada masa yang sama, atas nama keterangkuman juga, kita tidak lagi mahu, anak-anak yang dilahirkan melalui perkahwinan campur, atau mereka yang berbeza identiti bangsa dan agama dinafikan hak untuk menjadikan Malaysia tanahair tercinta.

53. Oleh itu, saya tegaskan di sini bahawa BN bersedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

54. Ini kita lakukan atas kesedaran bahawa patriotisme dan nilai sayangkan negara itu hadir dari kerencaman dan keterangkuman.

Saudara dan saudari sekalian,

55. Perkara keempat, PADU adalah satu penggandaan usaha untuk kita meletakkan asas-asas penting untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua.

56. Proses pembinaan negara yang berjaya dan masyarakat yang sejahtera adalah tugas dan tanggungjawab yang mengambil masa.

57. Sesetengah kudrat dan keringat yang kita tumpahkan, hanya akan menampakkan hasil sedekad dari sekarang. Atau pada satu tempoh yang lebih lama. Atau mungkin pada suatu ketika yang tidak sempat pun untuk kita sendiri saksikan hasilnya.

Ahli BN menonton siaran langsung pelancaran Manifesto BN pada PRU15 oleh Ahmad Zahid di pejabat UMNO Bahagian Kota Kinabalu. - NSTP/Mohd Adam Arinin


Ahli BN menonton siaran langsung pelancaran Manifesto BN pada PRU15 oleh Ahmad Zahid di pejabat UMNO Bahagian Kota Kinabalu. - NSTP/Mohd Adam Arinin


58. Akan tetapi, itu tidak bermakna kita tidak harus berusaha dari sekarang. Masa depan yang baik untuk semua harus dimulakan dari sekarang.

59. Untuk itu, BN nekad memastikan amalan politik di negara ini dihidupkan hanya dengan cara yang bertanggungjawab dan telus melalui penggubalan Akta Pendanaan Politik.

60. Pada masa yang sama, pelantikan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi SPR akan melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen.

61. Melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terlibat dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini.

62. Masa depan Malaysia juga mesti lestari dan selamat. Untuk itu kita akan menghapuskan semua permit import atau AP untuk semua jenis kereta elektrik bagi memastikan akses yang lebih luas kepada kereta mesra alam mampu milik.

63. Dan kita juga akan berusaha menambah litupan kawasan berhutan negara kepada 60 peratus keluasan dengan kerjasama kerajaan negeri.

Warga Malaysia yang saya hormati,

64. Perkara kelima dan terakhir yang ingin saya tegaskan adalah, kejayaan 99 perkara dalam PADU ini bergantung kepada bagaimana BN mengamal dan mengusahakan dengan berstrategi.

65. Ini bermakna, perancangan yang baik mesti disusuli dengan amalan yang berstrategi, baik dan usaha yang gigih.

66. Bagi melaksanakannya, BN bukan sekadar harus menjadi kerajaan yang kuat dan stabil. Akan tetapi kerajaan dengan pasukan terbaik.

67. Bersandarkan kesedaran ini, Insya-Allah PADU akan didukung dan diusahakan dengan mengumpul bakat-bakat terbaik dalam kalangan calon yang terpilih.

68. BN akan membentuk pasukan yang mempunyai ilmu, pengalaman dan berwibawa yang diperlukan dalam menjadikan PADU satu realiti.

69. Pasukan yang jiwa dan raga mereka, didedikasikan kepada rakyat dan negara tercinta. Pasukan yang bersedia memberikan yang terbaik demi menterjemahkan PADU.

70. Namun, BN tidak boleh berseorangan dalam ikhtiar besar ini. Kami memerlukan sokongan dan penglibatan semua. Sesungguhnya 99 Amal dan Usaha yang kami nukilkan dalam PADU ini adalah sesuatu yang kami rasakan terbaik untuk negara dan masyarakat kita.

71. Justeru, saya pulangkan semuanya kepada pertimbangan baik saudara dan saudari yang mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan negara.

72. Saya jemput semua untuk meneliti pelan amal dan usaha kami. Lihatkan dengan berlapang dada bagaimana semua itu akan mengubah negara dan masa depan kita.

73. Saya akui, ini bukan pelan yang sempurna. Tapi saya dan seluruh pasukan BN percaya, ia mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri.

74. Dengan rendah hati, saya menyeru sokongan dan doa daripada semua. Semoga apa yang kita lakukan bersama ini membuahkan hanya yang terbaik untuk tanah air, Insya-Allah.

75. Undilah kestabilan. Undilah Kemakmuran. Undilah Barisan Nasional.

76. Terima kasih.



Berita Harian

BN tawar lima fokus utama dengan 99 tawaran​

MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN & NILAM NUR ATIKAH OSHMAN
07 NOV 2022
A⁻A⁺

1974266.jpg


Ahmad Zahid dalam Majlis Pelancaran Manifesto BN pada Isnin.


SHAH ALAM – Kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang stabil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pendidikan, adalah antara keutamaan manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto yang dinamakan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) menggariskan lima fokus utama dan 99 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat terutamanya kumpulan B40 dan M40 selain tidak melupakan golongan T20.

Katanya, fokus pertama yang diutamakan oleh BN adalah menghapuskan kemiskinan mutlak melalui Skim Bantuan Pendapatan Asas yang dikreditkan secara automatik setiap bulan kepada semua isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan.

“BN juga menjanjikan potongan cukai pendapatan sebanyak 2 peratus khusus kepada golongan M40, dengan julat pendapatan RM50,000 hingga RM100,000 setahun.
“Skim ini jalan paling adil. Tiada lagi isi rumah yang hidup di bawah garis kemiskinan,” katanya pada majlis pelancaran Manifesto BN malam ini.

Kata Ahmad Zahid lagi, antara perkara diletakkan dalam manifesto ini adalah penekanan pemodenan pendidikan awal, sekolah dan pengajian tinggi.

Usaha ini dilihat sangat penting bagi memastikan kumpulan sasaran mendapat impak yang maksima selari dengan kehendak dan cabaran semasa, dipacu teknologi terkini, berkualiti dan menyeronokkan.

“Sehubungan itu, berita baik buat ibu bapa yang mempunyai anak berusia enam tahun ke bawah kerana BN akan memperkenalkan asuhan nasional percuma untuk semua kanak-kanak dalam lingkungan usia tersebut.

“Selain itu, BN ingin memperkenalkan kemahiran abad ke-21 demi memperkasakan bahasa pengaturcara (coding), pemikiran kreatif serta pembelajaran bahasa komunikasi asas etnik lain di semua sekolah,” katanya.

Katanya lagi, BN juga berjanji akan melaksanakan pendigitalan secara besar-besaran apabila sistem persekolahan tanpa buku teks dan komputer riba percuma kepada golongan B40.

“Jaringan Internet 5G akan diperkenalkan di semua sekolah dalam tempoh 18 bulan,” katanya.

Kata Ahmad Zahid lagi, sebagai pelan penamat kemiskinan jangka panjang, pengajian tinggi percuma akan diperkenalkan kepada semua individu dari keluarga B40.

Kos pengajian tinggi juga akan dikurangkan sehingga separuh kos pengajian melalui sistem pengajian anjal dimana 50 peratus di kampus dan 50 peratus atas talian.

“Malah, selepas ini, bagi menghapuskan eksploitasi, semua mahasiswa atau sesiapa sahaja yang melakukan latihan amali akan diwajibkan bayaran elaun oleh majikan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pelantikan jawatan utama negara, Ahmad Zahid berkata BN akan menggubal Akta Pendanaan Politik.

“Pelantikan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen.

“Melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terlibat dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini,” katanya.

Katanya lagi, bagi menyelesaikan isu warganegara yang dihadapi oleh anak-anak yang lahir melalui perkahwinan campur atau ibu bapa berlainan negara, BN bersedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

“BN bersedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

“Ini kita lakukan atas kesedaran bahawa patriotisme dan nilai sayangkan negara itu hadir dari kerencaman dan keterangkuman,” katanya.


parlimen_bangunan3_1667828120.jpg





KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) menetapkan komitmen supaya pelantikan jawatan utama seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terbabit dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini.

"BN juga nekad memastikan amalan politik di negara ini dihidupkan hanya dengan cara yang bertanggungjawab dan telus melalui penggubalan Akta Pendanaan Politik," katanya ketika membentangkan Manifesto BN secara maya malam ini.
 
sprm dan spr sepatutnya berasingan dari campurtangan parlimen
kalau ikut manifesto BN ni, bagaimana tapisan dibuat dlm perlantikan KP SPRM dan SPR
 
sprm dan spr sepatutnya berasingan dari campurtangan parlimen
kalau ikut manifesto BN ni, bagaimana tapisan dibuat dlm perlantikan KP SPRM dan SPR
Di bawah Parlimen lagi better dari sebelum ini, di bawah JPM.

Kalau manifesto BN sy x tgk lagi, tp dlm Kita Boleh PH puna ada mention lantikan di bawah j/k yg dianggotaoi oleh ahli parlimen pelbagai parti.
 
tp depa xsebut AG dgn Ketua Hakim..elok lg KPN pun sama..ada berani kah?
 
Back
Top
Log in Register