Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Kumpulan Terakhir Jemaah Haji Selamat Tiba Ke Tanah Air
Sebanyak 258 jemaah haji Malaysia yang juga kumpulan terakhir selamat tiba di tanah air hari ini, sekali gus melengkapkan keseluruhan operasi Musim Haji 1447H/2026M yang berjalan lancar dan cemerlang meskipun berdepan cabaran susulan konflik di Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata kumpulan jemaah itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.10 tengah hari menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH 8385) setelah berlepas dari Madinah pada 10.14 malam (waktu Arab Saudi) Selasa.
"Alhamdulillah hari ini, 1 Julai secara rasmi berakhirnya operasi haji bagi musim 1447 Hijrah. Kita mengucapkan syukur kerana semua jemaah haji kita selamat pergi dan pulang.
“Operasi haji seperti mana yang kita maklumkan sebelum ini berlaku dengan sangat baik bermula di tanah air, kemudian berada di Tanah Suci dan kemudian pulang. Secara keseluruhan daripada kursus, persiapan termasuk (selepas) berada di Tanah Suci (iaitu) dari segi Masyair, penginapan, sajian, logistik, kesihatan...semuanya disediakan dengan baik sehinggalah pulang ke tanah air," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ketibaan Jemaah Haji Penerbangan Terakhir dari Tanah Suci bagi Musim Haji 1447H/2026M di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli serta Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Zulkifli berkata TH telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau isu keselamatan serta sebarang perkembangan yang berpotensi memberi kesan kepada urusan ibadah haji, termasuk aspek kos dan penerbangan, selain menyediakan pelan senario serta langkah intervensi bagi memastikan kelancaran operasi haji.
"Alhamdulillah kita bekerjasama dengan MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan kita berjaya memastikan tiada peningkatan kos serta semua jemaah dapat pergi dan pulang dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata berkata kejayaan operasi haji Malaysia pada musim ini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila negara menerima Anugerah Labbaikum Diamond, pengiktirafan tertinggi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada pengurusan dan perkhidmatan haji terbaik dunia.
Zulkifli turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas haji termasuk daripada TH, Kementerian Kesihatan, syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen Malaysia, agensi kerajaan lain serta penyedia perkhidmatan logistik yang telah memastikan kelancaran operasi haji tahun ini.