combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,142
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,142
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Mahkamah Rayuan Kekal Keputusan, Bekas CEO Kumpulan MARA Corp Diarah Bayar RM3.4 Juta
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Majlis Amanah Rakyat Corporation Sdn Bhd (MARA Corporation) Datuk Badlisyah Abdul Ghani membayar RM3.4 juta kepada syarikat itu kerana melanggar kewajipan kontrak, fidusiari dan statutori.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Wong Kian Kheong, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menolak rayuan Badlisyah dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut memerintahkan Badlisyah membayar kos sebanyak RM50,000.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 12 Ogos lepas, Hakim Ahmad Kamal berkata mahkamah mendapati tiada kesilapan yang boleh dirayu sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan dalam kes berkenaan.
“Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul dengan membenarkan tuntutan MARA Corporation selepas menilai dokumen yang direkodkan pada masa kejadian serta keterangan lisan saksi-saksi,” katanya.
Hakim Ahmad Kamal berkata berdasarkan keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah, Badlisyah menerusi tindakannya telah gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai CEO Kumpulan demi kepentingan terbaik MARA Corporation.
Beliau berkata sebagai CEO Kumpulan ketika itu, Badlisyah sepatutnya memastikan pengambilan 25 pekerja dibawa kepada perhatian Lembaga Pengarah untuk mendapatkan kelulusan sebelum mengambil mereka bekerja.
Hakim Ahmad Kamal turut berkata tindakan mengambil 25 pekerja dalam tempoh singkat dua bulan, dengan proses itu bermula hanya dua minggu selepas Badlisyah mula berkhidmat pada 8 Sept 2020, menimbulkan persoalan yang serius.
“Masa, tindakan tergesa-gesa dan cara pengambilan 25 pekerja yang dilakukan secara tersembunyi itu tidak boleh dianggap sebagai tindakan dalam skop munasabah bagi menjalankan urusan perniagaan MARA Corporation dengan niat baik,” katanya.