combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Lelaki Hilang Selepas Keluar Cari Petai Di Kebun
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor
Seorang lelaki berusia 44 tahun dilaporkan hilang selepas keluar mencari petai di kebun durian di Bukit Kampung Gemuruh, Tepoh, dekat sini pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Mohd Tarmizi Alias pada 2.15 petang semalam daripada keluarganya.
“Mangsa didakwa keluar seorang diri untuk ke kebun kira-kira 15 kilometer dari rumah pada 10.30 pagi dengan menunggang motosikal Honda Wave tanpa membawa dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit,” katanya semasa dihubungi hari ini.
Azli berkata operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan melibatkan pasukan keselamatan dengan bantuan anjing pengesan serta orang awam, meliputi radius dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
Sementara itu, adik mangsa Noor Suriati, 35, berkata ibunya Aminah Awang, 61, sudah dua hari tidak tidur lena kerana bimbang akan keselamatan abangnya yang lazimnya pulang ke rumah di Kampung Petaling, Tepoh sebelum maghrib.
“Abang akan beritahu mak jika hendak ke kebun, tetapi pada hari kejadian dia tergesa-gesa dan tidak sempat beritahu sesiapa.
“Mak beritahu kami selepas abang tidak pulang sehingga malam, menyebabkan adik-beradik lelaki dan orang kampung cuba mencari di kebun tetapi hanya menemukan motosikalnya di kaki bukit,” katanya.
Noor Suriati berkata Mohd Tarmizi, anak kedua daripada sembilan beradik itu sangat mahir dengan keadaan di kebun itu kerana sering membantu ayahnya selain turut mengambil upah memanjat pokok petai atau mengutip durian di kebun berhampiran.