Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,760
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,760
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
KSN Rakam Ucapan Tahniah Pelantikan Salhah Salleh Sebagai SUK Melaka
Kredit: Pejabat Ketua Setiausaha Negara
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Salhah Salleh, atas pelantikannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang berkuat kuasa hari ini.
Dalam kenyataan hari ini, Shamsul Azri berkata beliau yakin kepimpinan, keupayaan strategik serta pengalaman luas yang dimiliki Salhah, akan terus memperkukuh agenda pembangunan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka serta kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan.
“Ini bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif membawa keberhasilan langsung kepada rakyat, berteraskan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Salhah, 53, merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik lantikan tahun 1998 serta berkelulusan Sarjana Pembangunan Sumber Manusia daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau mempunyai pengalaman luas selama 28 tahun dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam bidang pengurusan sosial dan infrastruktur, ekonomi dan kewangan serta pengurusan sumber manusia dan pembangunan operasi.
Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Pegawai Kewangan Negeri di Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka, selain pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Jabatan Ketua Menteri Melaka.
Salhah turut pernah bertugas di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang kini dikenali sebagai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.