BTC USD 86,253.6 Gold USD 4,364.27
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah kamu daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, jangan mengintip, janganlah kamu saling dengki-mendengki, jangan berpaling daripada saudaramu, jangan saling membenci, dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari No: 5717) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam mengajar agar kita menjauhi prasangka buruk kepada orang lain kerana ia membawa kepada dosa dan perpecahan.

2. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa prasangka buruk terhadap orang Islam tanpa bukti akan merosakkan hati, menimbulkan permusuhan, dan membawa kepada dosa mengumpat serta fitnah.

3. Seorang Muslim wajib menjaga kehormatan saudaranya dengan tidak mencari-cari berita atau mengintip kelemahan, aib atau kesalahannya. Kedua-duanya dilarang kerana ia melanggar hak peribadi Muslim dan boleh memecah belahkan masyarakat.

4. Hasad dengki adalah penyakit hati yang membinasakan amal dan merosakkan hubungan persaudaraan.

5. Islam melarang sikap berpaling daripada saudara Muslim yang lain, tidak bertegur dan memutuskan silaturahim.

6. Islam juga melarang saling membenci, sama ada melalui kata-kata, perbuatan, atau sikap yang lahir daripada hati yang kotor.

7. Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim dengan sentiasa hidup dalam suasana kasih sayang, dan menjadi saudara seagama yang sejati.

Marilah kita menjaga persaudaraan dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain, tidak berdengki, elakkan membenci, dan tidak membelakangkan orang lain. Hiduplah kita sebagai hamba Allah yang bersaudara dengan mengukuhkan persaudaraan berlandaskan iman dan kasih sayang.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025
Malaysia Madani: Rakyat Disantuni

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

06hb Rabiul Awal 1447H
30hb Ogos 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Akhlak Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: 'Janganlah kalian saling mendengki, saling melakukan Najsh (sengaja menawarkan harga belian yang tinggi sedangkan dia tidak berniat membelinya dengan tujuan supaya orang lain merasakan barangan tersebut bernilai tinggi dan mereka akan membelinya dengan harga yang lebih mahal). Jangan saling membenci, dan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian yang berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Muslim yang satu dengan muslim yang lainnya adalah bersaudara tidak boleh menzalimi, tidak boleh mengkhianati dan tidak merendahkan ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya), Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. Setiap Muslim dengan yang Iain adalah haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya (dicerobohi)." (HR Muslim No: 4650) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam melarang umatnya berakhlak buruk antaranya:

a.Berdengki
b. Najsh (menipu dalam jual beli atau manipulasi harga)
c.Membenci
d.Memusuhi atau memutuskan hubungan
e.Membeli sesuatu yang telah dibeli atau dijanjikan kepada orang lain

2.Setiap Muslim adalah bersaudara. Muslim dilarang berbuat zalim dengan Muslim yang lain antaranya dengan cara:

a.Menzalimi
b.Mengkhianati
c.Menghina

3. Taqwa adalah asas akhlak yang baik, letaknya di dalam hati dan mesti dizahirkan dalam tindakan.

4.Seseorang Muslim dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim.

5.Penghinaan boleh berlaku apabila seseorang meremeh, memperlekeh juga merendahkan orang lain sama ada dengan perkataan atau perbuatan termasuk kesalahan mereka. Penghinaan ini adalah bentuk sifat sombong dan bangga diri serta menganggap dirinya lebih mulia dari orang tesebut.

6.Muslim sesama Muslim dilarang:

a.Menumpahkan darah sesama Muslim
b.Menzalimi hartanya
c.Merendahkan kehormatannya

Dalam kita membina sebuah masyarakat dan negara yang harmoni, marilah kita memelihara hak saudara Muslim sebagai tanda kita menyayangi mereka. Jauhilah berakhlak buruk terhadap Muslim yang lain serta tidak menzaliminya. Ukhuwah Islamiah adalah asas kekuatan umat; ia runtuh jika hak persaudaraan diabaikan.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025
Malaysia Madani: Rakyat Disantuni

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

07hb Rabiul Awal 1447H
31hb Ogos 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersama Dengan Orang Yang Dicintai

عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Daripada Abu Wa`il dari Abdullah dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda: "Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya." (HR Bukhari No: 5702) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Orang yang "mencintai" seseorang akan sentiasa bersama dengan orang yang "dicintai".

2. Ibnu Hajar menjelaskan: sesungguhnya kita akan bersama dengan orang yang kita cinta, sentiasa akan didekatkan dengan orang yang dicintai malah kita akan termasuk dalam golongan yang dicintai.

3. Cintailah orang yang soleh dengan meneladani cara hidup, akhlak, perjuangan dan amalan orang yang dicintai kerana seseorang akan dibangkitkan di hari kiamat bersama dengan orang yang dicintai.

4. Ibnu Battal dalam Syarah Sahih Al-Bukhari, hlm. 9/333, menyatakan: Ketika seorang mencintai orang yang soleh, di mana dia mencintai mereka kerana ketaatan mereka pada Allah sedang cinta itu merupakan perbuatan hati dan keyakinan hati maka Allah memberi pahala padanya sebagaimana pahala orang soleh yang dicintainya. Kerana niat itu adalah yang asal sedang amal itu mengikuti niat.

قِيلَ لِلنَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم الرَّجُلُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ قَالَ الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Ada yang berkata pada Nabi SAW, ‘Ada seseorang yang mencintai suatu kaum, namun ia tidak pernah berjumpa dengan mereka.’ Nabi SAW lantas bersabda, ‘Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai.’” (HR Muslim no: 2640) Status: Hadis Sahih.

5. Orang yang cinta kepada Rasulullah SAW, ia akan tetap dapat bersama Rasulullah SAW memasuki Syurga walaupun tingkatan syurganya berbeza (Fathul Bari, 10: 555).

6. Cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan sentiasa mencontohi, mengikuti dan mentaati perintah dan larangan. Perbuatan tersebut akan menatijahkan kecintaan Rasulullah SAW kepada kita walaupun kita tidak pernah menemui baginda.

Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Marilah kita menunjukkan kecintaan kepada Nabi SAW. Dalam kita membina kehidupan di negara tercinta ini, kita mengharapkan kebahagiaan hidup ini bukan hanya di dunia malah juga di akhirat nanti. Justeru jadikanlah Rasul serta orang-orang soleh sebagai qudwah untuk kita contohi dan cintai. Moga kita akan bersama mereka di Syurga nanti. Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

08hb Rabiul Awal 1447H
01hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mencintai Rasulullah SAW

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak sempurna keimanan seseorang dari kalian sehingga ia mencintai aku melebihi kedua orang tuanya dan anaknya.” (HR Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW memulakan dengan sumpah “Demi Dzat yang jiwaku berada ditangan-Nya”, menunjukkan apa yang akan disampaikan oleh baginda adalah suatu yang amat penting.

2. Pesanan penting tersebut ialah tentang syarat kesempurnaan iman pada seseorang, dengan mencintai Rasulullah SAW melebihi kasih dan sayang kita kepada ibu bapa serta anak-anak.

3. Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menjelaskan bahawa Iman yang sempurna menuntut ketaatan penuh dan mendahulukan Rasulullah SAW atas segala sesuatu.

4. Cinta kepada ibu bapa melahirkan rasa hormat serta kesanggupan kita untuk berbakti kepadanya. Cinta kepada anak dengan cara kita memenuhi permintaannya. Sementara cinta kepada Rasulullah SAW mesti lebih hebat daripada itu.

5. Jika cinta kepada ibu bapa kerana ia telah melahirkan, mendidik, membesarkan juga memberi nafkah kepada kita, cinta kepada Rasulullah SAW kerana ia telah menyampaikan petunjuk dan menyelamatkan kita dari kesesatan.

6. Cinta kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaan kepada orang tua dengan cara mengagungkan serta mentaati perintah Rasulullah SAW, mencontohi dan melaksanakan sunnah yang ditunjukkan oleh baginda mesti diutamakan.

7. Bentuk Cinta kepada Nabi SAW:
• Mengikuti sunnah baginda dalam akhlak, ibadah, dan cara hidup.
• Mendahulukan ajaran Rasulullah SAW daripada hawa nafsu, adat atau pandangan peribadi.
• Membela sunnah Nabi SAW apabila dihina, diputarbelit atau dipandang remeh.
• Berselawat ke atas baginda sebagai tanda kecintaan dan penghormatan.
• Merindui pertemuan dengan Rasulullah SAW di akhirat dan berdoa agar dikumpulkan bersama baginda.

Kita telah memasuki bulan Rabiul Awal, mengingatkan kita bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Mari kita memperlihatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaan terhadap ibu bapa serta anak-anak kita.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

09hb Rabiul Awal 1447H
02hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rasulullah Penyelamat Umat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang kecil dan serangga (kelekatu) berjatuhan ke dalamnya (api). Maka aku mencegah kalian (menarik kalian agar selamat), namun kalian tetap berusaha melemparkan diri ke dalamnya (api). (HR Bukhari No: 6483) Status : Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW diutus untuk memberitahu manusia akan ancaman azab api Neraka yang menanti di Akhirat bagi mereka yang berbuat maksiat juga yang tidak beriman.

2. Rasulullah SAW berusaha untuk menyelamatkan manusia dari menjadi ahli Neraka. Baginda SAW menyampaikan Islam sebagai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

3. Al-Qurtubi menyatakan bahawa hadis ini adalah peringatan keras bahawa mengikuti hawa nafsu dan meninggalkan sunnah Rasulullah SAW akan membawa manusia ke arah kebinasaan. Ia juga menekankan bahawa keselamatan hanya tercapai dengan mentaati Rasulullah SAW sepenuhnya.

4. Imam An-Nawawi berkata: hadis ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW menggambarkan perbuatan orang jahil dan ingkar yang bergelumang dengan maksiat dan syahwat sebenarnya melemparkan diri ke dalam api Neraka, seperti serangga kelekatu yang terbang ke dalam api kerana mengikut keinginan dan tidak mampu membezakan bahaya atau tidak, sedangkan Baginda SAW berusaha menghalang mereka dari terjatuh ke dalamnya.

5. Teknik memberikan perumpamaan yang boleh digambarkan oleh akal, adakalanya diperlukan bagi menyampaikan dakwah dan menyedarkan jiwa umat.

6. Jangan jadikan kita seperti serangga kelekatu yang terhumban ke dalam api kerana tidak dapat membezakan antara bahaya dan bahagia. Ikutilah perintah dan larangan Rasulullah SAW yang sayang dan kasih kepada umatnya agar tidak terhumban ke dalam neraka.

7. Dunia ini penuh dengan tipu daya dan tarikan yang boleh menyeret manusia ke arah maksiat. Umat Islam perlu berhati-hati dan jangan mudah tertarik dengan keseronokan sementara yang akhirnya membawa kepada kemurkaan Allah.

8. Jadikan diri kita pewaris tugas Rasulullah sebagai pendakwah untuk menyelamatkan diri kita dan orang lain daripada api neraka.

Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Berusahalah kita mencintai Rasulullah SAW dengan mencontohinya.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

10hb Rabiul Awal 1447H
03hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Orang Yang Enggan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan, " Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan?" Nabi menjawab: "Sesiapa yang taat kepadaku akan masuk syurga dan sesiapa yang mendurhakaiku sesungguhnya dia telah enggan (untuk masuk syurga)." (HR Bukhari No: 6737) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap umat Nabi Muhammad SAW akan masuk ke syurga dengan syarat mentaati dan mengikuti apa yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang.

2. Taat dan patuh kepada Nabi SAW itu antaranya dengan mentauhidkan Allah serta istiqamah dalam melaksanakan syariat Allah seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan puasa Ramadhan, berbakti kepada kedua orang tua, menjaga dari perkara yang haram seperti perbuatan zina, minum yang memabukkan, serta melakukan perkara haram yang lain.

3. Ibn Hajar al-‘Asqalānī dalam Fath al-Bārī menegaskan bahawa enggan dalam hadis ini bukan bermaksud seseorang secara terang-terangan menolak syurga, tetapi ia bermaksud menolak ketaatan yang menjadi syarat untuk masuk syurga.

4. Orang yang enggan dan tidak mahu mentaati syariat yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah SAW adalah orang yang enggan untuk masuk syurga. Orang tersebut mencegah dirinya untuk masuk ke dalam syurga dengan melakukan amal keburukan dan meninggalkan syariat yang diwajibkan.

5. Wajib bagi setiap muslim untuk mentaati segala perintah Allah, serta mengikuti Nabi Muhammad SAW dalam setiap syariat yang baginda bawa. Firman Allah:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya” (Al Hasyr: 7)

6. Syurga adalah ganjaran yang Allah janjikan kepada umat Islam, namun ia tidak dicapai dengan angan-angan, tetapi dengan ketaatan kepada Rasulullah SAW. Meninggalkan sunnah dan melakukan maksiat secara sengaja adalah tanda keengganan terhadap rahmat Allah.

Marilah kita sempena bulan Maulidurasul ini menjadi orang yang akan masuk syurga bukan orang yang enggan.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

11hb Rabiul Awal 1447H
04hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Rasul

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Daripada Anas RA ia berkata, Nabi SAW bersabda: "Tidak sempurna keimanan seseorang diantara kalian hingga ia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia semuanya." (HR Bukhari No: 15) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Kesempuraan iman itu menuntut kecintaan yang sempurna kepada Rasulullah SAW.

2. Kesempurnaan iman seseorang mesti meletakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaan kepada ibu bapa, anaknya juga manusia seluruhnya.

3. Ibn Hajar al-‘Asqalānī dalam Fath al-Bārī menegaskan bahawa cinta kepada Rasulullah SAW wajib melebihi cinta kepada seluruh manusia lain kerana baginda menjadi sebab terbesar sampainya nikmat hidayah dan keselamatan.

4. Kecintaan kepada Rasulullah SAW juga mesti melebihi kecintaan kepada diri sendiri atau hawa nafsunya. Rasulullah SAW menjelaskan kepada Saidina Umar kecintaan yang sebenar seperti di riwayatkan Abdullah bin Hisyam RA, ia berkata:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ آخِدٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ لأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلاَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ وَالَّذِي نَفْسِيْ بِيَدِهِ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ. فَقَالَ لَهُ عَمَرُ: فَإِنَّهُ اْلآنَ وَاللهِ لأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اْلآنَ يَا عُمَرُ.

“Kami mengiringi Nabi SAW, dan baginda memegang tangan ‘Umar bin al-Khatab RA. Kemudian ‘Umar berkata kepada Nabi SAW: ‘Wahai Rasulullah, sungguh engkau sangat aku cintai melebihi apa pun selain diriku.’ Maka Nabi SAW menjawab: ‘Tidak, demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, hingga aku sangat engkau cintai melebihi dirimu.’ Lalu ‘Umar berkata kepada baginda: ‘Sesungguhnya sekarang, demi Allah, engkau sangat aku cintai melebihi diriku.’ Maka Nabi SAW bersabda: ‘Sekarang (engkau benar), wahai ‘Umar.’ (HR. Bukhari No: 6632) Status: Hadis Sahih

5. Kecintaan kepada Rasulullah SAW mesti didahului dengn kecintaan kepada Allah. Mencintai Rasulullah adalah cinta kerana Allah.

6. Kecintaan kepada Rasulullah SAW mesti diperlihatkan dengan lisan, tulisan dan perbuatan. Bukti cinta kita perlu diperlihatkan dengan ketaatan, mengamalkan sunnah Nabi SAW, serta menjadikan baginda teladan utama dalam ibadat dan amalan seharian.

Selamat memperingati kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW yang kita cintai.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

12hb Rabiul Awal 1447H
05hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kemanisan Iman

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas bin Malik dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, maka dia akan merasai kemanisan iman: (1) hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada selain keduanya. (2) mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. (3) dan benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci dicampakkan kedalam api neraka"(HR Bukhari No: 15) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menjelaskan bahawa halawatul iman (kemanisan iman) ialah rasa lazat dan tenang yang dirasai dalam hati apabila seseorang mencapai darjat cinta kepada Allah dan Rasul, serta membenci maksiat.

2. Tiga perkara jika dimiliki akan menjadikan seseorang mendapat kemanisan iman:

a. Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari segala-galanya di dunia.

b. Mencintai dan menyayangi seseorang hanya kerana Allah bukan kerana pangkat mahupun kedudukan.

c. Tidak suka kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya dengan hidayah, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

3. Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).

Allah berfirman:

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣١

“Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’” [Ali ‘Imran: 31]

Ibnu Katsir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan: “Ayat ini adalah pemutus hukum bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah namun tidak mahu menempuh jalan yang dilalui Rasulullah SAW, maka orang itu dusta dalam pengakuannya sehinggalah ia mengikuti syariat dan agama yang dibawa Rasulullah SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya.”

4. Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan Sunnahnya, menghidupkan, dan mengajak kaum Muslimin untuk mengamalkannya, serta berjuang membela As-Sunnah dari orang-orang yang mengingkari As-Sunnah dan melecehkannya. Termasuk cinta kepada Nabi SAW adalah menolak dan mengingkari semua bentuk bid’ah yang menyesatkan.

5. Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah. Ibnul Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.

6. Tiga tanda utama seseorang merasai kemanisan iman: cinta yang mendalam kepada Allah dan Rasul-Nya, kasih sayang sesama mukmin kerana Allah, dan kebencian terhadap kekufuran. Kemanisan iman hanya dapat dirasai apabila iman dihiasi dengan ketaatan, keikhlasan, dan kesetiaan kepada ajaran Islam.

Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Marilah kita menunjukkan kecintaan kepada Nabi SAW.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

13hb Rabiul Awal 1447H
06hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berselawat Tuntutan Mukmin

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا} . قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ عَلِمْنَا السَّلَامَ فَكَيْفَ الصَّلَاةُ عَلَيْكَ "قُولُوا: اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ". وَكَانَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي لَيْلَى يَقُولُ: وَعَلَيْنَا مَعَهُمْ.

Daripada Ka'b ibnu Ujrah berkata, bahawa ketika ayat ini diturunkan : Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56) Lalu kami bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana cara mengucapkan salam penghormatan kepadamu, tetapi bagaimanakah caranya mengucapkan selawat untukmu?" Rasulullah SAW. menjawab: Ucapkanlah, "Ya Allah, limpahkanlah selawat buat Muhammad dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan selawat buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan limpahkanlah barakah buat Muhammad dan keluarganya sebagaimana telah Engkau limpahkan berkah buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” Dan Abdur Rahman ibnu Abu Laila mengatakan, "Dan semoga dilimpahkan pula kepada kami disertakan dengan mereka." (HR Bukhari No: 2497) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang dituntut kepada setiap Mukmin.

2. Menurut Abul Aliyah, yang dimaksud dengan selawat dari Allah ialah pujian-Nya kepada Nabi SAW. Selawat dari para malaikat ialah doa daripada para Malaikat untuk Nabi SAW.

3. Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari Allah adalah rahmat-Nya, dan selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun bagi yang bersangkutan.

4. Al-Qurtubi menafsirkan bahawa perintah berselawat dalam al-Quran bukan hanya satu ibadah sunat, bahkan merupakan tanda penghormatan tertinggi kepada Nabi SAW. Selawat kepada Nabi SAW adalah salah satu ibadah yang mendatangkan syafaat daripada baginda di akhirat kelak.

5. Rasulullah SAW mengajarkan cara berselawat ke atas baginda. Seafdhal-afdhal selawat adalah selawat yang biasa dibaca semasa tasyahud akhir setiap solat (Mustika Hadis 1/259) atau yang dipanggil selawat Ibrahimi:

اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

6. Setiap Mukmin dituntut berselawat setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW. Antaranya dengan lafaz:

– صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ
Atau

– عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

7. Berselawat bukan sekadar doa untuk Nabi SAW, tetapi ia juga manfaat besar bagi umat kerana ia menjadi sebab turunnya rahmat Allah dan memperoleh syafaat baginda. Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Jom banyakkan selawat sebagai satu daripada cara mencintai Nabi kita.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

14hb Rabiul Awal 1447H
07hb September 2025
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Keutamaan Orang Berselawat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُ النَّاسِ عَلَيَّ صَلاةً

Daripada Abdullah Bin Masoud berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang paling hampir denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat keatas ku. (HR at-Tabrani No: 9679) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW adalah amalan yang dituntut.

2. Mukmin yang paling hampir dengan Rasulullah SAW pada hari kiamat nanti adalah yang paling banyak berselawat ke atas baginda.

3. Menurut al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi, kelebihan ini diberikan kerana selawat menunjukkan rasa cinta, penghormatan dan penghargaan yang mendalam kepada junjungan Nabi SAW.

4. Al-Sindi menegaskan bahawa orang yang paling dekat dengan Rasulullah SAW di akhirat adalah mereka yang paling banyak berselawat, kerana selawat itu menjadi sebab untuk memperoleh syafaat Baginda. Kedekatan ini bukan hanya secara fizikal, tetapi juga dalam bentuk kemuliaan, rahmat dan syafaat di sisi Allah.

5. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa selawat bukan sahaja membawa kedudukan tinggi di akhirat, malah di dunia ia menjadi sebab turunnya rahmat, keberkatan hidup, dan dihapuskan dosa-dosa kecil.

6. Orang yang berselawat keatas Nabi SAW, para malaikat juga akan berselawat keatasnya. Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya. ‘Amir Bin Rabi’ah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:

ما مِنْ عبدٍ يُصَلِّي علَيَّ إلَّا صَلَّتْ عليه الملائكةُ ما دامَ يُصَلِّي علَيَّ فلْيُقِلَّ العبدُ مِنْ ذلِكَ أوْ لِيُكْثِرْ

Tidaklah seseorang hamba berselawat kepadaku melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak. (at-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, 2/182, no. 1654. Ahmad, 24/457, no. 15689)

Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Banyakkan selawat, moga Malaikat memohonkan keampunan buat kita.

Membangun Ummah Madani.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka

15hb Rabiul Awal 1447H
08hb September 2025
 
Back
Top
Log in Register