BTC USD 80,882.6 Gold USD 4,382.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemberi, Penerima dan Pengantara Rasuah Dilaknat

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا

Daripada Thauban RA berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya” (HR Ahmad No: 22399), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1415) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW melaknat mereka yang terlibat dengan rasuah sama ada pemberi, penerima mahupun pengantara atau orang tengah.

2. Para ulama’ sebahagiannya menafsirkan maksud dilaknat dengan makna ia termasuk dalam dosa besar. Imam al-Zahabi memasukkan rasuah ini dalam salah satu daripada dosa-dosa besar melalui kitabnya al-Kabair.

3. Mereka yang terlibat dengan rasuah sama ada secara langsung mahupun tidak langsung termasuk orang yang menjadi pemudah cara atau orang tengah adalah dilaknat dan mereka akan menanggung dosa dan balasan di akhirat. Kaedah fiqh menyatakan:

الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: Menolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat.

4. Imam Ibnul Arabi mengatakan: Rasuah adalah setiap suatu pemberian yang diberikan untuk membeli dan membayar seseorang yang memiliki jawatan untuk membantunya memiliki sesuatu yang tidak halal baginya.

5. Pengharaman rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT berfirman:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya) (Surah al-Maidah Ayat: 42)

Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)

Said bin Jubair menghuraikan ayat ini dengan mengatakan bahawa makna أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ adalah rasuah kerana rasuah adalah memakan harta yang diharamkan Allah.

6. Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, rasuah bukan hanya jenayah kewangan tetapi pengkhianatan terhadap amanah dan merosakkan aqidah, kerana menunjukkan hilangnya rasa takut kepada Allah.

#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

07hb Jamadil Awal 1447H
29hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makan Dari Sumber Haram

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلَّا كَانَتْ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

Daripada Kaab bin Ujrah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah daging manusia tumbuh dari barang yang haram kecuali neraka lebih berhak atasnya (HR Tirmizi No: 558) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Setiap makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalam mulut, pastikan ianya dari sumber yang halal dan baik.

2. Makanan dan minuman daripada sumber yang haram seperti hasil mencuri, rasuah, riba, menipu dalam jual beli, menindas, salah guna kuasa, membuat tuntutan palsu, makan harta anak yatim tanpa hak akan menumbuhkan daging pada tubuh badan kita. Apa sahaja sumber yang batil adalah diharamkan dan berdosa.

3. Daging yang tumbuh hasil daripada makanan dan minuman yang haram tidak layak masuk ke syurga melainkan mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

4. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa makanan haram akan menggelapkan hati dan menyebabkan doa tidak diterima dan amalnya tertolak.

5. Ketahuilah, hasil yang diperolehi secara salah adalah haram dan tidak berkat. Sanggupkah kita memberi makan dan minum kepada anak isteri serta keluarga kita dari sumber yang haram? Ingatlah, memakan makanan dari sumber yang haram maka nerakalah lebih utama baginya.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ

Maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh dari yang haram maka Neraka lebih layak baginya.”(HR at-Thabrani dalam Al-Kabir, 19/136; Sahihul Jami’, 3594.)

Ibnu Mas’ud berkata: “Perbuatan Shuht” adalah seseorang menyelesaikan hajat saudaranya maka orang tersebut memberikan hadiah kepadanya lalu dia menerimanya. Lalu dengan harta haram itu ia makan, berpakaian, berkendaraan, membeli rumah, atau menyewanya, melengkapkan perabot didalamnya serta mengenyangkan perutnya dengan yang haram tersebut. Nerakalah tempat yang layak baginya.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

08hb Jamadil Awal 1447H
30hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rasulullah SAW Enggan Solatkan Jenazah Mati Syahid

عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِيِّ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تُوُفِّيَ يَوْمَ خَيْبَرَ فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ فَتَغَيَّرَتْ وُجُوهُ النَّاسِ لِذَلِكَ فَقَالَ إِنَّ صَاحِبَكُمْ غَلَّ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَفَتَّشْنَا مَتَاعَهُ فَوَجَدْنَا خَرَزًا مِنْ خَرَزِ يَهُودَ لَا يُسَاوِي دِرْهَمَيْنِ

Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani bahawa seorang sahabat Nabi SAW meninggal dunia pada hari peperangan Khaibar. Kemudian sahabat memberitahu hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Lalu baginda bersabda: "Solatkanlah jenazah sahabat kamu itu!". Maka berubah wajah para sahabat kerana terkejut mendengar sabda Baginda. Lalu baginda menegaskan: "Sesungguhnya sahabat kalian telah mengkhianati harta rampasan perang di jalan Allah." Kemudian kami segera memeriksa barang-barangnya, dan kami menjumpai perhiasan milik orang Yahudi yang harganya tidak sampai dua dirham. (HR Abu Daud No: 2335) Sanad Tsiqah

Pengajaran:

1. Setiap harta yang kita miliki perlu dipastikan bersih dan halal hasil dari sumber yang benar dan baik.

2. Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah sahabat yang mengambil harta yang bukan haknya walaupun nilainya kecil (tidak sampai 2 dirham atau lebih kurang RM 2.00).

3. Perbuatan ghulul iaitu mengambil harta yang berkaitan dengan hak orang lain atau dengan cara menzalimi orang lain seperti rasuah, mencuri, harta rompakan, menipu atau sebarang sumber yang haram.

4. Menurut al-Nasafi, ghulul adalah apabila seseorang mengambil sesuatu dengan sembunyi-sembunyi ( ‘Abd Allah bin Ahmad, Tafsir al-Nasafi, h.191). Dengan kata lain segala macam bentuk pangambilan dan penyimpangan harta, seperti rasuah, penipuan, manipulasi dan mencuri, termasuk perbuatan ghulûl. Kalimah ghulul secara umum digunakan untuk setiap pengambilan harta oleh seseorang secara khianat, atau tidak dibenarkan dalam tugas yang diamanahkan kepadanya.

5. Larangan mengambil harta yang bukan hak ini walaupun nilainya kecil sehingga menyebabkan Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan, enggan mendoakan untuk pengampunan dan keselamatan untuk jenazah tersebut menunjukkan baginda sangat marah dengan perbuatan itu.

6. Jika nilai harta yang sekecil itu Rasulullah SAW tidak mahu menyembahyangkan jenazah tersebut apa lagi kalau jumlah yang lebih besar.

7. Hadis ini adalah amaran tegas terhadap ketidakjujuran dalam urusan harta awam. Perkara kecil di mata manusia boleh menjadi sebab besar bagi azab di akhirat, jika melibatkan hak bersama.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

09hb Jamadil Awal 1447H
31hb Oktober 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dosa Yang Tidak Ditunda Balasannya

عَن أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال : كُلُّ ذُنُوبٍ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مِنْهَا مَا شَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، إِلَّا الْبَغْيَ، وَعُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ، وَقَطِيعَةَ الرَّحِمِ، يُعَجِّلُ اللَّهُ لِصَاحِبِهَا فِي الدُّنْيَا قَبْلَ الْمَوْتِ

Daripada Abu Bakrah RA, dari Nabi SAW bersabda: Setiap dosa akan ditunda balasannya oleh Allah SWT hingga hari kiamat, kecuali al-baghy (zalim), durhaka kepada orang tua dan memutuskan silaturahim, Allah akan menyegerakan azabnya di dunia sebelum kematian menjemput.” (HR Al Hakim, Al Mustadrak No 7345). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap dosa seorang insan akan menerima balasan azab daripada Allah melainkan mendapat keampunan Allah.

2. Ada diantara dosa daripada perbuatan maksiat seorang hamba itu akan dipercepatkan balasannya semasa hidup di dunia lagi di samping azab di hari akhirat antaranya:

a) Dosa al-baghy (menzalimi hak orang lain sama ada dengan kuasa, kekayaan juga tindakan, ia adalah sifat tercela dan perbuatan melampau batas yang mempunyai akibat negatif sama ada pada pelaku dan masyarakat antaranya merampas hak orang lain, menindas pekerja atau rakyat, menuntut sesuatu yang tidak halal, memberontak, rasuah dan sebagainya)

b) Dosa derhaka kepada orang tua (menyakiti hati, meninggikan suara, mengabaikan tanggungjawab, atau bercakap kasar kepada ibu bapa)

c) Dosa memutuskan silaturahim (tidak bertegur sapa dengan ahli keluarga terdekat, menimbulkan permusuhan, atau enggan membantu walau mampu)

3. Balasan atau azab terhadap dosa ini akan dirasai di dunia sebelum datangnya kematian, sama ada dalam bentuk kesempitan hidup, kegagalan dalam urusan hidup, penyakit juga hilang keberkatan umur, rezeki dan ketenangan jiwa.

4. Kezaliman, derhaka kepada ibu bapa dan memutuskan silaturrahim adalah dosa yang sangat berat di sisi Allah. Berusahalah menjauhi perbuatan dosa yang akan disegerakan balasannya semasa hidup lagi.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

10hb Jamadil Awal 1447H
01hb November 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Beruntunglah Orang Yang Asing

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang terasing." (HR Muslim No: 208) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam dimulai dalam keadaan asing hanya sedikit orang yang menerima sebagaimana keadaan awal di Mekkah dan di Madinah. Islam pada awalnya tidak dikenali, ditolak dan ditentang. Kemudian ia mula tersebar dan ramai masuk Islam berbanding agama lain.

2. Islam akan kembali asing di akhir zaman, sebagaimana awal kemunculannya. Syariat Islam hanya diamalkan oleh segelintir orang yang taat seperti di zaman awal sahabat, padahal umatnya ramai.

3. Maka beruntunglah “orang-orang yang asing” iaitu mereka yang tetap berpegang kepada kebenaran walaupun ditolak oleh masyarakat ramai, dan mereka akan mendapat ganjaran besar di sisi Allah.

4. Umat Islam yang mengamalkan sunnah dianggap asing, ketinggalan zaman, tidak mengikuti arus semasa dan dituduh dengan pelbagai tuduhan yang menyakitkan. Sementara cara hidup lain seperti budaya barat diangkat dan dipandang mulia dalam masyarakat.

5. Sebagai Muslim, kita hendaklah sentiasa istiqamah di atas ajaran Islam serta memelihara diri daripada terlibat dengan gejala sosial dan penyelewengan yang menyebabkan pandangan negatif masyarakat terhadap Islam.

6. Beruntunglah orang yang asing (sedikit) kerana tetap berpegang kukuh dengan syariat Islam ditengah-tengah masyarakat yang lalai dan meninggalkan cara hidup Islam.

7. Menurut Ibnu Ajlan: maksud ‘thuba lil ghuroba’ (beruntunglah orang yang sedikit) adalah, merekalah yang mendapat kebaikan terus menerus.

8. Rasulullah SAW memuji sikap mukmin yang istiqamah mengamalkan al-Quran dan al-Sunnah ketika masyarakat menjauhi dan memandang hina terhadapnya.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

11hb Jamadil Awal 1447H
02hb November 2025
 
alami-kesusahan-diampun-kesalahan.jpg

1hari1hadis
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Saling Berkasih Sayang Dengan Menyebarkan Salam

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman. Dan kamu tidak dikatakan benar-benar beriman sehingga kamu saling berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang apabila kamu melakukannya, nescaya kamu akan saling berkasih sayang? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kamu.” (HR Muslim No: 54) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Syurga hanya untuk orang yang beriman

2. Satu daripada syarat iman yang sempurna ialah saling menyayangi sesama Muslim.

3. Menurut Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, syarat utama untuk masuk syurga ialah iman yang sempurna. Namun, iman itu tidak akan sempurna melainkan dengan adanya kasih sayang sesama Muslim.

4. Kasih sayang yang dimaksudkan bukan hanya perasaan di hati, tetapi dizahirkan dengan perbuatan seperti memberi salam, membantu, mendoakan, dan menjaga hak-hak persaudaraan.

5. Tuntutan menyebarkan salam apabila bertemu sesama Muslim sama ada orang yang kita kenal atau tidak. Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA berkata:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ

“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. [HR Muslim, no 56]

6. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa amalan memberi salam adalah kunci kepada perhubungan hati. Salam bukan sekadar ucapan, tetapi doa keselamatan dan kesejahteraan bagi saudaranya.

7. Menyebarkan salam ialah sunnah Rasulullah SAW yang menjadi kunci kepada pembinaan ukhuwah.

8. Ucapan Salam menumbuhkan rasa cinta, menghilangkan kebencian, mengeratkan silaturahim, dan memupuk suasana aman dalam masyarakat.

9. Setiap Muslim hendaklah menjadikan ucapan Assalamualaikum sebagai budaya harian yang diucapkan dengan ikhlas, kerana di sebalik lafaz yang ringkas itu terkandung doa, penghormatan, keamanan dan benih ukhuwah yang mampu menyatukan hati serta mengukuhkan perpaduan umat.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026


"Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati"
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka


23hb Safar 1448H
07hb Ogos 2026
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Akhlak Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: 'Janganlah kalian saling mendengki, saling melakukan Najsh (sengaja menawarkan harga belian yang tinggi sedangkan dia tidak berniat membelinya dengan tujuan supaya orang lain merasakan barangan tersebut bernilai tinggi dan mereka akan membelinya dengan harga yang lebih mahal). Jangan saling membenci, dan jangan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian yang berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Muslim yang satu dengan muslim yang lainnya adalah bersaudara tidak boleh menzalimi, tidak boleh mengkhianati dan tidak merendahkan ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya), Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. Setiap Muslim dengan yang Iain adalah haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya (dicerobohi)." (HR Muslim No: 4650) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam melarang umatnya berakhlak buruk antaranya:

a) Berdengki
b) Najsh (menipu dalam jual beli atau manipulasi harga)
c) Membenci
d) Memusuhi atau memutuskan hubungan
e) Membeli sesuatu yang telah dibeli atau dijanjikan kepada orang lain

2. Setiap Muslim adalah bersaudara. Seorang Muslim wajib menjaga hak saudaranya dengan tidak menzalimi, mengkhianati, menghina atau membiarkannya ketika memerlukan pertolongan.

3. Taqwa adalah asas akhlak yang baik, letaknya di dalam hati dan mesti dizahirkan melalui akhlak dan tindakan.

4. Menghina atau merendahkan orang lain merupakan dosa yang besar walaupun tanpa melakukan kekerasan fizikal.

5. Penghinaan boleh berlaku apabila seseorang meremeh, memperlekeh juga merendahkan orang lain sama ada dengan perkataan atau perbuatan termasuk kesalahan mereka. Penghinaan ini adalah bentuk sifat sombong dan bangga diri serta menganggap dirinya lebih mulia dari orang tesebut.

6. Nyawa, harta dan maruah setiap Muslim adalah amanah yang wajib dipelihara. Muslim sesama Muslim dilarang:

a) Menumpahkan darah sesama Muslim
b) Menzalimi hartanya
c) Merendahkan kehormatannya

7. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa hadis ini merupakan piagam akhlak sosial Islam. Jika diamalkan, ia akan menghapuskan hasad; permusuhan; penindasan dan perpecahan serta akan melahirkan masyarakat yang saling mempercayai.

8. Dalam kita membina sebuah masyarakat dan negara yang harmoni, marilah kita memelihara hak saudara Muslim sebagai tanda kita menyayangi mereka. Jauhilah berakhlak buruk terhadap Muslim yang lain serta tidak menzaliminya. Ukhuwah Islamiah adalah asas kekuatan umat; ia runtuh jika hak persaudaraan diabaikan.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026

"Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati"

#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

24hb Safar 1448H
08hb Ogos 2026
 
Back
Top
Log in Register