combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Mangsa Kes Sungai Kim Kim Menang Kes Saman Terhadap Syarikat Dan Tiga Lagi
Selepas tujuh tahun, sebanyak 171 mangsa pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, menang kes saman mereka terhadap sebuah syarikat dan tiga yang lain yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini
Pesuruhjaya Kehakiman Manira Mat Nor memutuskan sebuah syarikat, seorang pemandu lori dan dua pengarah syarikat bertanggungjawab secara bersama dan berasingan dalam kejadian pencemaran toksik Sungai Kim Kim pada 2019.
Empat defendan itu ialah P Tech Resources Sdn Bhd (syarikat yang mengendalikan loji pirolisis tayar di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat); N. Maridass (pemandu lori tangki yang mengangkut dan melepaskan sisa buangan ke dalam Sungai Kim Kim), dan dua pengarah syarikat itu Yap Yok Liang serta Wang Jing Chao.
Dalam penghakimannya, Manira berkata daripada aspek kacau ganggu awam, mahkamah mengambil kira skala insiden yang menjejaskan lebih 6,000 penduduk, dengan 2,775 mangsa menerima rawatan di hospital dan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup, antaranya mengalami sesak nafas, loya, muntah, pening, kekejangan otot dan pengsan.
“Gelombang pertama pada 7 Mac memberikan impak klinikal akut terhadap institusi pendidikan berhampiran. Gelombang kedua pada 12 Mac 2019 dan gelombang ketiga pada 13 Mac 2019, menyaksikan lonjakan mangsa yang memerlukan rawatan kecemasan sehingga Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan arahan penutupan sekolah-sekolah di Pasir Gudang.
“Kronologi insiden fizikal, mekanisme tindak balas kimia dan impak penyebaran gas toksik dianalisis secara tuntas di bawah analisis dan dapatan mahkamah bersama nota rekod dan keterangan saksi,” katanya.
Mahkamah memerintahkan keempat-empat defendan membayar kos berjumlah RM100,000 kepada semua 171 plaintif yang merupakan jumlah pukal bagi peringkat liabiliti, yang merangkumi kedua-dua kes yang didengar bersama, iaitu saman melibatkan 42 plaintif berkaitan kecederaan diri dan satu lagi tindakan oleh 129 nelayan yang menuntut kerugian akibat kemerosotan hasil tangkapan.
Prosiding taksiran jumlah ganti rugi bagi semua plaintif akan ditetapkan kemudian.
Sementara itu, bagi kes saman 42 plaintif, mahkamah menolak tuntutan mereka terhadap defendan pertama hingga kelapan yang terdiri daripada agensi kerajaan, pegawai awam serta pihak berkuasa awam dan memerintahkan mereka membayar kos RM10,000 kepada setiap defendan terbabit, menjadikan jumlah keseluruhan RM80,000.