BTC USD 84,395.2 Gold USD 4,285.46
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Pengasih Untuk Dirahmati Allah

سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

Daripada Saad bin Ubadah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hambaNya yang pengasih" (HR Bukhari No: 1284). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sifat penyayang dan pengasih adalah dituntut pada setiap Muslim

2. Allah hanya merahmati Muslim yang memiliki sifat kasih sayang kepada sesama manusia dan makhluk lain untuk diberi ganjaran syurga.

3. Milikilah sifat kasih sayang terhadap orang lain. Antaranya ialah sifat membantu mereka yang sedang menghadapi musibah, sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun pandangan dan nasihat.

4. Kasihilah orang lain dengan mendoakan kebaikan, memaafkan mereka, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu orang yang sedang kesempitan, memberi makan orang yang kelaparan serta mengunjungi orang sakit dan yang ditimpa musibah.

5. Jika kita benci atau tidak suka kepada kejahatan seseorang, lakukan dengan cara yang dibenarkan syarak bukan dengan cara memaki hamun dilaman sosial.

Jika kita ingin dirahmati Allah, maka milikilah sifat pengasih terhadap orang lain. Islam agama yang mulia dan berakhlak.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

28hb Julai 2023
10hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menyayangi Untuk Disayangi

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ارْحَمْ مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكَ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Daripada Abdullah bin Amir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang menyayangi (orang lain) pasti akan disayangi Allah. Sayangilah setiap penduduk bumi, nescaya engkau akan disayangi para penghuni langit” (Mu’jam Awsat li al-Tabarani No: 9009) Maktabah al-Maarif Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim memiliki sifat penyayang mengikut panduan syarak.

2. Orang yang menyayangi makhluk nescaya Allah akan menyayanginya

3. Orang yang mengasihi orang lain, dia akan disayangi oleh penghuni dilangit

4. Sifat saling menyayangi datang daripada mereka yang memiliki kejernihan jiwa dan kesucian rohani

5. Kongsikanlah nilai mengasihi orang lain dalam kita membina semangat setiakawan sesama rakyat Malaysia.

Berusahalah menyayangi orang lain. Jauhi prasangka buruk, membuat tuduhan, menghukum, memberi gelaran buruk dan memfitnah terhadap orang lain. Elakkan permusuhan dan persengketaan. Pereratkan yang dekat, rapatkan yang jauh.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

29hb Julai 2023
11hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Saling Mencintai Kerana Allah Dinaungi Di Hari Kiamat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلَالِي الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّي

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat kelak: "Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini kunaungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku." (Sahih Muslim No: 4655) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Saling mengasihi dan berkasih sayang antara sesama orang beriman adalah suatu tuntutan.

2. Dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah akan tergolong dalam salah satu golongan yang akan mendapat naungan di hari Kiamat.

3. Ibnu Hajar rahimahullah berkata, dua orang yang saling mencintai di jalan Allâh, di mana ia berpisah dan berkumpul kerana-Nya, iaitu apabila keduanya saling mencintai kerana agama, bukan kerana yang lainnya. Cinta kerana agama ini tidak putus kerana dunia, baik dia berkumpul secara hakiki atau tidak, sampai kematian memisahkan keduanya.

4. Seorang lelaki yang mencintai lelaki lain kerana Allah begitu juga wanita yang menyayangi wanita lain kerana Allah, dianjurkan oleh Rasûlullâh SAW agar kita memberitahu kepadanya. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis dengan lafaz:

إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللهِ

Sesungguhnya aku cinta kepadamu kerana Allâh

Kemudian balaslah ucapan tersebut dengan lafaz:

أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ

Mudah-mudahan Allâh mencintaimu yang telah mencintaiku kerana-Nya.

Dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera, berusahalah kita memiliki seramai mungkin sahabat yang baik dengan mengasihi mereka. Moga kita tergolong dalam golongan yang mendapat naungan di hari akhirat nanti dengan saling menyayangi sahabat kita semata-mata kerana Allah.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

30hb Julai 2023
12hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Golongan Yang Dinaungi Di Akhirat

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللَّهِ وَرَجُلٌ كَانَ قَلْبُهُ مُعَلَّقًا بِالْمَسْجِدِ إِذَا خَرَجَ مِنْهُ حَتَّى يَعُودَ إِلَيْهِ وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ فَاجْتَمَعَا عَلَى ذَلِكَ وَتَفَرَّقَا وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ حَسَبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ

Daripada Abu Sa'id RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh (golongan) yang akan dinaungi Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain kecuali naunganNya; pemimpin adil, pemuda yang tumbuh dalam beribadah kepada Allah, orang yang hatinya terikat dengan masjid bila ia keluar meninggalkannya hingga ia kembali lagi, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul kerana itu dan berpisah kerana itu, orang yang mengingat Allah saat menyendiri lalu kedua matanya berlinang, lelaki yang diajak oleh wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan (melakukan kejahatan) lalu ia berkata: Aku takut Allah, seseorang bersedekah lalu menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya." (Sunan Tirmidzi No: 2313) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

Setiap manusia akan dibangkitkan dan melalui kesusahan dan kepayahan padang mahsyar kecuali orang yang mendapat perlindungan Allah di Padang Mahsyar. Tujuh golongan orang yang akan mendapat perlindungan Allah di hari akhirat:

1. Pemimpin yang adil

2. Pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah

3. Orang yang hatinya sentiasa tertambat ke masjid

4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul dan berpisah kerana kecintaan kepada Allah.

5. Orang yang mengingat Allah ketika bersendirian lalu berlinangan air matanya

6. Lelaki yang diajak oleh wanita kaya dan cantik melakukan kejahatan, lalu ia enggan dan berkata berkata: Aku takut Allah

7. Seseorang yang bersedekah lalu menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.

Berusahalah menjadi orang yang mendapat naungan dan RAHMAT Allah di hari Kiamat. Antara orang yang akan mendapat naungan dan perlindungan di padang mahsyar ialah mereka yang saling mencintai sesama mereka semasa di dunia kerana Allah.
Semoga kita menjadi salah seorang yang mendapat naungan di hari kiamat kerana saling cinta mencintai sesama Muslim semata-mata kerana Allah semasa kita hidup di dunia ini.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

31hb Julai 2023
13hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Saling Mencintai Dengan Menyebarkan Salam

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan kalian akan saling mencintai? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kalian.” (HR Muslim No: 54) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Syurga hanya untuk orang yang beriman

2. Satu daripada syarat menjadi orang beriman ialah saling mencintai sesama mereka

3. Satu daripada perkara yang mendorong mencintai orang lain ialah sentiasa menyebarkan ucapan "salam"

Marilah sebarkan salam apabila bertemu sesama Muslim

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

01hb Ogos 2023
14hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mengasihi Akan Dikasihi

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَبَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الْأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسًا فَقَالَ الْأَقْرَعُ إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنْ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ مَنْ لَا يَرْحَمُ لَا يُرْحَمُ

Bahawa Abu Hurairah RA berkata; "Rasulullah SAW pernah mencium Al-Hasan bin Ali sedangkan di samping baginda ada Al-Aqra' bin Habis At-Tamimi sedang duduk, lalu Aqra' berkata; "Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekali pun, maka Rasulullah SAW memandangnya dan bersabda: "Barang siapa tidak mengasihi maka ia tidak akan dikasihi." (Sahih Bukhari No: 5538) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap kita wajib memiliki sifat pengasih dan penyayang terhadap orang lain khususnya kepada anak-anak kecil.

2. Satu daripada cara mengasihi dan menyayangi anak-anak kecil adalah mencium dengan penuh kasih sayang seperti Rasulullah SAW mencium cucunya Saidina Hassan.

3. Belailah dan kasihilah anak-anak kita dengan penuh kasih sayang.

4. Sesiapa yang tidak memiliki sifat untuk mengasihi orang lain, sesungguhnya Allah tidak akan mengasihinya.

Bersifat rahmahlah kita dengan mengasihi anak-anak, menyayangi ahli keluarga dan orang di sekeliling kita nescaya Allah akan mengasihi kita.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

02hb Ogos 2023
15hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Umpama Satu Jasad

عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada Nukman bin Basyir RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Perumpamaan kaum Mukmin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam (turut merasa sakitnya)." (Musnad Ahmad No: 17907) Dar Ihya’ Turath Arabiy. Status: Isnad Tsiqah

Pengajaran:

1. Setiap Mukmin adalah bersaudara

2. Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan.

3. Sayangi saudara mukmin kita sepertimana kita sayang kepada diri kita. Jika mereka susah atau sakit, kita sewajarnya merasai kesusahan atau kesakitan tersebut. Justeru menjadi kewajipan kita membantu mereka. Dia adalah sebahagian daripada anggota kita.

4. Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan.

5. Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji

6. Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.

Ayuh kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mukmin. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

03hb Ogos 2023
16hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." (Sahih Bukhari No: 5717) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam mengajar agar kita menjauhi prasangka buruk kepada orang lain

2. Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita (perlu dicegah atau dinasihat)

3. Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain.

4. Setiap kita juga dilarang saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci terhadap saudara Muslim kita yang lain.

5. Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim. Menjaga persaudaraan dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu mereka dengan mencegah mereka daripada melakukan maksiat.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

04hb Ogos 2023
17hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Akhlak Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: 'Janganlah kalian saling mendengki, saling memfitnah, saling membenci, dan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian yang berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Muslim yang satu dengan muslim yang lainnya adalah bersaudara tidak boleh menyakiti, merendahkan, ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya), Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. Muslim yang satu dengan yang Iainnya haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya." (Sahih Muslim No: 4650) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam melarang umatnya berakhlak buruk antaranya:

a. Mendengki
b. Memfitnah
c. Membenci
d. Memusuhi
e. Membeli sesuatu yang telah dibeli atau dijanjikan kepada orang lain

2. Setiap Muslim adalah bersaudara. Muslim dilarang berbuat zalim dengan Muslim yang lain antaranya dengan cara:

a. Menyakiti
b. Merendahkan
c. Menghina

3. Takwa itu di dada (rasa taat dan patuh kepada Allah itu terletak di dalam hati)

4. Seseorang Muslim dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim.

5. Penghinaan boleh berlaku apabila seseorang meremeh, memperlekeh juga merendahkan orang lain sama ada dengan perkataan atau perbuatan termasuk kesalahan mereka. Penghinaan ini adalah bentuk sifat sombong dan bangga diri serta menganggap dirinya lebih mulia dari orang tesebut.

6. Muslim sesama Muslim dilarang:

a. Menumpahkan darah sesama Muslim
b. Menzalimi hartanya
c. Merendahkan kehormatannya

Dalam kita membina sebuah masyarakat dan negara yang harmoni, marilah kita memelihara hak saudara Muslim sebagai tanda kita menyayangi mereka. Jauhilah berakhlak buruk terhadap Muslim yang lain serta tidak menzaliminya.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

05hb Ogos 2023
18hb Muharam 1445H
 
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menunaikan Tangungjawab Ke atas Muslim

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة

Bahawa Abdullah bin Umar radliallahu 'anhuma mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. (Sahih Bukhari No: 2310) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain

2. Sebagai orang Islam, kita perlu menjaga hak orang Islam yang lain antaranya:

a. Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya ke atas orang Islam yang lain
b. Tidak boleh membiarkan orang Islam yang lain di zalimi

3. Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenan hajatnya.

4. Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan melapangkan dan mempermudah kehidupannya di hari kiamat

5. Menjadi tanggungjawab seorang Muslim menutup aib atau keburukan saudara Muslim yang lain.

6. Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan sahabatnya semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.

7. Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan dua keadaan:

a. Allah akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar.

b. Allah Taala tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aib tersebut.”

Dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, berusahalah kita memelihara hak saudara Islam kita yang lain serta miliki sifat cakna dan prihatin membantu kepada yang memerlukan.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#BersamaMembinaNegara
#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

06hb Ogos 2023
19hb Muharam 1445H
 
Back
Top
Log in Register