kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,708
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,708
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Lawatan Anwar Ke Kazan Perkukuh Hubungan, Jamin Bekalan Minyak Dan Gas Jangka Panjang Dari Rusia
Lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kazan menandakan satu pencapaian penting dalam hubungan Malaysia-Rusia, apabila kedua-dua negara komited untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan tenaga, perdagangan, pelaburan, pelancongan dan teknologi.
Sorotan utama misi tersebut ialah komitmen Rusia untuk menjamin bekalan petrol, minyak dan gas jangka panjang kepada Malaysia, yang menurut Anwar akan meningkatkan keselamatan tenaga negara menerusi perjanjian stabil untuk tempoh beberapa tahun, berbanding perjanjian yang diperbaharui setiap tahun atau mengikut musim.
“Sebaliknya, persiapan akan dibuat untuk mewujudkan perjanjian jangka panjang,” kata Perdana Menteri kepada media Malaysia pada sidang media selepas lawatan kerja dua harinya sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini.
Anwar berkata Rusia bukan sahaja memberi jaminan mengenai bekalan petrol, minyak dan gas, malah turut bersetuju dengan rangka kerja jangka panjang, sambil menambah bahawa kelulusan telah diperoleh dan perbincangan kini berada pada peringkat akhir.
“Wakil syarikat telah pun datang ke sini. Kini, ia hanya melibatkan proses menandatangani dan memuktamadkan perjanjian.
“Sebaik sahaja pulang, kami akan meminta mereka mempercepat proses itu. Draf perjanjian telah tersedia, prinsip-prinsip utama telah dipersetujui dan kami hanya menunggu delegasi untuk meneliti butiran serta menandatanganinya,” kata beliau.
Pada Selasa, Anwar merakamkan penghargaan kepada Presiden Rusia Vladimir Putin atas sokongannya dalam memperkukuh kerjasama tenaga, khususnya yang melibatkan Petronas, sambil menyatakan bahawa mekanisme dua hala antara kedua-dua negara kini telah diperluas meliputi perdagangan, pelaburan, kewangan dan ekonomi halal.
Selain sektor tenaga, Anwar berkata Malaysia perlu mengambil pendekatan yang lebih berani dan proaktif, dalam memperluas hubungan ekonomi dengan Rusia serta rakan-rakan baharu yang sedang pesat membangun, sambil menambah bahawa negara tidak lagi boleh dibatasi oleh pendekatan yang terlalu berhati-hati dalam penglibatan ekonomi antarabangsa.
