BTC USD 83,988.3 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tali Kasut Penyebab Ke Neraka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى خَيْبَرَ فَفَتَحَ اللَّهُ عَلَيْنَا فَلَمْ نَغْنَمْ ذَهَبًا وَلَا وَرِقًا غَنِمْنَا الْمَتَاعَ وَالطَّعَامَ وَالثِّيَابَ ثُمَّ انْطَلَقْنَا إِلَى الْوَادِي وَمَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَبْدٌ لَهُ وَهَبَهُ لَهُ رَجُلٌ مِنْ جُذَامَ يُدْعَى رِفَاعَةَ بْنَ زَيْدٍ مِنْ بَنِي الضُّبَيْبِ فَلَمَّا نَزَلْنَا الْوَادِي قَامَ عَبْدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَحُلُّ رَحْلَهُ فَرُمِيَ بِسَهْمٍ فَكَانَ فِيهِ حَتْفُهُ فَقُلْنَا هَنِيئًا لَهُ الشَّهَادَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلَّا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ إِنَّ الشَّمْلَةَ لَتَلْتَهِبُ عَلَيْهِ نَارًا أَخَذَهَا مِنْ الْغَنَائِمِ يَوْمَ خَيْبَرَ لَمْ تُصِبْهَا الْمَقَاسِمُ قَالَ فَفَزِعَ النَّاسُ فَجَاءَ رَجُلٌ بِشِرَاكٍ أَوْ شِرَاكَيْنِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَصَبْتُ يَوْمَ خَيْبَرَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شِرَاكٌ مِنْ نَارٍ أَوْ شِرَاكَانِ مِنْ نَارٍ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, "Pada hari Peperangan Khaibar kami keluar bersama Nabi SAW hingga Allah memberi kemenangan kepada kami, namun kami tidak mendapat harta rampasan perang berupa emas atau perak, melainkan harta benda, makanan dan pakaian. Kemudian kami bersama Rasulullah berangkat menuju Wadi Qura (lembah sebelum kota Madinah). Rasulullah SAW ketika itu bersama dengan budak (hamba) yang dihadiahkan oleh seorang lelaki dari Judzam yang dipanggil dengan nama Rifa'ah bin Zaid dari Bani Dhubaib. Ketika kami sampai di wadi, budak (hamba) tersebut berdiri untuk menambat unta Nabi SAW. Namun tiba-tiba dia dipanah, dan menemui ajalnya di sana. Para sahabat berkata, 'kami mengucapkan selamat baginya wahai Rasulullah kerana telah syahid.' Tapi Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak, demi Dzat yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, sungguh ia akan diazab oleh api neraka kerana selimut dari ghanimah perang Khaibar yang diambilnya sebelum dibahagi.' Ketika para sahabat mendengar sabda baginda, tiba-tiba seseorang membawa seutas tali atau sepasang tali (kasut) hasil rampasan perang yang disembunyikan kepada Nabi SAW seraya berkata, 'Wahai Rasulullah, aku ambil masa perang Khaibar'. Maka Rasulullah pun bersabda: 'Satu tali kasut atau dua tali kasut berasal dari api neraka'." (HR Muslim No: 166) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Mati syahid satu anugerah istimewa daripada Allah yang menjanjikan balasan syurga.

2. Ada sahabat yang terbunuh oleh panah musuh dan telah dianggap syahid oleh para sahabat, namun Rasulullah SAW kata ia akan dibakar oleh api neraka kerana mengambil harta awam (ghanimah sebelum diagih sekadar berupa selimut atau pakaian).

3. Jika mengambil selimut atau tali kasut yang bukan hak dengan cara yang salah juga akan dibakar oleh api neraka, bagaimana jika yang diambil puluhan ribu dan juta ringgit?

5. Menurut Imam Al-Qurthubi bahawa kekalahan yang dialami kaum muslimin pada Perang Uhud adalah akibat ghulul (zalim) yang dilakukan pasukan pemanah, mereka tidak menjaga amanah yang diberi untuk tetap berada diposisi. Mereka turun dari bukit untuk mengumpulkan rampasan perang sebelum dibahagi. Akibat kesilapan mereka ini, ia telah memberi kesan kekalahan seluruh pasukan tentera Islam.

6. Mereka yang tidak amanah dalam melaksanakan tugas malah mengambil harta yang bukan haknya boleh memberi kesan kepada kehancuran umat dan Negara.

Dalam kita membina negara yang utuh dan Sejahtera, jangan sesekali terlibat dengan mengambil harta yang bukan hak. Bersama kita mencegah aktiviti yang boleh menjurus kepada kehancuran negara.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

09hb Julai 2023
20hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makan Daging Saudara SeIslam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ

Daripada Abdullah ibn Masud RA beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi SAW, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi SAW : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata : Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (HR Thabarani No: 13145) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Dalam kehidupan ini, setiap orang tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Namun kita dilarang menceritakan kekurangan dan aib orang lain.

2.Orang yang menceritakan aib orang lain atau disebut mengumpat, diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)

3.Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan) (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)

4.Walaupun begitu, bukanlah larangan mutlak menceritakan aib dan kelemahan orang lain. Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut Enam keadaan mengumpat yang diharuskan oleh syarak:

a. Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.
b. Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat
c. Meminta fatwa
d. Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.
e. Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.
f. Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya

Bersamalah kita menjaga hubungan dalam hidup bermasyarakat. Elakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan hubungan ukhuwah sesama kita.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

10hb Julai 2023
21hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Yang Terpelihara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: 'Barang siapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama muslim. Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al-Quran, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya. Barang siapa yang ketinggalan amalnya (kurang), maka keturunannya tidak akan dapat meninggikannya (menambah amalnya).' (Sahih Muslim No: 4867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Mukmin yang membebaskan mukmin lain dari suatu kesulitan di dunia, nescaya Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat.

2.Mukmin yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan semasa di dunia, nescaya Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat.

3.Mukmin yang menutupi aib seorang muslim semasa di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.

4.Allah akan menolong sesiapa yang menolong saudara muslim yang lain.

5.Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya.

6.Orang yang berkumpul di masjid untuk membaca Al-Quran, Allah akan mengurniakan ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.

7.Barang siapa yang kurang amalnya semasa di dunia, maka keturunannya tidak akan dapat menambah amalnya. (Amal kita seperti solat, puasa, zakat, tilawah al-Quran adalah tanggung jawab kita).

Marilah kita cakna terhadap saudara kita yang lain dengan berusaha bertolong bantu dalam urusan kebaikan.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

11hb Julai 2023
22hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pahala Ucapan Salam

عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ فَرَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ ثُمَّ جَلَسَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرٌ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ فَقَالَ عِشْرُونَ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ فَقَالَ ثَلَاثُونَ

Daripada Imran bin Hushain ia berkata, "Seorang laki-laki datang kepada Nabi SAW dan mengucapkan, "Assalamu Alaikum?" Baginda membalas salam orang tersebut lalu duduk, Nabi SAW kemudian bersabda: "Sepuluh" (ganjaran pahala). Setelah itu ada seseorang datang dan mengucapkan salam, "Assalamu Alaikum wa Rahmatullah." Baginda membalas salam orang tersebut lalu duduk, Baginda bersabda: "Dua puluh." Setelah itu ada lagi orang datang dan mengucapakan salam, "Assalamu Alaikum Wa Rahmatullahi Wa barakatuh." Baginda membalas salam orang tersebut lalu duduk, Baginda bersabda: "Tiga puluh." (Sunan Abu Daud No: 4521) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ucapan salam adalah adab mulia seorang Muslim apabila bertemu sesama mereka.

2.Memberi salam kepada Muslim yang lain akan mendapat ganjaran pahala

3.Ucapan Salam adalah doa kesejahteraan terhadap sesama Muslim. Mendoakan sesama Muslim agar sentiasa beroleh keamanan dan keselamatan amat dituntut.

4.Ucapan السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ lebih utama dan wajar diucapkan kerana ganjarannya lebih baik (30 pahala) berbanding ucapan yang lain.

5.Ucapan salam sewajarnya disebar luaskan sesuai Islam adalah agama kedamaian, keamanan, perpaduan dan persaudaraan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan kalian akan saling mencintai? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kalian.” (Sahih Muslim No 81) Status: Hadis Sahih

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

12hb Julai 2023
23hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berilah Salam Walaupun Pada Kanak-kanak

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى غِلْمَانٍ فَسَلَّمَ عَلَيْهِم

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW pernah bertemu dengan beberapa orang anak kecil, lalu baginda memberi salam kepada mereka. (Sahih Muslim No: 4031) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Rasulullah SAW mengajar kita berakhlak mulia walau dengan sesiapapun

2.Antara akhlak mulia ialah mengucapkan salam apabila bertemu dengan orang Islam.

3.Rasulullah SAW memberi salam walaupun kepada kanak-kanak kecil

Ayuh miliki sifat rendah hati dan menghormati orang lain walaupun kanak-kanak kecil.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

13hb Julai 2023
24hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muslim Paling Baik

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْإِسْلَامِ خَيْرٌ قَالَ تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلَامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ

Daripada Abdullah bin Amru RA, ada seseorang yang bertanya kepada Nabi SAW; "Islam manakah yang paling baik?" Nabi SAW menjawab: "Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”. (Sahih Bukhari No: 12) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Muslim yang paling baik ialah yang memberi makan kepada orang lain sama ada yang dikenali atau tidak.

2.Mengucapkan salam kepada orang Islam yang lain sama ada kita kenal atau tidak termasuk dalam kategori Muslim yang paling baik.

3.JANGAN hanya memberi salam kepada orang yang kita kenal sahaja!

Jadilah kita muslim paling baik dengan sering menjadi pemberi kepada orang lain sama ada dalam bentuk makanan mahupun ucapan salam tanpa mengira orang yang dikenali ataupun tidak.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

14hb Julai 2023
25hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Ke Syurga Dengan Selamat

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ سَلَامٍ قَالَ: لَمَّا قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِيْنَةَ اِنْجَفَلَ النَّاسُ إِلَيْهِ وَقِيْلَ : قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجِئْتُ فِي النَّاسِ لِأَنْظُرَ إِلَيْهِ فَلَمَّا اسْتَبَنْتُ وَجْهَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَرَفْتُ أَنَّ وَجْهَهُ لَيْسَ بِوَجْهٍ كَذَّابٍ فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ تَكَلَّمَ بِهِ أَنْ قَالَ: ( يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوْا السَّلَامَ وَأَطْعِمُوْا الطَّعَامَ وَصِلُوْا الْأَرْحَامَ وَصَلُّوْا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ).

Daripada ‘Abdullah bin Salâm, ia berkata: “Ketika Rasûlullâh SAW datang ke Madinah, orang-orang segera pergi menuju kepada baginda (kerana ingin melihatnya). Ada yang mengatakan: Rasûlullâh SAW telah datang, lalu aku mendatanginya ditengah kerumunan orang ramai untuk melihatnya. Ketika aku melihat wajah Rasûlullâh SAW, aku mengetahui bahawa wajahnya bukanlah wajah pembohong. Perkara pertama yang baginda ucapkan adalah: ‘Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, sambungkan silaturrahim, dan solatlah di waktu malam ketika orang lain sedang tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” (Sunan Tirmidzi no: 2485) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.Islam itu cantik dan indah. Abdullah bin Salam tertarik dan masuk Islam kerana melihat keindahan Islam yang ada pada diri Rasulullah SAW dan apa yang baginda tuturkan.

2.Jadikanlah diri kita sebagai qudwah atau contoh ikutan melalui dakwah bil hal dengan keindahan dan kecantikan Islam pada diri kita.

3.Antara amalan yang menempatkan seseorang kedalam syurga adalah:

a.Menyebarkan salam iaitu selalu mengucapkan salam setiap kali bertemu sesama Muslim. Seorang Muslim yang tidak mahu mengucapkan salam setiap kali bertemu dianggap bakhil. Nabi SAW bersabda :

أَعْجَزُ النَّاسِ مَنْ عَجِزَ فِيْ الدُّعَاءِ وَأَبْخَلُ النَّاسِ مَنْ بَخِلَ بِالسَّلاَمِ.

Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah (malas) berdoa kepada Allâh, dan sebakhil-bakhil manusia adalah orang yang bakhil mengucapkan salam (HR Thabarani dalam Mu’jamul Ausath (no. 5587) dan lainnya. Lihat Silsilah al-Ahâdîts ash-Shahîhah (no. 601). Status: Hadis Hasan

b.Memberi makan kepada orang yang memerlukan seperti tetamu, jiran tetangga atau orang yang memerlukan. Orang yang memberi atau bersedekah, nescaya Allah akan menambahkan rezeki kepadanya. Hadis Nabi SAW menyebutkan:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ …

Sedekah tidak mengurangi harta… (Sahîh Muslim No. 2588).

أَنْفِقْ أُنْفِقْ عَلَيْكَ

Berinfaqlah! Niscaya Aku akan berinfaq kepadamu. (Sahîh Bukhâri No: 4684)

c.Menyambung silaturahim dengan semua kerabat sama ada melalui perkataan, perbuatan, dan tingkahlaku.

Al-Arhâm adalah jamak dari rahim. Maksudnya kerabat yang memiliki hubungan kekeluargaan dari ibu atau bapa, seperti datok, nenek, bapa saudara, ibu saudara, sepupu dan lain-lain. Allâh SWT berfirman :

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ

Bertakwalah kepada Allâh yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan [an-Nisâ’/4:1]

Silaturrahim merupakan sebab masuk syurga. Memutuskan silaturrahim menyebabkan laknat dan jauh dari rahmat Allâh Azza wa Jalla .

d.Solat di waktu malam, ketika manusia sedang tidur. Ia mencakupi solat wajib, seperti ‘Isya dan Subuh, juga mencakupi solat sunat malam, kerana malam adalah waktu orang tidur.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

15hb Julai 2023
26hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sifat Santun dan Berhati-hati

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِأَشَجِّ عَبْدِ الْقَيْسِ إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ

Daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW bersabda kepada Asyaj bin Abdil Qais: "Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang dicintai oleh Allah, iaitu, lemah lembut dan sifat berhati-hati (sabar)." (Sunan Tirmizi No: 1934) Status: Hadis hasan Sahih

Pengajaran:

1. Allah mencintai orang yang memiliki sifat:

a.Lemah lembut (santun)
b.Berhati-hati (sabar)

2.Menurut Said bin Ali Al-Qattani: Al-Hilm (lemah lembut) adalah sebagai penahan diri dari gejolak marah, iaitu suatu keadaan pertengahan antara 2 sifat negatif (marah dan hina).

3.Al-Hilm (lemah lembut) itu ialah menahan diri dari sifat amarah. Seorang yang memiliki sifat hilm adalah orang yang boleh menguasai dirinya dan mengendalikan emosinya serta menjaga ketenangan jiwanya (tidak bertindak terburu-buru).

4.Seorang yang memiliki sifat al-Hilm adalah orang yang berlapang dada dan hatinya sentiasa terbuka. Ia sangat mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain, malah ia akan cepat merasa dan mengakui kesilapan jika tersilap.

5. Al-Anah - Sifat Berhati-hati (sabar) adalah sifat yang tidak tergesa-gesa atau terburu-buru. Sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap sesuatu dengan tidak terus membuat tindakan atau menghukum tanpa memikirkan kesan baik dan buruk.

Marilah kita miliki sifat al-hilm iaitu mampu menguasai diri dengan tidak terburu-buru bertindak balas. Berusaha memiliki sifat al-Anah iaitu sentiasa berhati-hati menghadapi sebarang perkara dengan tidak bertindak dengan tergesa-gesa.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

16hb Julai 2023
27hb Zulhijjah 1444H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersyukur Atas Nikmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ.

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan bentuk tubuh, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.” (HR Bukhari No: 6490). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Allah SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT juga memberikan kepada setiap hamba akan kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu perkara sebagai ujian. Menerusi ujian tersebut Allah SWT akan menilai hakikat keimanan seseorang hamba, adakah dia benar-benar bersyukur dengan kelebihan atau bersabar di atas kekurangan yang diberikan.

2.Seorang yang benar-benar beriman akan memiliki hati yang sentiasa mengekalkan sifat syukur diatas segala nikmat dan rezeki yang dimiliki. Dia akan sentiasa menjauhi sifat hasad dengki terhadap nikmat yang diperoleh orang lain serta mengurangkan kerisauan hati daripada mengejar harta duniawi. Syukur dan sabar dengan ujian dan godaan duniawi seperti kemiskinan dan musibah boleh diperoleh secara memandang kepada orang lain yang lebih daif atau yang lebih rendah daripadanya.

3.Memandang kepada seseorang yang memiliki kelebihan harta dan tubuh badan akan menyebabkan bertambah keinginan atau kerunsingan yang membawa kepada kedengkian dan mengikis sifat syukur. Adapun jika memandang kepada seseorang yang kurang daripadanya, maka ia akan menjadikan seseorang itu lebih bersyukur, bertambah ketenangan dan merasa cukup dengan pemberian Allah SWT.

4. Seringlah memandang orang yang lebih rendah atau kurang daripada kita agar kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki. Namun dalam perkara yang berhubung dengan akhlak, ilmu dan ibadah maka lihatlah orang yang lebih baik sebagai ikutan kita.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

17hb Julai 2023
28hb Zulhijjah 1444H
 
Back
Top
Log in Register