combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Malaysia, Uzbekistan Akan Perkukuh Kerjasama Dalam Sektor Pertanian - KPKM
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu
Malaysia dan Uzbekistan bersetuju memperkukuh kerjasama perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) dalam sektor pertanian sebagai langkah menterjemahkan hubungan strategik kedua-dua negara kepada hasil ekonomi yang lebih nyata.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan perkara itu dipersetujui semasa pertemuan dua hala antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pertanian Uzbekistan Ibrokhim Abdurakhmonov sempena lawatan kerja rasmi beliau ke Tashkent.
KPKM memaklumkan kedua-dua pihak berpandangan bahawa penglibatan aktif syarikat serta pemain industri pertanian dari kedua-dua negara penting bagi melengkapkan hubungan kerajaan-kepada-kerajaan (G2G) yang sedia terjalin, khususnya dalam meneroka peluang perdagangan dan pelaburan baharu.
"Kedua-dua negara bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa bagi meneliti peluang pelaburan dan perdagangan dalam sektor pertanian," demikian menurut kenyataan.
KPKM memaklumkan Malaysia dan Uzbekistan turut bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian dan agromakanan dengan memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), pertanian pintar, akuakultur serta pelaburan bagi meningkatkan keterjaminan makanan kedua-dua negara.
Menurut kenyataan itu, antara bidang utama dikenal pasti ialah kerjasama dalam AI, pertanian digital, pengurusan air mampan dan teknologi pintar sebagai pemacu pembangunan pertanian masa hadapan.
KPKM memaklumkan dalam sektor akuakultur dan perikanan, kedua-dua pihak mengenal pasti potensi besar untuk memperluaskan kerjasama teknikal, pelaburan dan pemindahan teknologi.
"Malaysia yang mempunyai kekuatan dalam bidang akuakultur, pengeluaran makanan laut serta sistem kawalan kualiti termasuk industri udang bersedia untuk berkongsi kepakaran dan amalan terbaik dengan Uzbekistan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, KPKM memaklumkan Malaysia turut berkongsi pengalaman dalam penggunaan teknologi biofloc yang berjaya meningkatkan produktiviti akuakultur di kawasan terhad, sekali gus menawarkan penyelesaian berpotensi untuk menyokong pembangunan industri perikanan Uzbekistan.