BTC USD 84,395.2 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hijrah Untuk Kemakmuran

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Daripada Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah " (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain (sentiasa selamat dari gangguan lisan dan tangannya seperti umpatan, fitnah, adu domba dan lain-lain).

2. Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.

3. Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain. Seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala.

4. Hijrah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.

5. Hijrah dan perubahan menuntut pengorbanan. Para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Mekah dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah sehingga mereka selamat sampai. Oleh itu untuk berhijrah dan berubah, setiap kita perlu berkorban.

Marilah kita melakukan pengorbanan untuk perubahan yang lebih cemerlang. Ayuhlah berhijrah dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1445

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

18hb Julai 2023
29hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muharam Bulan Afdhal Puasa Selepas Ramadan

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Tahajud). (HR Abu Daud No: 2429) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat.

2. Sebaik-baik puasa setelah puasa wajib di bulan Ramadan adalah puasa sunat di bulan Muharam.

3. Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Maka jawab baginda SAW:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ

Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah. (HR Tirmizi No: 741)

4. Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.

5. Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 (Tasuua’a) dan ke-10 (Asyura’).

6. Solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Tahajud).

Marilah kita perbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini, sekurang-kurangnya puasa Sunat Tasuua’a dan Asyura pada 9 dan 10 hb Muharam.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1445

Perpaduan Teras Malaysia Madani

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

19hb Julai 2023
01hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Niat dan Hijrah Kerana Allah

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

Daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab RA, dia berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ia menginginkannya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya (yang dia niatkan). (HR Bukhari No: 1) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap amal seseorang itu bergantung kepada niat.

2. Niat merupakan syarat diterima atau tidaknya sesuatu amal perbuatan. Amal ibadah tidak akan menghasilkan pahala kecuali berdasarkan niat (kerana Allah).

3. Ikhlas melakukan sesuatu amal semata-mata kerana Allah adalah dituntut pada semua amal dan ibadah.

4. Ganjaran pahala seorang mukmin akan diberi berdasarkan kadar niatnya.

5. Orang yang berhijrah atau melakukan sesuatu perbuatan kerana dunia, maka dia hanya akan dapat dunia yang diinginkan.

6. Orang yang berhijrah kerana wanita, dia juga hanya akan dapat seperti yang diniatkan.

7. Orang yang berhijrah kerana Allah, dia akan memperoleh apa yang diniatkan dengan ganjaran pahala.

8. Hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang buruk dan dilarang oleh Allah kepada melakukan sesuatu yang lebih baik dan diredai Allah. Mari bersama berhijrah.

Lakukanlah apa juga amal kebaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Berusahalah melakukan hijrah kepada sesuatu yang lebih baik dan diredai.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1445.

Perpaduan Teras Malaysia Madani

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

20hb Julai 2023
02hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid pada pagi atau petang hari, maka Allah akan menyediakan persinggahan baginya di syurga, setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi atau petang hari." (Sahih Muslim No:1073) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang yang sentiasa solat waktu di masjid pagi dan petang akan disediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga.

2.Rasulullah SAW menjanjikan perlindungan di hari kiamat kepada tujuh golongan, satu daripada golongan itu adalah …. mereka yang hatinya terikat dengan masjid walau di mana dia berada:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ….. وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (di hari Akhirat): …. seorang yang hatinya sentiasa terikat ke masjid. (Sahih Bukhari: 660)

3.Bersungguhlah menjaga solat berjemaah khususnya di masjid bagi kaum lelaki. Ingatlah kisah Sulaiman Ibn Hamzah al-Maqdisi keturunan Ibn Qudamah seorang ketua hakim di Syam, beliau pernah berkata: Aku tidak pernah solat fardu secara sendirian kecuali 2 kali dan sehingga sekarang aku seakan-akan merasa masih belum mengerjakannya (padahal usianya ketika itu mencecah 90 tahun) (dalam ar-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid)

Tempat pertama yang Rasulullah SAW bina ketika sampai ke Kuba dalam peristiwa hijrah baginda adalah Masjid. Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita untuk menunaikan solat berjemaah, mendalami ilmu agama, dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli kariah. Kunjungilah masjid khususnya apabila masuk waktu solat fardhu.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

21hb Julai 2023
03hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mensyukuri Nikmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اَللَّهِ عَلَيْكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian itu lebih patut, agar kamu tidak memandang remeh nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu.” (HR Muslim No: 2963) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.Setiap kita wajib bersyukur di atas segala nikmat yang Allah kurniakan.

2.Satu cara untuk kita sentiasa mensyukuri setiap nikmat yang Allah kurniakan adalah dengan sentiasa melihat orang yang lebih rendah daripada kita dalam perkara yang berkaitan dengan nikmat dunia seperti tubuh badan yang menarik dan sihat, pemilikan harta, pangkat dan kedudukan.

3.Bersyukurlah diatas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Semoga dengan memiliki sifat bersyukur akan menjauhkan kita dari penyakit tamak, hasad, dengki dan panjang angan-angan.

4.Manusia jika melihat kepada orang yang lebih tinggi levelnya dari sisi dunia, maka jiwanya akan menuntut yang serupa dan mulai mengerdilkan kenikmatan yang Allah berikan kepadanya, kemudian bertekad untuk menambah hartanya agar dia dapat mengejar kekayaan orang tersebut atau minima menyamainya. Namun jika dia melihat kepada orang yang lebih rendah darajatnya dalam hal dunia dan harta, akan terpampang di hadapannya kenikmatan Allah yang besar kepadanya, maka dia akan bersyukur atas kenikmatan itu, bersikap rendah hati, serta akan melakukan amalan-amalan kebaikan.

5.Dalam hal kehidupan dunia, berusahalah sebaik mungkin untuknya namun jangan sering memandang orang yang berada di atas kita. Bersyukurlah dengan apa yang telah kita miliki kini. Tidak perlu irihati dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Lihatlah orang yang berada di bawah kita. Masih ramai orang yang tidak seberuntung kita. Kerana hal ini akan menjauhkan kita dari bersyukur. Allah SWT telah berfirman

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. (Surah Ibrahim ayat : 7)

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

22hb Julai 2023
04hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Asyura

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ

Daripada Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Nabi SAW memilih satu hari untuk puasa yang lebih baginda utamakan dari pada yang lainnya kecuali puasa hari Asyura, dan puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari No: 1867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara ibadat puasa yang menjadi keutamaan kepada Rasulullah SAW untuk kita contohi selain puasa dibulan Ramadan ialah puasa pada hari Asyura (10hb Muharam)

2. Puasa Asyura ganjarannya dapat menghapuskan segala dosa (Imam Nawawi kata segala dosa kecil) setahun yang lalu. Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA, beliau mengatakan:

سئل عن صوم يوم عاشوراء فقال كفارة سنة

Nabi SAW ditanya tentang puasa Asyura, Baginda menjawab: “Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.” (HR. Muslim No: 1976). Status: Hadis Sahih

Rebutlah peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura. Semoga amalan berpuasa sunat Asyura akan menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu. Jadilah Muslim yang memiliki jati diri yang kukuh, bersih dari dosa dan maksiat. Kita perlu melahirkan warganegara yang merdeka daripada dosa, dan dalam masa yang sama memiliki peribadi yang utuh untuk membangunkan Negara Malaysia yang Sejahtera.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

23hb Julai 2023
05hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُا حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Abdullah bin Abbas RA, beliau menceritakan: Ketika Nabi SAW melaksanakan puasa Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk puasa. Kemudian ada sahabat yang berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang diagungkan orang yahudi dan nasrani. Kemudian Nabi SAW bersabda: “Tahun depan, Insha Allah kita akan berpuasa pada hari ke sembilan.” Namun, belum sampai tahun depan, Nabi SAW diwafatkan. (HR. Muslim No: 1916) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara hari yang digalakan berpuasa pada bulan Muharam ialah puasa hari Tasu'a (9hb Muharam) iaitu sehari sebelum hari Asyura (10hb Muharam)

2. Puasa dua hari iaitu puasa sunat Tasu'a (9hb Muharam) dan puasa sunat Asyura (10hb Muharam) adalah untuk membezakan amalan berpuasa seorang Muslim dengan puasa orang Yahudi dan Keristian.

3. Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:

a) Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).

b) Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.

c) Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.

Marilah kita tunaikan puasa Sunat Tasu'a (9hb Muharam) yang jatuh pada 27hb Julai hari Khamis dan puasa Sunat Asyura (10hb Muharam) pada 28hb Julai hari Jumaat. Moga Allah akan mengampukan dosa-dosa kita setahun yang lalu.

Mungkinkah Muharam ini tidak akan kita temui pada tahun hadapan?

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

24hb Julai 2023
06hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muslim Yang Utama

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya".(HR Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2. Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.

3. Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah termasuk menulis dan menyebarkan sesuatu yang berbentuk umpatan, fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain.

4. Individu yang paling utama di sisi Allah adalah mereka yang sentiasa dirasai kebaikannya serta tidak menyakiti dan memudaratkan orang lain yang berada disekelilingnya sama ada melalui lisan mahupun perbuatannya.

5. Kita perlu ingat, apa yang ditulis, ditutur mahupun perlakuan kita terhadap orang lain akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah. Firman Allah:

إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)

6. Imam al-Khaththabi berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

Marilah kita menjadi Muslim yang utama dengan menjaga lisan dan tangan kita daripada menyakiti dan menzalimi orang di sekeliling kita tanpa mengira bangsa dan agama termasuk menulis juga mentularkan di media sosial.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

25hb Julai 2023
07hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rahmat Kepada Semua

عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ , أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , يَقُولُ : لن تُؤْمِنوا حتى تَراحموا قالوا يا رسولَ اللهِ كُلُّنا رحيمٌ قال إنه ليس برحمةِ أحدِكم صاحِبَه ولكنَّها رحمةُ الناسِ رحمةُ العامَّةِ

Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah secara umum (kepada seluruh makhluk)” (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai Hasan Lighairihi dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)

Pengajaran:

1. Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989)

2. Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda keimanan seseorang.

3. Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.

4. Umat Islam haruslah memahami bagaimana proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:
يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (al-Hujurat: 13)

5. Memiliki sifat rahmah kepada manusia secara umum termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia adalah dituntut. Ia boleh dilakukan dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji. Bersifat rahmah dengan menyayangi orang lain agar mereka juga mendapat hidayah dan taufik menjadi hamba Allah yang diredhai.

6. Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang. Naluri kasih sayang selalu ada pada manusia seperti kasih sayang kepada orang tua, kanak-kanak, golongan yang lemah serta sesama manusia.

7. Suburkanlah sifat rahmah dengan saling sayang menyayangi bukan hanya sesama Muslim malah berlaku rahmah kepada bukan Islam dalam usaha menyebarkan dakwah. Semoga sifat rahmah yang kita tunjukkan akan menjadi penyebab mereka cenderung kepada Islam.

8. Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.

9. Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

“Sesungguhnya Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya)”. (HR At-Thobrani dalam al-Mu’jam al-Kabiir Status Hadis Hasan dalam sahih Al-Jaami’ no 2377)

Marilah kita berkongsi nilai membina semangat setiakawan sesama rakyat Malaysia. Bersifat rahmah sebagai Muslim kepada orang lain termasuk kawan dan lawan dengan engagement yang berterusan agar kita sentiasa teguh bersama membina negara tercinta.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

26hb Julai 2023
08hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sayangi Manusia Lain

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لَا يَرْحَمُ النَّاسَ

Daripada Jarir bin Abdullah RA berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia." (HR Bukhari No: 6828) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sifat saling mengasihi dan menyayangi sesama manusia adalah suatu keperluan dalam mewujudkan kehidupan yang rahmah dan berkasih sayang.

2. Menyayangi sesama manusia dengan cara menunaikan tanggungjawab yang menjadi hak orang lain yang berada di sekeliling antaranya seperti sabda Rasulullah SAW:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain itu ada enam: (iaitu) apabila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu, penuhilah undangannya, apabila dia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah dia, apabila dia bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, doakan dia (dengan mengucapkan Yarhamukallah), apabila dia sakit, jenguklah dia, dan apabila dia meninggal, iringilah jenazahnya.” (HR Muslim No: 4023) Status: Hadis Sahih

3. Sesiapa yang tidak menyayangi orang lain, Allah tidak akan menyayanginya

4. Sayangilah orang lain dengan sikap prihatin terhadap orang yang berada di sekeliling tanpa mengira Muslim mahupun non Muslim agar kita sentiasa disayangi.

5. Jauhilah sifat benci, dengki, sakit hati sesama kita juga kaum, bangsa, kumpulan dan lain-lain. Jadikanlah perbezaan kumpulan, bangsa untuk kita saling berkenal mesra dan menyebarkan kebaikan agar kita menjadi qudwah kepada mereka.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

27hb Julai 2023
09hb Muharam 1445H
 
Back
Top
Log in Register