combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,139
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,139
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Remaja Lelaki Hilang Ketika Cari Ketam Di Pantai Klebang
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas. fb Polis Melaka Tengah
Remaja lelaki berusia 16 tahun dikhuatiri lemas di kawasan tambak laut berhampiran Pantai Klebang di sini semalam, dipercayai ketika mencari ketam di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, Muhammad Arif Daniel Nizamuddin dipercayai ditarik ombak atau terjerlus di kawasan lebih dalam sebelum hilang.
"Berdasarkan maklumat awal, Muhammad Arif Daniel bersama-sama seorang rakannya ke kawasan itu untuk mencari ketam sebelum dia dipercayai berenang ke tengah laut dan ditarik ombak sebelum hilang.
"Kira-kira 3.30 petang semalam, rakannya memaklumkan kepada polis mangsa hilang di pesisir Pantai Klebang ini," katanya pada sidang media di lokasi mencari dan menyelamat (SAR) di pantai berkenaan hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kelebang Datuk Lim Ban Hong.
Halim berkata operasi pencarian anak bongsu daripada dua beradik itu bermula semalam sebelum berakhir pada 7 malam, membabitkan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di dua sektor dengan keluasan kira-kira 900 meter persegi.
Beliau berkata operasi SAR berkenaan turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).
"Operasi disambung hari ini bermula pada 7 pagi tadi dan masih diteruskan dengan tumpuan pencarian di permukaan perairan oleh APMM," katanya.
Halim berkata kawasan berkenaan milik persendirian dan kejadian itu kali pertama berlaku di lokasi terbabit.