BTC USD 84,443.3 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tempoh Makan Daging Korban

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَابِسٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ أَنَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُؤْكَلَ لُحُومُ الْأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلَاثٍ قَالَتْ مَا فَعَلَهُ إِلَّا فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ قِيلَ مَا اضْطَرَّكُمْ إِلَيْهِ فَضَحِكَتْ قَالَتْ مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزِ بُرٍّ مَأْدُومٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ حَتَّى لَحِقَ بِاللَّه

Daripada 'Abdurrahman bin Abis dari Bapanya ia berkata; "Aku bertanya kepada Aisyah; 'Apakah Nabi SAW melarang untuk makan daging sembelihan hari raya Adha lebih dari tiga hari? ' Aisyah menjawab; "Baginda tidak melakukan itu kecuali pada tahun kesulitan (manusia kelaparan), sehingga baginda berharap orang kaya memberi makan kepada yang miskin. Dan sungguh, kami boleh makan daging kambing setelah lima belas hari." Lalu dikatakan; 'Apa yang mendorong kalian melakukan itu? ' Aisyah tertawa, lalu ia berkata; 'Keluarga Muhammad SAW tidak pernah merasa kenyang kerana makan roti atau gandum lebih dari tiga hari hingga baginda bertemu dengan Allah.' (HR Bukhari No: 5003) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Daging korban sebahagian untuk disedekahkan dan 1/3 boleh diambil untuk dimasak dan dimakan serta boleh juga disimpan

2.Daging korban boleh disimpan lebih dari 3 hari tasyriq (tiada batas maksimum). Ia merupakan pendapat majoriti ulama dari kalangan sahabat, tabi’in serta empat imam mazhab.

3.Rasulullah SAW tidak berlebihan dalam bab makan, hingga boleh berjimat memakan daging korban secara berdikit dalam tempoh yang agak lama.

4.Orang mukmin makannya apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Elakkan berlebihan dalam makan dan minum. Seperti dalam hadis lain:

بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِه

“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya.” (HR Tirmidzi No: 2380)

Semoga kita bersifat RAHMAH dengan mengagihkan bahagian korban sebaiknya dan tidak berlebihan dalam makan dan minum.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

29hb Jun 2023
10hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Berbuat Zalim Dan Bakhil

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكُمْ وَالظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُحْشَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَالتَّفَحُّشَ وَإِيَّاكُمْ وَالشُّحَّ فَإِنَّهُ دَعَا مَنْ قَبْلَكُمْ فَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ وَسَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَقَطَّعُوا أَرْحَامَهُمْ

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian berbuat zalim, kerana kezaliman akan menjadi kegelapan pada hari kiamat di sisi Allah, janganlah berbuat keji kerana Allah tidak suka kekejian dan perbutan keji, janganlah berbuat kikir, kerana itu yang menyebabkan kerosakan orang-orang sebelum kalian, sehingga mereka menghalalkan kehormatan, menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim mereka." (HR Ahmad No: 9202) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Muslim dilarang melakukan kezaliman kepada dirinya dan orang lain.

2.Perbuatan zalim ialah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya mencuri, meninggalkan solat, mencela orang lain. Perbuatan ini adalah maksiat dan dosa. Kezaliman yang paling besar adalah perbuatan syirik yang tidak diampunkan oleh Allah.

3.Allah tidak suka kepada orang yang melakukan perbuatan keji atau buruk

4.Muslim juga dilarang bersifat kikir atau bakhil. Bakhil adalah buah dan akibat dari kecintaan kepada dunia.

5.Orang yang bakhil akan berusaha memiliki harta dengan apa juga cara asalkan mereka dapat dan memiliki tanpa mengira dengan cara yang halal atau haram, sanggup menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim.

Jauhilah sifat zalim, keji dan bakhil.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

30hb Jun 2023
11hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Gambaran Orang Sombong Di akhirat

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُحْشَرُ الْمُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ يَغْشَاهُمْ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الْأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الْخَبَالِ

Daripada Amru bin Syu'aib dari ayahnya dari datuknya dari nabi SAW bersabda: "Orang-orang sombong dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru, mereka diiring menuju penjara di neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas, mereka diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka yang namanya thinatul khabal." (HR Tirmizi No: 2416) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Sombong adalah sifat Iblis yang merasa dirinya lebih mulia dan lebih baik serta merendahkan orang lain.

وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٣٤

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (Surah al-Baqarah: 34).

2. Orang yang sombong tidak akan masuk syurga. Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”. (HR Muslim No:51)

3. Orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru.

4. Orang sombong akan diiring menuju ke neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas

5. Orang yang sombong akan diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka (nanah) yang namanya thinatul khabal (lumpur kebinasaan).

6. Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT:


وَلَا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخرِقَ الأَرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang” (Surah al-Israa’ ayat: 37)

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan menjauhi sifat sombong. Sifat sombong itu apabila merasa dirinya lebih baik dari orang lain malah memperlekeh atau merendahkan mereka.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

01hb Julai 2023
12hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Benih Yang Menghasilkan Pahala

عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ إِنْسَانٌ أَوْ طَيْرٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةٌ

Daripada Anas, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang menanam tanaman atau menabur benih lalu (hasilnya) dimakan oleh manusia, burung atau binatang ternak melainkan hal tersebut menjadi sedekah baginya." (HR Tirmizi No: 1303) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Apa sahaja amal kebaikan yang dilakukan oleh seorang Muslim akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah

2. Muslim yang menanam pokok yang hasilnya di makan oleh orang lain atau oleh binatang akan tetap mendatangkan pahala kepada penanamnya

3. Ibn Battal ketika menjelaskan hadis di atas: “Ini menunjukkan bahawa sedekah untuk semua jenis haiwan dan makhluk bernyawa di dalamnya terdapat pahala” (Lihat Syarh Ibn Battal, 11/473)

4. Apa sahaja sumbangan yang ditinggalkan seorang muslim dan memberi manfaat kepada orang lain termasuk kepada orang bukan Islam juga binatang, ia akan menjadi sedekah buatnya

JOM sumbangkan suatu kebaikan untuk menjadi fixed deposit ganjaran pahala kita yang berterusan hingga ke akhirat kelak.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

02hb Julai 2023
13hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Miliki Sifat Zuhud

عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ الَى النَّبِيِّ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَمَ فَقَالَ: يَا رَسولَ الله دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ اَحَبَنِيَ اللهُ وَ اَحَبَنِيَ النَّاسُ فَقَالَ: ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ وَ ازْهَدْ فِي مَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ حَدِيثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ ابْنُ مَاجَه وَ غَيْرُهُ بِأَسَانِيدَ حَسَنَةٍ

Daripada Abi al-Abbas Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi r.a berkata, bahawa seseorang datang kepada Nabi SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya suatu pekerjaan yang jika dikerjakan nescaya saya dicintai Allah dan dicintai umat manusia.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Zuhudlah engkau akan dunia, nescaya Allah akan menyintaimu, dan zuhudlah engkau akan apa yang ada pada manusia, nescaya mereka mencintaimu.” (HR Ibn Majah no. 4102) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Suatu sifat penting yang wajib ada pada diri setiap mukmin ialah sifat zuhud.

2. Zuhud terhadap dunia mempunyai banyak pengertian di kalangan ulama tasauf antaranya ialah membenci, berpaling, meninggalkan dan menjauhkan diri dari kemewahan dunia serta mengosongkan hati dari mengingati perkara dunia.

3. Zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. Bukan bererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang kerana itu hasad dengki yang amat dilarang.

4. Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman ibn ‘Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda-benda selainNya.

5. Sesiapa yang memiliki sifat zuhud, nescaya Allah akan menyintainya.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

03hb Julai 2023
14hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Solat Malam Amalan Orang Soleh

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ لِلْإِثْمِ

Daripada Abu Umamah dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: "Hendaknya kalian melakukan solat malam kerana solat malam adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dapat mendekatkan kepada Tuhan kalian, menghapus keburukan, serta mencegah dosa." (Sunan Tirmidzi No: 3472) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Solat malam atau qiamullail adalah amalan orang-orang yang soleh. Allah SWT memuji para hamba-Nya yang soleh yang sentiasa melakukan solat malam seperti tahajud dan witir.

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Mereka sedikit tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah).” [Adz-Dzaariyaat/51: 17-18]

2. Solat malam adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebagai makanan roh membina kekuatan dalaman diri setiap Muslim.

3. Solat malam boleh menghapuskan keburukan atau kesalahan serta dosa.

4. Solat malam juga boleh mencegah seseorang dari melakukan dosa dan maksiat.

Peruntukkanlah sedikit waktu pada waktu malam sebelum solat subuh untuk melakukan solat sunat malam agar ia menjadi sebahagian dari kebiasaan kita sepertimana kebiasaan amalan orang yang soleh.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

04hb Julai 2023
15hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Tinggalkan Qiamullail

عَنْ يَزِيدَ بْنِ خُمَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي قَيْسٍ يَقُولُ قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا لَا تَدَعْ قِيَامَ اللَّيْلِ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُهُ وَكَانَ إِذَا مَرِضَ أَوْ كَسِلَ صَلَّى قَاعِدًا

Daripada Yazid bin Khumair dia berkata; saya mendengar Abdullah bin Abu Qais berkata; Aisyah RA berkata; "Janganlah kamu meninggalkan solat malam (Qiamullail), kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya, bahkan apabila baginda sedang sakit atau kepayahan, baginda solat dengan duduk." (HR Abu Daud No: 1307) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara sunnah Rasulullah SAW ialah melaksanakan qiamullail.

2. Rasulullah tidak pernah meninggalkan qiamullail walaupun dalam keadaan sakit atau kepayahan (lemah juga malas).

3. Lakukanlah solat sunat di malam hari walaupun dalam keadaan duduk.

Ayuh contohi Rasulullah dalam ibadat Qiamullail

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

05hb Julai 2023
16hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadikan Kejujuran Sebagai Tabiat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas'ud) RA daripada Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga dia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantarkan pada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan menggiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta." (HR Bukhari No: 6094) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam adalah agama yang menuntut kepada setiap Muslim supaya sentiasa jujur dan menjauhi kedustaan dalam setiap perkara sama ada perkataan, perbuatan mahupun pekerjaan.

2. Seorang Muslim yang sentiasa jujur dari segi percakapan, perbuatan, akhlak, dan pekerjaan, ia akhirnya akan menjadi kebiasaan dalam amalannya. Kebiasaan yang jujur dan baik dalam amalannya menyebabkan ia dikenali oleh orang ramai sebagai orang yang jujur dan benar. Kebiasaan yang baik ini akan mendekatkannya kepada syurga.

3. Seorang yang sentiasa berdusta, berbohong mahupun menyampaikan berita palsu, perbuatan tersebut akan mendorongnya kepada kejahatan. Jika berterusan, perbuatan itu akan menjadi tabiat kebiasaan kepadanya. Perbuatan itu merupakan dosa yang akan menjadi penyebab dia dimasukkan ke neraka.

4. Setiap Muslim hendaklah sentiasa jujur dan benar dalam setiap pertuturan, penulisan dan perbuatan. Ucapkanlah perkataan yang betul, penulisan yang benar dan boleh mendatangkan kebaikan kerana ia akan menarik rahmat dan keampunan Allah SWT serta akan menyebabkan dirinya dikenali sebagai seorang yang benar. Ingatlah bahawa seseorang yang benar, sama sekali tidak pernah berdusta. Hindari berdusta kerana ia akan menghapuskan kebenaran.

Biasakan diri dengan sifat jujur dan benar dalam pertuturan, penulisan dan perbuatan sehingga kita akan dikenali sebagai orang yang jujur dan benar.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

06hb Julai 2023
17hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jujur Dengan Upah, Jangan Khianat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ عَلَى عَمَلٍ فَرَزَقْنَاهُ رِزْقًا فَمَا أَخَذَ بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ غُلُولٌ

Daripada Abdullah bin Buraidah RA dari ayahnya, dari Nabi SAW baginda bersabda: Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " (HR Abu Daud, no 2943) Status: Hadis Sahih; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

Pengajaran:

1. Setiap orang yang dilantik sebagai pekerja dan dibayar gaji oleh majikan hasil daripada pelaksanaan kerja seperti yang dipersetujui, maka pendapatan yang diperolehi adalah bersih dan halal.

2. Orang yang mengambil upah selain daripada yang ditetapkan oleh majikan yang bukan haknya adalah suatu pengkhianatan.

3. Pengkhianatan itu boleh dalam pelbagai bentuk seperti wang ringgit, diskaun, komisyen, rebet, bonus, potongan, ‎peratusan, hadiah, kemudahan, jawatan, undi, kontrak, tuntutan palsu, perlepasan, penyelesaian, perlindungan dan sebagainya.

4. Mereka yang terlibat dengan pengkhianatan ini akan dilaknat oleh Allah SWT dan RasulNya. Daging yang tumbuh dari sumber yang haram, Neraka lebih utama untuknya. Dengan rezeki pengkhianatan tersebut, akan hilang keberkatan ‎dalam kehidupan. Hidup tidak terdorong ke arah kebajikan dan kebaikan malah terdorong ‎ke arah kemaksiatan dan kejahatan.‎

5. Berjaga-jagalah sesuatu yang diterima berupa hadiah. Saidina Umar al-Khattab turut memperingatkan gejala hadiah ini, “Berjaga-jagalah dengan hadiah kerana ia merupakan rasuah”. Tidak hairanlah Saidina Umar menghantar pulang hadiah anak kaisar Rom kepada isteri Umar dan menegahnya menerima apa-apa hadiah lagi.

7. Saidina Ali pernah mengingatkan: “Zaman akan datang, manusia menghalalkan rasuah dengan (nama) hadiah”.

8. Dalam Nihayah al-Muhtaj menyebut, “Menutup pintu menerima (hadiah) secara mutlak adalah terlebih awla (terbaik), bagi menutup pintu (perselisihan)”.

Dalam kita membina Negara Malaysia yang harmoni dan Sejahtera, setiap kita khususnya pekerja dan pemimpin dapat melaksanakan tugas dengan penuh kejujuran. Jangan sesekali berlaku khianat.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

07hb Julai 2023
18hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amanah Jangan Khianat

عَنْ عَدِيِّ بْنِ عَمِيرَةَ الْكِنْدِيِّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ مِنْكُمْ عَلَى عَمَلٍ فَكَتَمْنَا مِخْيَطًا فَمَا فَوْقَهُ كَانَ غُلُولًا يَأْتِي بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالَ فَقَامَ إِلَيْهِ رَجُلٌ أَسْوَدُ مِنْ الْأَنْصَارِ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ اقْبَلْ عَنِّي عَمَلَكَ قَالَ وَمَا لَكَ قَالَ سَمِعْتُكَ تَقُولُ كَذَا وَكَذَا قَالَ وَأَنَا أَقُولُهُ الْآنَ مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ مِنْكُمْ عَلَى عَمَلٍ فَلْيَجِئْ بِقَلِيلِهِ وَكَثِيرِهِ فَمَا أُوتِيَ مِنْهُ أَخَذَ وَمَا نُهِيَ عَنْهُ انْتَهَى

Daripada 'Adi bin Amirah Al Kindi dia berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa diantara kalian yang kami tugaskan untuk suatu pekerjaan (urusan), kemudian dia menyembunyikan dari kami (meskipun) sebatang jarum, atau sesuatu yang lebih kecil dari itu, maka itu adalah ghulul (pengkhianatan) yang pada hari kiamat akan ia bawa (untuk di dakwa)." 'Adi bin 'Amirah berkata, "Kemudian seorang lelaki hitam dari Anshar berdiri mengadap Nabi SAW, seolah-olah aku melihatnya, lalu dia berkata, "Wahai Rasulullah, kalau begitu saya akan tarik kembali tugas yang pernah anda bebankan kepada saya!" Nabi SAW bertanya: "Ada apa denganmu?" dia menjawab, "Saya telah mendengar bahawa engkau bersabda seperti ini dan seperti ini (maksudnya perkataan diatas)." Baginda bersabda: "Sekarang saya sampaikan, bahawa barangsiapa dari kalian yang kami tugaskan untuk suatu pekerjaan hendaklah ia membawa kembali (seluruh hasil), sedikit atau banyak. Kemudian apa yang memang diberikan untuknya ia boleh mengambilnya, dan apa yang memang dilarang untuknya, maka ia perlu menahan diri." (HR Muslim No: 3415) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap orang yang menjawat sebarang jawatan dalam organisasi atau jabatan, ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

2. Sebagai pekerja yang dibayar upah atau gaji, menjadi tanggungjawab melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh amanah. Sama ada tugas yang berupa perkhidmatan atau servis, menghasilkan produk mahupun yang berkaitan dengan harta.

3. Rasulullah SAW mengingatkan, jika urusan yang diamanahkan itu berkaitan dengan harta, maka ia berkewajipan untuk menyerahkan kesemuanya kepada majikan. Dilarang mengambil atau menyembunyikan untuk kegunaan peribadi walaupun hanya sebesar jarum. Jika ia merupakan hak awam, maka dilarang mengambilnya untuk kepentingan peribadi.

4. Allah SWT mengingatkan :

وَمَن يَغۡلُلۡ يَأۡتِ بِمَا غَلَّ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفۡسٖ مَّا كَسَبَتۡ وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ ١٦١

Dan barangsiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), dia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya). (Ali-Imran: 161).

Imam al-Razi dalam tafsir al-Kabir menjelaskan berkhianat bermaksud mengambil hak negara secara diam-diam atau sembunyi

Ia juga bermaksud suatu tindakan curang bagi mendapatkan wang ataupun keuntungan dengan cara atau kaedah membelakangkan peraturan atau undang-undang negara. Tindakan atau perlakuan ini merangkumi memberi atau menerima suapan (bribery), mencuri (theft), menggelapkan (embezzlement), melakukan pemalsuan, pemerasan atau ugutan (extortion), dan menyalah gunakan pangkat atau jawatan awam ketika berkuasa (graft). Semua perbuatan ini dari aspek agama hukumnya adalah haram.

Bersama kita membina Negara Malaysia Merdeka yang utuh dan teguh dengan memiliki sifat amanah serta tidak khianat.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

08hb Julai 2023
19hb Zulhijjah 1444H
 
Back
Top
Log in Register