combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Lebih 148,300 Sertai KIS Di Sabah Sejak 2025
Lebih 148,300 peserta menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) di Sabah sejak dilancarkan pada Jan 2025 hingga kini, meliputi pelbagai program advokasi dan pendidikan digital bagi memberi kesedaran tentang penggunaan Internet secara bertanggungjawab.
Dalam kenyataan hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kempen berkenaan satu Karnival Komuniti KIS Daerah Kalabakan edisi Bulan Kebangsaan telah diadakan.
Menurut kenyataan itu lebih 500 penduduk dari Kalabakan dan kawasan sekitarnya menyertai karnival anjuran MCMC itu yang berlangsung di Felda Umas di sini hari ini.
“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan Internet secara selamat," menurut kenyataan itu.
Menurut MCMC, kesedaran berkaitan penipuan atau scam dalam talian antara tumpuan utama karnival menerusi perkongsian Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai taktik scam kewangan, ancaman penyamaran identiti dan langkah perlindungan diri.
"Pengetahuan ini penting bagi membantu masyarakat mengenal pasti risiko lebih awal, sekali gus mengelakkan kerugian kewangan yang boleh menjejaskan kesejahteraan individu dan keluarga.
"Pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Lembaga Tabung Haji (TH) turut berkongsi maklumat," menurut MCMC.
Selain itu, suruhanjaya itu memaklumkan agensi terlibat turut menyediakan khidmat nasihat berkaitan keselamatan digital, perlindungan kewangan, pendidikan dan kesejahteraan sosial kepada komuniti setempat.
Menurut MCMC, pelaksanaan KIS di Kalabakan mencerminkan usaha MCMC memperluas advokasi keselamatan digital kepada komuniti di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar.