Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,774
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,774
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Malaysia-Singapura Perkasa Diplomasi Kesihatan, Fokus Tangani NCD Dan Pelancongan Perubatan
Kredit: Fb Dr Dzulkefly Ahmad
Hubungan strategik kesihatan antara Malaysia dan Singapura terus diperkukuh dalam usaha menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), menyelaras polisi pelabelan makanan (Nutri-Grade) dan potensi peluasan pelancongan perubatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu dilaksanakan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai semasa pertemuan bersama rakan sejawatnya Ong Ye Kung, yang mencerminkan kepercayaan dan komitmen tinggi kedua-dua pihak demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata antara agenda yang diperhalusi dalam pertemuan itu ialah penyelarasan polisi Nutri-Grade sebagai langkah proaktif dan bersepadu memerangi NCD di rantau ini.
“Kesepakatan ini mencerminkan tingkat kepercayaan serta komitmen tinggi demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dzulkefly berkata Malaysia turut menyambut baik pelaksanaan Program Persandaran Kawal Selia Peranti Perubatan yang dijangka mempercepat akses teknologi perubatan berkualiti tinggi serta inovatif ke dalam pasaran serantau.
Beliau berkata kedua-dua negara turut meneroka potensi memperluas pelancongan kesihatan merentas sempadan termasuk memudah cara rujukan pesakit dari Singapura ke fasiliti kesihatan swasta di Johor selain memperluas perlindungan insurans Medisave.
Langkah berkenaan, katanya bukan sahaja memperkukuh akses rawatan kesihatan, malah dijangka merangsang limpahan ekonomi serta memperluas kesalinghubungan kesihatan demi manfaat rakyat di wilayah selatan tanah air.
Dzulkefly berkata dalam mendepani cabaran kesihatan awam semakin kompleks, kerjasama Malaysia-Singapura menjadi wahana penting dalam membina sistem kesihatan serantau yang lebih mampan, berdaya tahan dan berteraskan kemanusiaan.
“Malaysia kekal komited mendukung diplomasi kesihatan dan kerjasama serantau yang berpaksi pada sikap saling hormat serta kemakmuran bersama,” katanya.
Malaysia-Singapura Perkasa Diplomasi Kesihatan, Fokus Tangani NCD Dan Pelancongan Perubatan
Dzulkefly, Singapura, kesihatan, MoU, NCD, AI, Gen