BTC USD 76,474.1 Gold USD 4,297.49
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Manifesto BN PRU15, Pelan Amal dan Usaha (PADU)

PRU15: PADU bawa revolusi pendidikan negara​

oleh NOR AZURA MD AMIN
08 November 2022 09:05pm
Masa membaca: 2 minit

1975445.jpg


Mohamed Khalid


JOHOR BAHRU - Pelan Amal dan Usaha (PADU) oleh Barisan Nasional (BN) disifatkan mampu membawa perubahan dalam revolusi pendidikan di negara ini bermula di peringkat awal, persekolahan dan universiti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, di peringkat awal, PADU menawarkan program asuhan dan pendidikan nasional percuma kepada semua kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah bagi membantu ibu bapa atau pasangan muda.


Calon BN kerusi Parlimen Kota Tinggi itu berkata, perubahan radikal akan berlaku di peringkat sekolah, apabila BN melalui PADU menawarkan sistem persekolahan tanpa buku teks.

"Saya akui, untuk menjayakan perkara ini bukan mudah. Setahun dua, pasti banyak kelemahan dan kekurangan. Malah, kita boleh menjangkakan, proses mengagihkan laptop kepada semua pelajar B40 yang memerlukan kelak akan mengambil masa.

"Malah, untuk menjayakan inisiatif ini, komitmen BN untuk memastikan semua sekolah menerima 100 peratus liputan 5G dalam masa 18 bulan mesti disempurnakan tanpa kompromi," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya pada Selasa.

Menurutnya, pada masa yang sama, pelajar-pelajar sekolah juga akan mula didedahkan dengan asas komunikasi menggunakan bahasa-bahasa yang ada di Malaysia.

"Anak-anak Malaysia, dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang akan boleh bertutur dan memahami secara asas Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil dan bahasa-bahasa etnik besar yang lain.

"Semua ini bukan sahaja akan menjadikan pelapis masa depan kita sebagai generasi ‘polyglot’, yakni mereka yang fasih bertutur banyak bahasa, malah mampu merapatkan hubungan antara kaum yang menjadi tiang seri masyarakat majmuk seperti Malaysia," ujarnya.

Sementara di peringkat universiti pula, jelasnya, semua anak-anak siswa dari keluarga B40 akan mendapat pendidikan percuma sekali gus menjadi generasi penamat kemiskinan yang bakal mengubah nasib dan takdir hidup melalui ilmu dengan segulung ijazah.

"Berbeza dengan pendirian PH khususnya MUDA yang mahu mahasiswa keluar dari universiti secepat mungkin (sehingga menentang pembelajaran subjek agama / kenegaraan kerana dianggap tidak penting dan membuang masa), BN sebaliknya akan mempromosikan pengambilan tahun senggang (gap year) oleh para pelajar universiti.

"Tahun senggang ini boleh digunakan untuk memenuhi minat dan keperluan peribadi serta dimanfaatkan untuk berbakti kepada masyarakat.

"Kita mahu pengalaman di menara gading menjadi sesuatu yang bermakna dan mendewasakan mereka. Universiti tidak lagi menjadi kilang melahirkan robot yang mahu disumbat ke alam pekerjaan tanpa kematangan pemikiran dan kekayaan pengalaman hidup," katanya.

Pada Isnin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan PADU yang mengandungi 99 amal dan usaha sebagai tawaran baharu kepada rakyat untuk mengemudi negara ke arah kemajuan, jika berjaya menawan Putrajaya.

 

Isu pendidikan jaminan berharga ditawar BN: Reezal​

08 November 2022 09:57pm
Masa membaca: 2 minit

1975636.jpg


Reezal Merican ketika hadir pada Majlis Pelancaran Jentera BN Kepala Batas pada Ahad lalu. - Foto Bernama


GEORGE TOWN - Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencakupi semua dan bersifat inklusif dalam membantu rakyat Malaysia, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, manifesto BN agak praktikal dan banyak berkaitan soal pendidikan untuk membantu golongan B40 dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi.

"Saya amat suka bila ia (manifesto) menyentuh soal pendidikan terutama prasekolah dan pendidikan B40.

"Ini adalah satu jaminan yang saya anggap amat berharga ditawarkan oleh BN, antaranya untuk memberi pendidikan percuma kepada anak-anak B40 yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi," katanya kepada pemberita selepas melakukan ziarah kasih di sini pada Selasa.

Sementara itu, Reezal Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata, beliau akan mengumumkan manifesto Ikrar Demi Kepala Batas pada Jumaat ini, yang merangkumi dasar-dasar keperluan rakyat dan keseluruhan ekosistem kawasan itu.

Beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas atas tiket BN-UMNO itu, berdepan saingan empat penjuru iaitu Muhammad Danial Abdul Majeed (Pakatan Harapan-Muda), Dr Siti Mastura Mohamad (Perikatan Nasional-Pas) dan Hamidi Abu Hassan (Gabungan Tanah Air-Pejuang).

Pada Isnin, BN menampilkan manifesto dinamakan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang menggariskan 10 teras dan 99 tawaran untuk rakyat Malaysia sekiranya diberikan mandat membentuk kerajaan Persekutuan, dan empat daripada teras itu memfokus kepada isu pendidikan. - Bernama

 

Manifesto BN ambil kira kepentingan semua lapisan rakyat​

08 November 2022 11:08pm
Masa membaca: 1 minit

1975725.jpg


Tengku Zafrul yakin menerusi tawaran PADU, rakyat boleh menilai sendiri betapa BN telah mendengar dan hayati keluhan mereka. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, manifesto Barisan Nasional (BN), ‘Perancangan Amal dan Usaha’ atau PADU, yang dilancarkan semalam telah mengambil kira kepentingan semua lapisan rakyat.

Justeru beliau yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yakin menerusi manifesto itu, rakyat boleh menilai sendiri betapa BN telah mendengar dan hayati keluhan mereka.

"Kepentingan semua lapisan rakyat telah diambil kira dalam manifesto BN ini. Pendekatan kita (BN) menyeluruh dan holistik,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada Selasa.

Tengku Zafrul berkata, antara cadangan penyelesaian masalah untuk B40 yang terkandung dalam PADU ialah Skim Bantuan Pendapatan Asas untuk isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan.

Beliau berkata, tawaran PADU bagi M40 pula, potongan cukai pendapatan sebanyak dua peratus khusus kepada kelompok itu dengan julat pendapatan RM50,000 hingga RM100,000 setahun.

Tengku Zafrul berkata, turut terangkum dalam manifesto ialah inisiatif untuk memperkasakan pendidikan, memperkasa golongan pekerja dan memulihara alam sekitar.

Beliau berkata, sesiapa pun boleh berjanji, yang susah ialah pelaksanaan namun BN sudah ada rekod prestasi mantap dalam penyaluran bantuan dan sokongan, terutamanya dalam setahun kebelakangan ini.

"Insya-ALLAH kita (BN) buat yang terbaik untuk rakyat,” katanya. - Bernama



 
Back
Top
Log in Register