Cadangan jajaran WCE Hubungan Selatan Banting ke Gelang Patah disyor guna pakai model penswastaan
PUTRAJAYA: Cadangan pembinaan jajaran baharu Lebuhraya Pantai Barat (WCE) Hubungan Selatan dari Banting ke Gelang Patah sepanjang 303.5 kilometer (km) bakal dilaksanakan secara model penswastaan.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-50 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, pelaksanaan inisiatif infrastruktur strategik oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) itu termasuk pembinaan jalan baharu dari Simpang Pelangai ke Putrajaya sepanjang 118.7km.
"Kedua-dua projek ini dirangka sebagai laluan alternatif berkapasiti tinggi bagi mengurangkan kesesakan kritikal di Lebuhraya Utara-Selatan (E2) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (E8).
"Mesyuarat bersetuju cadangan projek infrastruktur ini diteroka melalui model pelaksanaan secara penswastaan bagi mengoptimumkan pengurusan kos serta kecekapan fiskal negara," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
KPKT berkata, rundingan terperinci akan dilaksanakan bersama kerajaan negeri berkenaan bagi memperkemas kaedah pelaksanaan dan menjamin impak ekonomi yang maksimum kepada penduduk setempat.
Dalam pada itu, MFPN meneliti Draf Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Draf Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) yang disediakan oleh KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Katanya, dokumen itu adalah dua dasar utama perancangan 'spatial' negara yang akan memacu hala tuju pembangunan dan tadbir urus fizikal Malaysia yang seimbang serta mampan.
"Selaras dengan semangat Kerajaan MADANI yang mengutamakan kerjasama Persekutuan-Negeri, mesyuarat bersetuju supaya proses penelitian dan penyelarasan lanjut dilaksanakan bersama kerajaan negeri, termasuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebelum dokumen ini dimuktamadkan sepenuhnya untuk diterima pakai," katanya.
KPKT berkata, keputusan mesyuarat MPFN Ke-50 itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan perancangan fizikal negara sentiasa dinamik, inklusif dan berpandangan jauh.
Melalui sinergi RFN5, DPN3 dan projek infrastruktur strategik, Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan rakyat.