BTC USD 83,642.1 Gold USD 4,156.62
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KONGSI.. SATU hari SATU hadis

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1884.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: Belum akan terjadi kiamat sebelum timbul peperangan antara dua pasukan besar, antara keduanya timbul perang besar, sedang seruan keduanya sama. Dan sebelum lahir beberapa dajjal (penipu besar) yang amat pandai berbohong, hampir sebanyak tiga puluh orang, semua mendakwakan dirinya utusan Allah. Dan sebelum ilmu pengetahuan diambil (berkurang), banyak kegoncangan, zaman bertambah cepat, kekacauan bermaharajalela dan banyak huru-hara, iaitu pembunuhan. Dan sebelum harta sampai melimpah-ruah, sehingga orang yang berharta ingin hendak memperoleh orang yang akan menerima sedekahnya dan ditawarkannya (kian ke mari), tetapi orang yang ditawar untuk menerima sedekah itu mengatakan tidak lagi memerlukannya. Dan juga sebelum orang banyak bermegah-megah (bersenang-senang) dalam gedung-gedung besar. Dan sebelum seseorang melalui kubur orang lain, Lalu dia mengatakan: "Wahai, hendaknya saya menggantikan orang itu." Dan sebelum matahari terbit di tempat terbenamnya. Setelah matahari terbit (sebelah barat) dan kelihatan oleh orang banyak mereka beriman semuanya, tetapi ketika itu keimanan tidak berguna kepada seseorang yang belum beriman sebelumnya atau keimanannya belum menimbulkan usaha-usaha yang baik. Ketika kiamat terjadi, dua orang yang hendak berjual beli telah mengembangkan kain di hadapan keduanya, tidak sempat lagi meneruskan jual beli dan tidak pula sempat melipat kain. Ketika kiamat terjadi, seseorang yang baru selesai memerah susu lembunya, tidak sempat lagi meminumnya. Ketika kiamat terjadi, seseorang yang sedang memperbaiki tepi kolamnya tidak sempat lagi meminum airnya. Ketika kiamat terjadi, seseorang yang mengangkat makanan ke mulutnya, tidak sempat lagi memakannya.
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2311.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Allah Tabaraka wa Ta'ala mempunyai para malaikat yang bertugas keliling mencari-cari majlis zikir. Bila mereka telah menemukannya, lalu mereka duduk bersama-sama dengan orang-orang yang sedang zikir, memanggil teman-temannya, berkerumun mengitari orang-orang yang sedang zikir itu dengan sayap-sayap mereka sehingga memenuhi ruangan antara mereka dengan langit dunia. Apabila majlis telah bubar, para malaikat naik kembali ke langit. Lalu Allah Ta'ala bertanya kepada mereka, - padahal Allah Maha Tahu perbuatan mereka - "Kalian datang dari mana?" Jawab mereka, "Kami baru kembali memeriksa hamba-hamba-Mu di bumi. Mereka tasbih, takbir, tahlil, tahmid dan memohon kepada-Mu." Tanya: "Apa yang dimohon mereka kepadaKu?" Jawab : "Mereka memohon syurga kepada-Mu." Tanya: "Pernahkah mereka menampak syurga-Ku?" Jawab : "Tidak'" Firman Allah, "Apalagi kalau mereka menampak syurgaKu!" Kata para malaikat, "Mereka juga memohon kebebasan." Tanya: "Mohon bebas dari apa?" Jawab: "Mohon bebas dari neraka." Tanya: "Pernahkah mereka menampak nerakaKu?" Jawab: "Tidak." Firman Allah Ta'ala: "Apalagi kalau mereka nampak nerakaKu!" Kata para malaikat: "Mereka juga memohon ampun kepadaMu." Jawab: "Aku mengampuni mereka dan memberikan apa yang mereka minta serta membebaskan mereka dari apa yang mereka takuti." Kemudian para malaikat berkata: "Di antara mereka terdapat seorang hamba yang penuh dosa. Dia lalu di majlis itu lalu duduk bersama-sama dengan orang-orang yang zikir." Firman Allah: "Orang itu pun Kuampuni, begitu pula setiap orang yang terlibat dalam majlis zikir itu tidak ada yang celaka."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2444.
Dari Zaid bin Tsabit r.a. katanya: "Ketika Nabi saw. berada di sebidang kebun Bani Najjar mengenderai keldai, kami ada bersama-sama beliau. Tiba-tiba keldai itu membelok sehingga beliau hampir jatuh. Kiranya di sana terdapat empat atau enam kubur. Tanya beliau, "Siapakah di antara kalian yang tahu, kubur-kubur ini milik siapa?" Seorang lelaki berkata: "Aku!" Tanya Nabi saw., "Bila mereka meninggal?" Jawab, "Mereka mati dalam syirik." Sabda Rasulullah saw., "Mereka sedang diseksa dalam kubur. Seandainya aku tidak khuatir yang kamu semua akan takut menguburkan mayat, akan ku mohon kepada Allah Ta'ala supaya Dia memperdengarkan kepada mu sekalian bagaimana dahsyatnya seksa kubur seperti yang terdengar olehku." Kemudian beliau hadapkan mukanya kepada kami seraya bersabda, "Berlindunglah kamu dengan Allah dari seksa neraka!" Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari seksa neraka." Sabda beliau, "Berlindunglah kamu semua dengan Allah dari seksa kubur!" Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari seksa kubur." Sabda beliau, "Berlindunglah kamu semua dengan Allah dari fitnah, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi." Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari fitnah, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi." Sabda beliau, "Berlindunglah kamu semua dari fitnah (bencana) Dajjal!" Kata para sahabat, "Kami berlindung dengan Allah dari fitnah Dajjal."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0978.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saW., sabdanya: "Ada seorang lelaki berkata, "Aku hendak bersedekah malam ini." Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan disedekahkannya kepada perempuan lacur. Esok pagi orang banyak mempercakapkan bahawa tadi malam ada pelacur yang diberi orang sedekah. Orang itu berujar, "Wahai, Allah! Segala puji bagi-Mu yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur. Aku akan bersedekah lagi." Dia pergi pula membawa sedekahnya, lalu diberikannya kepada orang kaya. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang memberi sedekah kepada orang kaya. Lalu orang yang bersedekah itu berkata, "Wahai, Allah! Untuk Mulah segala puji, kerana Engkau telah menjadikan sedekahku jatuh kepada orang kaya. Aku akan bersedekah lagi." Dia pergi pula membawa sedekahnya, dan diberikannya kepada si pencuri. Pagi-pagi orang banyak mempercakapkannya pula, bahawa tadi malam ada orang bersedekah kepada pencuri. Orang yang bersedekah itu pun berujar pula, "Segala puji bagi Allah yang telah mentakdirkan sedekahku jatuh kepada pelacur, kepada orang kaya, dan kepada pencuri.' Kemudian orang itu didatangi malaikat seraya katanya :"Sedekah anda sudah diterima baik oleh masing-masing orang yang anda beri sedekah. Adapun perempuan lacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur; kepada si kaya, semoga dia menyedari dirinya dan bersedekah pula; dan untuk si pencuri, semoga dia berhenti mencuri."
__________________
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 2011.
Dari Abu bin Abu Thalib r.a. diceritakannya bahawa Rasulullah saw. pada suatu malam mengetuk rumah, untuk membangunkan dia dan Fatimah puteri Rasulullah saw. Beliau mengatakan kepada keduanya: ''Mengapa kamu tidak perlu solat?" Saya menjawab: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya diri kami ini ditangan Allah. Kalau Dia hendak membangunkan kami, tentu dibangunkanNya." Rasulullah saw. pergi saja ketika mendengar perkataan saya dan tidak memberikan jawaban sedikit pun. Kemudian saya dengar beliau berkata, sambil membelakang dan memukul pahanya: "Manusia itu paling banyak debatnya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0809.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila hari Jumaat telah tiba, para malaikat berdiri di setiap pintu masjid, mencatat orang yang pertama-tama datang dan seterusnya. Apabila imam telah datang (naik mimbar), mereka tutup buku mereka dan sesudah itu mereka pergi mendengarkan khutbah. Perumpamaan orang yang datang pertama-tama, ialah seperti orang yang bersedekah unta. Kemudian, orang yang datang sesudah itu seperti orang yang bersedekah lembu. Kemudian seperti orang yang bersedekah kibisy (kambing). Kemudian seperti orang yang bersedekah ayam, dan kemudian seperti orang yang bersedekah telur."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2191.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu berita yang paling bohong. Jangan saling mencari-cari keburukan orang. Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling menyaingi. Jangan saling mendengki. Jangan saling marah dan jangan saling tak acuh. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara sebagai hamba-hamba Allah."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0971.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya "Rasulullah saw. bersabda : "Hai, manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik pula. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul. Firman-Nya: "Wahai, para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al Mukminun : 51) "Wahai, orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu.. " (Al Baqarah : 172) Kemudian Nabi saw. menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya. Sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadahkan tangannya ke langit seraya mendoa: "Wahai, Tuhan ku! Wahai, Tuhanku!" Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram, dan dia diasuh dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?"
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0159.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Setiap Nabi mempunyai doa mustajab (doa yang pasti diperkenankan). Kerana itu, para Nabi segera memanfaatkan doanya itu, tetapi aku akan ku manfaatkan nanti untuk membela umat ku di hari kiamat. Insya Allah doaku itu akan mencapai setiap umat ku yang mati dengan tidak menyekutukan Allah."
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0481.
Dari Ibnu Abbas r.a., bahawasanya dia berkata: "Sesungguhnya solat Jumaat yang pertama selain solat Jumaat di masjid Rasulullah saw., ialah solat Jumaat di masjid Abdil Qais di Juatsa, termasuk wilayah Bahrain."
 
Back
Top
Log in Register